A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Psikologi Kaunseling
  6. /
  7. Dewasa
  8. /
  9. Psikologi Individu yang mengalami...

Psikologi Individu yang mengalami Masalah Mati Pucuk (Erectile Dsyfunction)

Pengenalan

“Erectile dysfuntion” (ED) atau mati pucuk merupakan satu penyakit yang dialami oleh individu lelaki tanpa mengenal paras rupa, usia dan sempadan. Dianggarkan lebih 3 juta lelaki di Malaysia yang mengalami mati pucuk. Seks adalah salah satu keperluan asas setiap individu yang perlu dipenuhi sesuai dengan fitrah kejadian manusia ciptaan Allah S.W.T. Apabila seseorang individu tidak dapat memenuhi keperluan asas daripada segi seks, ia menunjukkan seseorang itu mengalami ED sama ada pada peringkat awal atau teruk berdasarkan simptom-simptom yang dialami. Daripada sudut psikologi, mati pucuk bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal dan mental, bahkan menghancurkan sesebuah rumahtangga yang telah dibina.

ED

ED adalah penyakit gangguan kepada lelaki apabila tidak dapat mempunyai ereksi atau mengekalkannya. Masalah ini bukanlah suatu penyakit yang jarang berlaku atau biasa di kalangan lelaki di seluruh dunia, tetapi penyakit ED kini sudah meningkat dan membimbangkan serta boleh berlaku kepada setiap lelaki seawal umur 20-an. Setiap lelaki yang mengalami ED, amat sukar untuk mengakui atau menerimanya kerana persepsi diri yang negatif seperti malu diketahui orang lain akan menyebabkan dirinya dihina dan diketawakan oleh masyarakat sekeliling. Perbincangan yang terbuka dan bagi mendapatkan rawatan secara langsung, sudah tentu diabaikan oleh lelaki yang mengalami ED. Oleh itu, mati pucuk merupakan penyakit yang mengganggu proses kehidupan setiap insan.

Definisi Mati Pucuk

Menurut kamus Dewan Bahasa edisi keempat, mati pucuk diertikan sebagai tidak ada lagi tenaga kelaki-lakian atau lemah zakar. Manakala daripada segi kesihatan, mati pucuk adalah ketidakupayaan dalam memperolehi dan mengekalkan ketegangan yang cukup lama untuk mencapai kepuasan hubungan seks. Mati pucuk juga merujuk kepada kecacatan dalam seks yang mengakibatkan seseorang tidak mempunyai keupayaan untuk bersetubuh. Mati pucuk ini merupakan kecacatan yang amat membimbangkan kerana boleh menghancurkan sesebuah perkahwinan ekoran daripada pasangan yang tidak dapat menghasilkan keturunan.

Bagi lelaki yang tidak mampu melakukan persetubuhan disebut “mati pucuk” atau dalam bahasa Inggeris dipanggil “erectile dysfunction” (ED), iaitu batang zakar menjadi lembik dan tidak boleh menegang.

Masalah-masalah Mati Pucuk

Dewasa ini, lelaki di Malaysia yang mengalami mati pucuk cenderung untuk memilih haluan sendiri dengan mengambil langkah-langkah yang negatif, seperti mengambil pil-pil atau ubat-ubatan tanpa berfikir panjang tentang kesan dan akibat daripada pengambilan tersebut. Penghidap ED sering mengalami penderitaan secara senyap, dan penyakit ini memberi kesan secara psikologikal dan fizikal seseorang individu. Banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu mengalami ED, antaranya faktor persekitaran iaitu mengamalkan cara hidup bebas contohnya, tabiat merokok, mengambil minuman keras, dan mengamalkan seks bebas pada awal usia. Selain daripada itu, keadaan fizikal dan masalah kesihatan lain serta perubatan juga berkait rapat dengan permasalahan ini seperti kecederaan pada otak dan saraf tunjang, kegagalan hati dan buah pinggang, penyakit parkinson, strok, komplikasi pembedahan pundi kencing, dan penyakit kencing manis. Penyakit mental seperti kemurungan atau kebimbangan, stres dan tekanan dalam diri turut menjadi penyebab kepada individu yang mengalami ED.

MatiPucuk deritaED

Derita dalam diam, adalah sesuatu yang sangat menyakitkan diri seseorang untuk meneruskan kehidupan mereka yang menghidap ED. Malu merupakan gangguan yang paling utama dalam diri seseorang lelaki yang mengalaminya. Keegoan diri untuk mendapatkan rawatan pada peringkat awal diabaikan sehingga menimbulkan masalah lain yang lebih teruk. Gangguan-gangguan psikologi yang dialami seperti gangguan emosi, tingkah laku, persepsi dan pemikiran telah menyebabkan seseorang lelaki tidak mampu meneruskan sebuah kehidupan dengan lebih baik dan sentiasa berpura-pura menyatakan tiada masalah walaupun diri dibelenggu ketidakselesaan, kebimbangan, kesedihan, ketakutan, dan tekanan dalam diri. Ekoran daripada itu, gangguan-gangguan tersebut telah memberikan kesan yang mendalam sehingga membataskan aktiviti harian setiap individu serta boleh mengubah tingkah laku, personaliti dan perwatakan seseorang. Sekiranya individu ED itu berkahwin akan membuatkan rumahtangga mereka bermasalah, manakala bagi individu yang tidak berkahwin tetapi menyedari diri mengalami ED akan membuatkan mereka takut untuk membina sebuah ikatan perkahwinan dan sentiasa menjauhkan diri daripada masyarakat.

Perubahan Emosi, Tingkah laku, Harga Diri (self-esteem)

Seseorang individu yang mengalami ED, akan mengalami perubahan emosi yang tidak konsisten bergantung kepada keadaan persekitaran yang dihadapinya. Perasaan negatif sentiasa timbul dalam diri individu ED, apabila dikelilingi oleh rakan-rakan yang mempunyai kelebihan daripada segi hubungan seksual. Lantaran itu, individu tersebut akan menyepi dan sentiasa mengelak daripada berbicara tentang perkahwinan dan keturunan. Hal ini, menyebabkan individu ED akan cuba mencari keseronokan lain demi menghilangkan perasaan negatif tersebut.

Bagi mengelakkan diri dibelenggu oleh perasaan negatif, perubahan tingkah laku penghidap ED boleh dilihat melalui tingkah laku yang positif kepada negatif. Jika seseorang itu tidak; pernah merokok, dia akan cuba merokok untuk mengelakkan tekanan yang dialami. Selain daripada itu, indvidu ED tersebut akan mengelakkan diri daripada bergiat aktif melalui aktiviti harian yang biasa dilakukannya kepada aktiviti yang tidak berfaedah seperti menonton televisyen sepanjang masa dan sebagainya.

Secara tidak langsung, perubahan emosi dan tingkah laku yang negatif akan menghakiskan “self-esteem” atau harga diri seseorang individu yang mengalami ED. Seseorang itu akan berasa diri tidak berguna lagi dan sentiasa berputus asa dalam usaha mencari alternatif atau jalan penyelesaian bagi menyelesaikan masalah atau konflik yang berlaku. Jika usaha yang dilakukan tidak mencapai matlamat yang diingini, keyakinan penghidap ED akan terus berkurangan.

Justeru itu, penghidap ED sangat sukar untuk menerima kenyataan tentang penyakit yang dihadapi. Walaupun pelbagai kaedah rawatan yang disediakan oleh pihak kerajaan atau agensi yang terlibat, namun masih ramai yang menggunakan cara yang singkat iaitu dengan mengambil ubat-ubatan tanpa pengiktirafan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kaunseling

Daripada sudut perkhidmatan psikologi kaunseling, terdapat dua jenis terapi yang perlu dijalani oleh individu yang mengalami ED bersama Pegawai Psikologi atau Kaunselor bertauliah. Terapi yang pertama ialah kaunseling individu dan kedua ialah terapi kelompok. Melalui kaunseling individu, pelbagai pendekatan boleh digunakan bergantung kepada kesesuaian dan sosio budaya individu yang terlibat. Robert J. Sternberg 2004 dalam bukunya yang bertajuk Psychology 4e telah menyatakan beberapa pendekatan yang boleh diamalkan seperti pendekatan psikoanalisis, psikodinamik, psychoeducation, dan humanistik. Pelbagai terapi boleh diamalkan bagi mengatasi permasalahan yang dihadapi oleh klien antaranya ialah Gestalt Theory, Cognitive Therapy, Behavior Therapy dan lain-lain lagi yang bersesuaian dengan keadaan klien. Kemahiran-kemahiran dalam perkhidmatan psikologi kaunseling juga perlu diamalkan oleh kaunselor bagi memberikan rawatan yang berkesan kepada individu yang mengalami ED.

Selain itu, kaunseling kelompok juga sesuai dilaksanakan untuk membantu meningkatkan keyakinan diri individu yang menghidap ED mengikut kesesuaian terapi dan kemahiran dalam pembentukan ahli-ahli kelompok.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang beragama Islam, solat, membaca ayat-ayat suci Al-Quran, zikir dan doa adalah terapi yang paling berkesan dalam merawat mati pucuk.

Kesimpulannya, mati pucuk  atau ED adalah salah satu penyakit yang amat berbahaya kerana dapat menghancurkan keseluruhan aspek kehidupan manusia jika tidak menjalani rawatan yang sepatutnya. Sesungguhnya, mencegah itu lebih baik daripada mengubat, namun berusaha untuk meningkatkan kesihatan hidup adalah amat dituntut dalam Islam.

Rujukan

  1. http://myhealth.moh.gov.my/index.php/warga-emas/penyakit-biasa/mati-pucuk
  2. https://doaayatdanzikir.wordpress.com/2015/04/08/doa-masalah-lemah-tenaga-batin-atau-mati-pucuk/
  3. Kamus Dewan Edisi Keempat 2010, Dewan Bahasa dan Pustaka.
  4. Robert J. Sternberg 2004, Psychology 4e. Yale Universiti

 

Semakan Akhir : 23 Januari 2017
Penulis : Zulkarnain bin Idris
Akreditor : Hjh Hashimah binti Abd Razak

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,179,478

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia