Dentur atau gigi palsu adalah sejenis prostesis boleh tanggal yang digunakan bagi menggantikan kehilangan gigi. Tujuan pemakaian dentur adalah bagi mengembalikan fungsi pengunyahan, estetik dan pertuturan. Kos rawatan dentur adalah lebih murah berbanding jambatan pergigian dan implan.
- Langkah-langkah pembuatan dentur melibatkan prosedur klinikal dan juga makmal.
- Langkah pertama setelah pemeriksaan klinikal dan radiograf, adalah pengambilan impresi atau acuan mulut.
- Ianya ialah untuk merekodkan bentuk dan struktur dalam mulut yang menjadi kawasan padanan gigi palsu.
- Bahan yang biasa digunakan `alginat’ adalah dalam bentuk pes, akan dimuatkan dalam tray seterusnya dimasukkan ke dalam mulut pesakit. Bahan ini akan menjadi kental dan set pada suhu mulut, apabila dikeluarkan akan menghasilkan impresi mulut pesakit.
- Impresi bagi rahang atas dan bawah akan dihantar ke makmal untuk proses tuangan plaster.
Model yang dihasilkan dipanggil model kajian. Model ini digunakan oleh Juruteknologi Pergigian sebagai panduan untuk membuat tray khas yang padan rapat dengan rahang pesakit.
- Tray dipangkas jika perlu agar padan dengan rahang pesakit.
- Tray khas akan digunakan untuk mengambil impresi sekunder yang merekodkan keadaan rahang dengan lebih baik dan terperinci.
- Seterusnya impresi sekunder di hantar ke makmal untuk proses tuangan.
- Tuangan impresi sekunder menggunakan bahan plaster atau `stone’ yang lebih keras. Model yang dihasilkan akan dijadikan model kerja.
- Blok gigitan dari lilin berbentuk ladam kuda akan disediakan mengikut ukuran tertentu bagi rahang atas dan bawah.
- Seterusnya blok gigitan akan digunakan oleh Doktor Pergigian untuk merekodkan hubungan rahang pesakit.
- Pengubahsuaian akan dilakukan berdasarkan hubungan rahang atas dan rahang bawah pesakit.
- Setelah hubungan rahang sebenar rahang ditentukan, kedudukan kedua-dua blok gigitan perlu ditetapkan dan dilekatkan samaada menggunakan `bite registration pes’ atau melekatkan blok lilin dengan dawai kokot.
- Pemilihan warna dan bentuk gigi palsu dibuat sebelum blok gigitan dihantar ke makmal untuk proses pemasangan pada artikulator.
- Gigi-gigi palsu akan dipasang dan lilin diukir mengikut bentuk gusi.
- Temujanji seterusnya melibatkan `try in’ atau ‘cubapasang’ gigi palsu dalam bentuk lilin untuk menyemak gigitan, padanan dan estetik.
- Sekiranya pesakit berpuashati, dentur dalam bentuk lilin tersebut akan dihantar ke makmal untuk diproses menjadi akrilik.
- Setelah dentur lilin diproses, pemangkasan dan penggilapan dilakukan.
- Pada temujanji berikutnya, pesakit diberi gigi palsu yang telah siap diproses. Sebelum dentur boleh diserahkan kepada pesakit, doktor akan menyemak padanan dentur dan gigitan.
- Kadangkala sedikit pengubahsuaian perlu dilakukan untuk memastikan dentur yang dipakai selesa dan berfungsi dengan baik.
Sebelum pulang dengan dentur baru, pesakit akan diberitahu tentang cara-cara penyimpanan dan penjagaan harian dentur.
|
|