A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Radioterapi
  6. /
  7. Kesan Sampingan Rawatan
  8. /
  9. Radioterapi Kepala & Leher:...

Radioterapi Kepala & Leher: Kesan Sampingan & Jagaan

Radioterapi untuk bahagian kepala dan leher biasanya merangkumi kawasan muka dan leher.

Radioterapi untuk bahagian kepala dan leher biasanya merangkumi kawasan muka dan leher. Kadangkala hanya sebahagian muka dan leher (kiri atau kanan) memerlukan rawatan radiasi. Tisu normal dalam kawasan rawatan ini adalah kulit, akar rambut, lapisan dalam mulut, kerongkong, lidah dan deria rasa, kelenjar air liur, gusi dan gigi.

Apakah kesan sampingan awal?

Kesan sampingan awal merupakan perubahan atau reaksi tisu normal yang berlaku semasa rawatan radiasi. Beberapa kesan awal radioterapi kepala dan leher yang mungkin berlaku dipaparkan dalam grafik. Kebanyakan kesan awal ini mungkin muncul selepas 2 hingga 3 minggu rawatan radiasi.

Kelesuan

Ini adalah kesan sampingan am rawatan radiasi. Untuk penerangan terperinci dan jagaan, sila rujuk kepada Kesan Sampingan Radioterapi/Kesan tidak spesifik dan spesifik / Kelesuan.

Reaksi Kulit Dan Bengkak

Reaksi kulit di muka biasanya sederhana (merah dan kering) tetapi ia boleh menjadi agak teruk di leher kerana kulit di sini lebih nipis. Di pangkal leher kulit mungkin melecet kerana permukaan kulit bergeser antara satu sama lain (lipatan kulit). Pakai baju-T longgar yang berkolar lebar supaya reaksi tidak menjadi lebih teruk. Untuk penerangan terperinci tentang reaksi kulit dan jagaan, sila rujuk kepada Radioterapi: Reaksi Kulit Dan Jagaan. Tisu lembut di muka dan bawah dagu mungkin menjadi bengkak sedikit (limfedema) selepas menerima radiasi. Senaman muka boleh melancarkan pengedaran cecair dan mengurangkan bengkak.

Keguguran Rambut

Oleh sebab kesan radiasi ke atas akar rambut, keguguran rambut mungkin berlaku di belakang leher dan telinga. Rambut muka (misai) mungkin berhenti menumbuh untuk sementara. Jika perlu bercukur, guna pencukur elektrik dan bukan pisau cukur untuk mengelak kulit tercedera.

Reaksi Mulut

Permukaan dalam mulut, gusi dan kerongkong adalah sensitif kepada radiasi. Beberapa perubahan yang mungkin berlaku di dalam mulut dan kesan yang terhasil disenaraikan dalam grafik. Reaksi ini menjadi bertambah teruk sekiranya jumlah dos radiasi kepada lapisan adalah lebih tinggi, kesihatan am individu kurang baik dan orang yang menerima rawatan itu merokok atau minum alkohol.

Tisu normal

Reaksi

Kesan

Lapisan dalam mulut, gusi dan kerongkong

  • kemerahan
  • ulser
Sakit mulut & kerongkong, susah makan & menelan
 Lidah / deria rasa
  • ulser
  • pertukaran rasa
 Susah makan, tiada selera
Kelenjar air liur
  • kurang air liur
  • air liur melekit
  • kurang perlindungan untuk gigi
Mulut kering, susah menelan, sakit gigi & risiko jangkitan

Amatlah penting untuk menjaga kebersihan mulut dan gigi supaya reaksi mulut boleh dikurangkan atau dielakkan menjadi bertambah teruk. Ubat diberi untuk merawat jangkitan dan mengurangkan kesakitan. Untuk individu yang menggunakan gigi palsu, maklumkan kepada doktor gigi bila gigi palsu menjadi sangat longgar atau ketat kerana ia boleh melukakan lapisan gusi atau lidah.

Bagaimana Menjaga Mulut Dan Gigi?

  • Sentiasa minum air untuk mengurangkan kekeringan mulut.
  • Bilas dan kumur dengan air garam atau pencuci mulut yang tidak mengandungi alkohol.
  • Berus gigi dengan berus lembut dan ubat gigi berflorida selepas makan; jika memberus gigi menyebabkan kesakitan, bersih gigi dengan kapas basah atau benang gigi dengan perlahan-lahan.
  • Berus gusi dan lidah untuk mencegah pembentukan seriawan.
  • Kunyah gula-gula getah tidak bergula untuk menggalakkan penghasilan air liur.
  • Jangan makan coklat dan makanan ringan bergula, yang menjadikan mulut bertambah kering.
  • Elak makanan seperti kerepek, keropok, kacang yang mungkin menyakiti mulut.
  • Elak masakan panas, pedas dan berminyak yang merengsakan kerongkong.
  • Elak minuman panas atau sejuk berais.
  • Elak mengguna pencungkil gigi.
  • Elak merokok dan minum alkohol.

Reaksi mulut boleh menyebabkan aktiviti mengunyah dan menelan makanan pepejal sakit dan sukar. Jika seseorang tidak makan dengan sempurna dan zat makanan tidak mencukupi, dia akan kehilangan berat badan. Sila rujuk kepada Radioterapi Dada: Kesan Sampingan & Jagaan/ Bagaimana Mengurangkan Kesan Dan Meningkatkan Pengambilan Makanan?

Adakah Apa-apa Kesan Sampingan Lewat?

Kesan sampingan lewat merupakan reaksi yang berlaku berbulan-bulan atau bertahun-tahun selepas rawatan tamat. Beberapa kesan lewat radioterapi kepala dan leher yang mungkin berlaku seperti dalam grafik.

Kekeringan mulut jangka panjang mungkin berlaku disebabkan oleh kelenjar air liur kurang atau tidak menghasilkan air liur selepas rawatan radiasi. Simptom mungkin dapat dibaiki dengan mengurangkan pengambilan kafein, elak alkohol dan merokok, kerap menghirup air untuk membasahkan mulut, menghisap gula lemon untuk merangsang penghasilan air liur dan guna pengganti air liur untuk memudahkan penelanan makanan.

Bagi mengatasi pertukaran atau tiada rasa, guna perasa dan herba untuk menambahkan rasa makanan dan cuba masakan baru untuk menimbulkan selera.

Kekejangan rahang mungkin berlaku disebabkan oleh kelemahan otot muka, dan membuat pergerakan sendi sukar. Ini mungkin menjejas kebersihan dan jagaan mulut. Bersenam otot muka secara melakukan pergerakan rahang yang mudah seperti membuka dan menutup mulut, dan mengunyah gula-gula getah tidak bergula dapat mengelak sendi menjadi kaku.

Setiap orang yang akan menerima radioterapi kepala dan leher, mesti berjumpa doktor gigi untuk penjagaan mulut dan gigi sebelum prosedur perancangan dan rawatan dilakukan. Selepas rawatan radiasi tamat, pesakit perlu meneruskan susulan tetap dengan doktor gigi untuk mengawasi kesihatan mulut dan gigi.

Radioterapi dirancang khusus untuk setiap individu, mengambil kira kesan radiasi atas tisu normal dalam kawasan rawatan. Namun, setiap orang adalah unik dan mungkin bertindak balas secara berlainan terhadap rawatan.

Dapatkan maklumat berkaitan kesan sampingan spesifik yang mungkin berlaku dengan rawatan anda daripada pakar onkologi radiasi dan pegawai terapi sebelum rawatan bermula. Sentiasa maklum kepada mereka apa yang anda sedang alami dan bagaimana anda merasai supaya mereka boleh membantu anda meminimumkan simptom, mengurangkan kebimbangan dan menangani dengan lebih baik.

Rujukan

  1. http://www.cancer.org/treatment/treatmentsandsideeffects/treatmenttypes/radiation/understandingradiationtherapyaguideforpatientsandfamilies/understanding-radiation-therapy-radiation-to-certain-body-parts
  2. www.cancer.gov
  3. Gambar daripada pembentangan slaid Aishah S A. Radiotherapy side effects and Patient care
  4. Grafik daripada Cik Aisyah bt Zulkifli

 

Semakan Akhir : 26 Mei 2017
Penulis : Sarah Lee Abdullah
Akreditor : Dr. Ros Suzana binti Ahmad Bustamam

Artikel Berkaitan

MRI

Apa itu MRI? MRI atau Magnetic Resonance Imaging merupakan kaedah

Rawatan Fisioterapi bagi Tennis Elbow

Sakit di bahagian luar sendi siku dan ia dikategorikan sebagai sakit akut. Ia juga berkait dengan Common Extensor Tendon (yang terletak di bahagian luar lengan) dan sakit apabila ditekan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,054,372

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia