Home > Kesihatan Pergigian > Bidang Kepakaran > Prostesis Untuk Pesakit Sumbing Bibir Dan Lelangit

Prostesis Untuk Pesakit Sumbing Bibir Dan Lelangit

Pengenalan

Sumbing bibir dan sumbing lelangit juga dikenali sebagai rekah bibir dan rekah lelangit adalah keadaan kecacatan pada muka yang melibatkan samada bahagian bibir sahaja, lelangit sahaja, ataupun kedua-duanya sekali.

Dalam keadaan sumbing bibir, terdapat satu belahan pada bibir atas yang yang boleh berlanjutan sehingga ke bahagian dalam hidung. Belahan ini boleh terjadi samada di bahagian sebelah muka sahaja, pada kedua-dua belah muka, atau di bahagian tengah muka.

Manakala dalam hal sumbing lelangit pula, bahagian bumbung mulut di lelangit boleh terbuka hingga sampai ke bahagian dalam hidung. Di negara maju, ia berlaku dalam kira-kira 1 hingga 2 bagi setiap 1000 kelahiran akibat daripada kegagalan tisu muka untuk bercantum semasa proses pembentukan bayi dalam kandungan. Dalam kebanyakan kes, puncanya adalah tidak diketahui. Walaubagaimanapun, faktor-faktor risiko yang boleh dikaitkan adalah seperti merokok semasa mengandung, diabetes, ibu yang berusia, obesiti, dan ubat-ubatan tertentu, seperti ubat yang digunakan untuk merawat sawan. Mereka sering boleh di kenalpasti semasa masih dalam kandungan ibu melalui pemeriksaan imbasan ultrasound.

Kes sumbing bibir dan lelangit secara sebelah muka (unilateral) di kenalpasti berlaku dua kali lebih banyak berbanding dengan kes sumbing bibir dan lelangit yang melibatkan kedua- dua bahagian muka (bilateral) yang secara keluruhannya hanya sebanyak 10%.

Atas sebab-sebab yang tidak diketahui, sumbing bibir dan lelangit sebelah kiri di dapati dua kali lebih kerap terjadi berbanding sumbing bibir dan lelangit di sebelah kanan muka. Kanak-kanak lelaki di katakan lebih banyak mengalami keadaan sumbing bibir atau gabungan sumbing bibir dan sumbing lelangit ini manakala sumbing lelangit secara sendirian banyak terdapat di kalangan kanak-kanak perempuan.

Komplikasi

  • Masalah Pergigian

    Masalah pergigian yang biasa dilihat termasuk gigi bersaiz kecil, gigi yang tiada, gigi terlebih (dipanggil gigi supernumerari), atau gigi yang berada di luar jajaran. Mereka mungkin mempunyai kecacatan pada tulang yang menyokong gigi (batas alveolar) yang membawa kepada kedudukan gigi di luar posisi biasa, tercondong, terputar ataupun keadaan yang menghalang gigi kekal dari tumbuh dengan baik.

  • Masalah Pertuturan

    Tidak seperti sumbing lelangit, pesakit yang mempunyai sumbing bibir mempunyai masalah pertuturan yang minimum. Pesakit sumbing lelangit sering menghasilkan bunyi hypernasal (bunyi seperti suara keluar dari hidung) dan bunyi yang tersasar r, terutamanya “s”, “sh”, “ch” dan “j.” Ini berlaku kerana lelangit tidak dapat mencegah udara daripada bocor keluar ke hidung.

  • Masalah Klinikal

    Masalah klinikal yang dihadapi dalam merawat pesakit tersebut adalah sama dengan pesakit yang telah menjalani pembedahan tisu tumor pada rahang maksila. Penemuan yang biasa di temui di kalangan pesakit sumbing lelangit dewasa yang edentulous (tiada gigi) termasuklah kesukaran untuk menelan, kebocoran cecair mulut ke hidung, pertuturan hypernasal, penurunan keupayaan mengunyah, dan gangguan estetik.

Rawatan

Pembedahan untuk membaik pulih sumbing bibir biasanya di lakukan ketika kanak-kanak tersebut berusia 3 hingga 6 bulan. Prosedur khas seperti lekatan bibir atau peranti plat acuan digunakan jika sumbing bibir adalah luas. Pembaikan ini biasanya meninggalkan parut kecil di bibir di bawah hidung. Pembedahan untuk membaikpulih sumbing lelangit biasanya dibuat pada usia 9-12 bulan. Tujuan pembedahan adalah untuk menutup bukaan di lelangit yang penting untuk fungsi pertuturan. Lebih banyak pembedahan mungkin diperlukan untuk membantu memperbaiki pertuturan dan menyediakan kestabilan untuk gigi kekal apabila kanak-kanak semakin dewasa. Pembedahan ini dilakukan apabila kanak-kanak berusia antara 6 dan 10 tahun. Gigi kekal yang tiada boleh digantikan sama ada dengan gigi palsu atau implan pergigian.

Pemulihan Prostetik

Pengurusan prostetik di kalangan pesakit kecacatan sumbing bibir dan lelangit ini adalah satu cabaran besar kepada pakar- pakar klinikal. Prostesis yang dibuat bukan sahaja bertindak sebagai obturator (penutup) lelangit untuk mengelakkan makanan dan cecair dari bocor ke dalam rongga hidung, tetapi juga membantu meningkatkan keboleh-fahaman pertuturan, fungsi pengunyahan dan juga estetik.

Pelbagai pilihan prostetik disediakan yang terdiri daripada secara konvensional sehinggalah kepada penggunaan implan pergigian. Pembuatan prostesis mengutamakan aspek kemudahan untuk dipakai, aspek kestabilan, mempunyai ciri pegangan dan boleh di gunakan untuk mengunyah. Gabungan cantuman tulang dan implan t bagi menyokong prostesis tetap atau boleh alih merupakan satu alternatif pendekatan rawatan secara invasif; manakala pembuatan prostesis secara konvensional samada tetap atau boleh alih adalah alternatif yang lebih konservatif untuk pesakit yang tidak mahukan pembedahan.

Gambar 1. Pandangan dalam mulut rahang atas dengan sumbing lelangit yang luas.
Gambar 2. Prostesis obturator yang di buat kepada pesakit dalam gambar 1.
   
Gambar 3. Pandangan depan obturator dan dentur penuh di rahang bawah
Gambar 4. Pandangan dekat obturator dalam mulut.
   
Gambar 5. Kes pesakit sumbing lelangit dengan obturator yang di buat. Obturator ini akan menghalang makanan dan minuman daripada bocor ke dalam rongga hidung.
 

Dalam keadaan sumbing bibir di kedua-dua belah muka dan sumbing lelangit yang tidak dibaik pulih, gabungan masalah bukaan oronasal yang agak besar dan kehadiran tisu lembut hiperplastik disekitarnya serta batas alveolar yang sangat rendah, terdapat keperluan untuk menggunakan gabungan rawatan implan dan penggunaan atakmen luar korona untuk memberi ciri sokongan dan pegangan kepada prostesis.

Gabungan prostesis tetap yang di simenkan dan prostesis boleh tanggal juga boleh membantu untuk menutup komunikasi oronasal di lelangit keras secara optimum bagi memenuhi keperluan fungsi dan estetik pesakit.

Pemulihan secara prostetik pesakit sumbing bibir dan lelangit ini akan memberikan mereka penampilan yang lebih baik, membolehkan pesakit berasa normal, meningkatkan harga diri, menawarkan peluang yang lebih besar untuk pekerjaan dan memenuhi potensi sosial mereka.

Rujukan

  1. Ayse Mese and Eylem Ozdemir. Removable partial denture in a cleft lip and palate patient: A case Report. J Korean Med Sci.2008 Oct; 23(5): 924-927 {Pubmed}
  2. Bora Bagis et al. Rehabilitation of a congenital palatal defect with a modified technique: a case report.  Cases J. 2008; 1:39. Published online 2008 July 16. doi: 10.1186/1757- 1626-1-139.{PubMed}
  3. Jose Alberto et al. Rehabilitative treatment of cleft lip and palate: experience of the Hospital for Rehabilitation of Craniofacial Anomalies/USP (HRAC/USP) Part 4: Oral Rehabilitation. J Appl Oral Sci. 2013 May – Jun; 21(3): 284- 292. doi 10.1590/1679-775720130127 {PubMed}

 

Semakan Akhir : 26 Oktober 2016
Penulis / Penterjemah : Dr. Balkis bin Ghazali
Akreditor : Dr. Fauziah bt. Ahmad