Psikoterapi

 

Pengenalan

Ada pelbagai teori yang menjelaskan tingkah laku manusia dalam bidang kesihatan mental. Antara yang lazim digunakan di Malaysia adalah teori psikoterapi dari model tingkah laku, kognitif tingkah laku dan psikodinamik (atau psikoanalisis).

  1. Psikoterapi Psikodinamik. Rawatan ini berasaskan teori Sigmund Freud, berkisar tentang minda bawah sedar yang dinamik dan konflik psikologi. Matlamat terapi ini  untuk :-

    1. Membantu pesakit mewujudkan pengertian terhadap konflik-konflik bawah sedar.
    2. Konflik bawah sedar terjadi berdasarkan keinginan zaman kanak-kanak yang tidak tertunai dan diterjemahkan sebagai simptom.
    3. Membantu pesakit membina secara sedar, pola interaksi dan tingkah laku yang lebih jelas.

    Terdapat dua jenis psikoterapi psikodinamik:

    1. Psikoterapi berorientasikan pengertian (insight) atau psikoterapi ekspresif
    2. Psikoterapi sokongan atau psikoterapi hubungan

    Dalam terapi ini:-

    1. Pesakit diberi temu janji 1-2 kali seminggu
    2. Pesakit yang sesuai untuk terapi psikodinamik termasuklah mereka yang mempunyai kepelbagaian gejala dan masalah seperti pesakit yang mengalami gangguan personaliti, dan kecelaruan ego yang serius, terutamanya di kalangan pesakit psikotik.
    3. Elemen utama terapi ini ialah sistem sokongan.
    4. Pesakit yang sedang mengalami situasi yang kritikal seperti kesedihan akut juga sesuai untuk terapi psikodinamik.
    5. Terapi ini berbentuk jangka panjang, memakan masa bertahun-tahun, terutamanya bagi kes pesakit kronik.
    6. Bentuk sokongan meliputi penetapan had, meningkatkan pengujian realiti, mententeramkan, nasihat dan latihan membina kemahiran sosial.
  2. Terapi Tingkah Laku

    Teori ini dipopularkan oleh B.F Skinner dan Albert Bandura dengan mengandaikan bahawa:-

    • tingkah laku maladaptif boleh berubah tanpa menekankan aspek kognitif sebagai fokus utama.
    • tingkah laku diukur mengikut kekerapan, tempoh,keterukan serta faktor yang menjadi punca dan akibat perbuatannya.

    Terapi tingkah laku adalah berdasarkan prinsip teori pembelajaran yang meliputi pelaziman klasik dan pelaziman operan. Pelaziman operan adalah berdasarkan andaian bahawa tingkah laku dibentuk oleh akibatnya; jika sesuatu tingkah laku diberi peneguhan positif, tingkah laku itu akan bertambah, manakala jika sesuatu tingkah laku itu dihukum, tingkah laku itu akan berkurangan. Teknik-teknik terapi tingkah laku termasuk seperti yang berikut:

    1. Token Ekonomi. Satu bentuk peneguhan positif yang diguna pakai untuk pesakit dalam wad atau rawatan rehabilitasi. Pesakit akan diberi ganjaran berupa token (contohnya makanan, pas kebenaran) apabila menjalankan tingkah laku yang diinginkan seperti berpakaian sesuai dan menghadiri terapi berkumpulan.
    2. Penyahpekaan Sistematik. Teknik ini diguna pakai untuk pesakit yang mempunyai fobia yang teruk dengan mengelakkan diri daripada melalui perkaran yang ditakutinya seperti tempat tinggi, menaiki kapal terbang dan sebagainya. Pesakit akan diminta membina, secara imaginasi, satu hierarki imej yang membuat mereka resah bermula dengan imej yang paling mereka selesa hingga imej yang paling ditakuti. Pesakit akan berada dalam satu-satu tahap hierarki sehinggalah keresahan mereka berkurangan. Apabila prosedur ini dijalankan dalam kehidupan sebenar berbanding dalam imaginasi, teknik ini dipanggil pendedahan berperingkat. Pesakit akan diajar teknik relaksasi bagi membantu mereka melalui setiap peringkat yang sukar itu.
    3. Teknik Relaksasi .Pesakit akan didedahkan teknik yang betul untuk bernafas melalui teknik pernafasan secara mendalam. Selain itu, teknik relaksasi juga merangkumi latihan progresif otot, latihan relaksasi autogenik dan imaginasi yang boleh dibuat secara manual atau menggunakan tape relaksasi yang disediakan.
  3. Terapi Kognitif Tingkah Laku

    Terapi kognitif tingkah laku mula dipraktiskan oleh Albert Ellis dan juga Aaron Beck. Teori menyatakan bahawa tingkah laku adalah hasil daripada cara seseorang berfikir mempengaruhi perasaan dan reaksi tingkah laku mereka. Terapi kognitif tingkah laku bertujuan untuk :-

    1. mengenal pasti fikiran automatik yang tidak membantu
    2. mengklafikasikan jenis-jenis fikiran automatik yang tidak membantu
    3. mencabar fikiran salah dengan menggunakan soalan penstrukturan kognitif
    4. mencari alternatif fikiran yang lebih rasional bagi membantu mengurangkan perasaan dan tingkah laku yang negatif

    Terapi ini berbentuk jangka pendek, selalunya melibatkan 6 hingga 12 sesi dalam masa 12 minggu. Model kognitif untuk kemurungan termasuklah triad kognitif iaitu penjelasan tentang fikiran salah yang berlaku apabila seseorang itu murung. Triad / segitiga itu meliputi :-

    1. pandangan negatif terhadap diri sendiri
    2. tafsiran negatif terhadap pengalaman kini dan masa lalu
    3. harapan negatif terhadap masa hadapan

    Teori-teori di atas boleh digunakan di dalam pelbagai bentuk psikoterapi seperti:-

    1. Temu bual Motivasional

      Teknik ini merujuk kepada pendekatan kaunseling berpusatkan klien. Teknik ini menggunakan kaedah separa terarah bagi membangkitkan motivasi dalaman untuk mengubah tingkah laku. Dalam teknik ini, pakar terapi :-

      1. mengakui dan menerima hakikat bahawa klien sebenarnya yang perlu membuat perubahan dalam hidup mereka
      2. memberikan khidmat kaunseling mengikut tahap kesediaan yang berbeza-beza bagi mengubah tingkah laku klien.

      Empat prinsip umum bagi teknik ini adalah:

      1. Menzahirkan empati
      2. Membina ketidaksamaan
      3. Bersedia dengan rintangan
      4. Menyokong keteguhan kendiri
    2. Terapi Keluarga

      Terapi keluarga adalah berdasarkan teori bahawa keluarga ialah satu sistem yang cuba mengekalkan keseimbangan, walau semaladaptif mana sistem tersebut. Teori ini juga dipanggil orientasi sistem keluarga. Teknik-tekniknya memfokus kepada keluarga berbanding kepada pesakit yang dikenal pasti. Antara matlamat lain terapi keluarga ialah:-

      1. menukar peraturan yang tidak membantu yang diguna pakai sesebuah keluarga
      2. meningkatkan kesedaran tentang dinamik hubungan antara generasi
      3. mencapai keseimbangan antara watak persendirian / keindividuan dan kesepaduan
      4. meningkatkan komunikasi terus secara bersemuka
      5. mengurangkan amalan menuduh dan melempar salah kepada orang lain.
    3. Terapi Interpersonal
    4. Psikoterapi ini berbentuk jangka pendek, mengambil masa antara 12 hingga 16 minggu dan diguna pakai terutamanya bagi rawatan kemurungan yang bukan bipolar atau psikotik. Konflik-konflik intrapsikik tidak diberi tumpuan. Penekanan diberikan kepada hubungan interpersonal semasa dan juga strategi-strategi bagi menambah baik kehidupan interpersonal pesakit. Ubat anti kemurungan selalunya diberikan sebagai rawatan tambahan kepada terapi ini. Pakar terapi bertindak aktif dalam membantu merumuskan masalah utama pesakit yang kemudiannya akan menjadi fokus rawatan.

    5. Terapi Berkumpulan
    6. Terapi berkumpulan mempunyai asas teori yang pelbagai, sama seperti terapi individu. Ada kumpulan yang menekankan sokongan dan peningkatan kemahiran sosial, ada kumpulan yang menekankan kelegaan daripada gejala tertentu dan ada juga yang merungkai konflik-konflik intrapsikik yang tidak selesai. Kumpulan ini selalunya bejumpa 1atau 2 kali seminggu, biasanya selama 1 jam setengah. Kumpulan ini mungkin serba serupa (homogenous) atau pelbagai (heterogenous), bergantung kepada diagnosis. Contoh kumpulan yang serba serupa termasuklah mereka yang ingin menurunkan berat badan, berhenti merokok dan juga yang mana ahli kumpulan berkongsi masalah perubatan atau masalah psikiatri yang serupa. Contohnya pesakit-pesakit AIDS, mereka yang mengalami gangguan stress pasca traumatik atau penagihan bahan terlarang.

    7. Terapi Pasangan / Perkahwinan
    8. Terapi perkahwinan atau terapi pasangan ialah cara yang berkesan untuk membantu kedua-dua pasangan memahami diri masing-masing di samping menyelesaikan masalah mereka bersama. Terapi ini meliputi teknik rawatan yang luas dengan matlamat terapi adalah untuk meningkatkan kepuasan dalam perkahwinan atau menangani kelemahan dalam perkahwinan. Seperti juga terapi keluarga, hubungan tersebut yang diberi perhatian dan bukannya diri pasangan yang dianggap sebagai pesakit.

Kesimpulan

Ringkasnya, perbincangan antara pesakit dan pakar terapi adalah penting dalam mengenal pasti rawatan terbaik bagi menangani masalah yang dihadapi oleh pesakit.

 

Semakan Akhir : 19 Jan 2013
Penulis : Dr. Hjh. Firdaus Bt. Mukhtar