Home > Kesihatan Pergigian > Bidang Kepakaran > Prostesis Untuk Pesakit Yang Mempunyai Kecacatan Maksilofasial

Prostesis Untuk Pesakit Yang Mempunyai Kecacatan Maksilofasial

Kecacatan maksilofasial adalah ketidaknormalan tulang dan/atau tisu lembut pada rahang dan muka. Penyebab utama berlakunya kecacatan maksilofasial adalah kecederaan akibat dari kemalangan atau luka tembakan, pembedahan tumor, penyakit seperti tuberkulosis dan sifilis, serta kecacatan kongenital seperti belahan (klef) lelangit.

Kecacatan maksilofasial boleh memberi kesan kepada fungsi, estetik dan juga psikologikal pesakit. Sekiranya kecacatan melibatkan bahagian lelangit keras, pertuturan akan kedengaran sengau (hypernasal) dan boleh menyebabkan regurgitasi hidung sewaktu menelan (makanan atau minuman keluar melalui rongga hidung). Sekiranya bahagian lelangit lembut yang terlibat, proses penelanan minuman atau bolus makanan melalui esofagus akan menjadi sukar dan pertuturan akan menjadi sengau.

Prostesis selalunya diperlukan apabila rekonstruksi dari pembedahan tidak dapat menutup kecacatan yang ada. Di antara fungsi prostesis ialah untuk mengembalikan estetik dan fungsi, melindungi tisu dan juga sebagai terapi psikologi kepada pesakit.

Saiz dan bentuk prostesis adalah berbeza mengikut kecacatan yang ada. Kegagalan prostesis selalunya dikaitkan dengan faktor pegangan yang dipengaruhi oleh bilangan gigi yang ada, saiz kecacatan, keadaan tisu sekeliling dan kawalan otot. Berbagai jenis teknik dan pegangan digunakan untuk memperbaiki pelekatan prostesis; seperti penggunaan implant, magnet dan juga pelekat tisu. Bahan-bahan yang digunakan untuk pembuatan prostesis adalah seperti akrilik, silikon dan juga poli-ether.

Terdapat dua jenis prostesis iaitu, prostesis intraoral (dalam mulut) dan prostesis ekstraoral (luar mulut).

Prostesis Extraoral:

  • Prostesis Okular untuk menggantikan mata.
    Gambar 1: Prostesis Okular
    (sumber gambar:internet)
     
     
  • Prostesis Hidung untuk menggantikan hidung.
    Gambar 2: Prostesis Hidung
    (sumber gambar:internet)
     
     
  • Prostesis Aurikular untuk menggantikan telinga.
    Gambar 3 : Prostesis Aurikular
    (sumber gambar:internet)
     
     

Prostesis Intraoral:

  • Obturator digunakan untuk menutup lelangit selepas kehilangan rahang maksila atau belahan lelangit. Ia menggantikan struktur gigi dan gusi di samping menutup kawasan kecacatan tersebut supaya pesakit boleh menelan, mengunyah dan bertutur.
    Gambar 4: Obturator
  • Prostesis Penyokong Lelangit adalah untuk memberi sokongan kepada lelangit lembut supaya berada di posisi yang sepatutnya untuk membantu pesakit bertutur dengan betul.


    Gambar 5: Prostesis Penyokong Lelangit.
    (sumber gambar:internet)
     

  • Prostesis Reseksi Mandibel adalah untuk menggantikan kehilangan bahagian rahang bawah serta struktur gusi dan gigi.
    Gambar 6: Prostesis Reseksi Mandibel
    (sumber gambar:internet)

Rujukan

  1. Filiz keyf. Review: Obturator prostheses for hemimaxillectomy patients. Journal of Oral Rehabilitation 2001;28; 821-829.
  2. General Principles of Maxillofacial Prosthetics . Author: Mounir Kharchaf;
  3. Harsh M and Sandeep J. Retentive aids in maxillofacial prosthesis.  Dental Impact 2012;42.

 

Semakan Akhir : 25 Ogos 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Isma Liza bt. Ali
Akreditor : Dr. Fauziah bt. Ahmad