Home > Ubat & Anda > Kawalan Ubat > Produk Makanan Kesihatan Tambahan yang Dicampur Bahan Terlarang

Produk Makanan Kesihatan Tambahan yang Dicampur Bahan Terlarang

Produk makanan kesihatan tambahan terdiri daripada makanan atau minuman kesihatan dan vitamin untuk membantu dalam pertumbuhan sel-sel, pengawalan kesihatan, dan pencegahan penyakit. Ia juga berperanan sebagai tambahan kepada diet dalam memberikan nutrien, seperti vitamin, mineral, serat, asid lemak, atau asid amino, yang mungkin hilang atau tidak diambil dalam dikuantiti yang mencukupi dalam diet seseorang.

Produk makanan dan minuman kesihatan tambahan tidak dikawal oleh Akta Racun 1952. Ia tertakluk di bawah bidang kuasa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia yang akan memantau dan mengambil tindakan terhadap kesalahan jika berkaitan dengan akta yang mereka kuatkuasakan. Walaubagaimanapun, sekiranya makanan dan minuman kesihatan tersebut dikenalpasti dicampur dengan bahan yang tertakluk di bawah Akta Racun 1952, Bahagian Penguatkuasa Farmasi, Kementarian Kesihatan Malaysia akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan ke atas syarikat pengeluar dan pengimport produk tersebut.

Hasil pemantauan yang dijalankan mendapati kewujudan pelbagai produk melangsingkan badan yang menyamar sebagai produk makanan kesihatan tambahan tetapi mempunyai tuntutan kesihatan yang melampau. Sesuatu produk makanan adalah tidak dibenarkan mempunyai sebarang tuntutan perubatan seperti boleh menguruskan badan dan berupaya untuk meningkatkan keupayaan seks bagi kaum lelaki. Contoh agen pelangsingan badan yang sering dicampur adalah Sibutramine manakala bagi meningkatkan keupayaan seks bahan yang sering dicampur adalah Sildenafil, Tadalafil dan analognya.

Pada awalnya produk mengandungi Sibutramine didaftarkan di Malaysia sebagai terapi tambahan kepada diet dan senaman untuk pesakit obes yang mempunyai faktor risiko seperti penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi. Walaubagaimanapun sejak tahun 2010 penggunaan Sibutramine telah diharamkan di Malaysia dan beberapa negara lain kerana terdapat peningkatan risiko serangan jantung dan strok, terutamanya di kalangan pengguna yang mempunyai sejarah penyakit kardiovaskular. Antara kesan lain penggunaannya adalah masalah gangguan tidur, tekanan perasaan, sawan serta boleh merosakkan hati dan buah pinggang. Walaupun penggunaan Sibutramine ini telah diharamkan dan tiada lagi produk berdaftar yang mengandungi Sibutramine di pasaran, namun kini ianya muncul semula dalam produk-produk tradisional dan produk makanan kesihatan tambahan. Keadaan ini adalah membimbangkan kerana pengguna sukar untuk mengetahui kandungannya yang sebenar kerana kandungannya tidak dilabelkan.

Bagi Sildenafil, Tadalafil dan analognya pula, bahan-bahan ini hanya diboleh digunakan semasa mendapat rawatan daripada doktor perubatan sahaja kerana ianya berisiko tinggi menyebabkan kematian mengejut jika diambil tanpa pengawasan doktor. Di Malaysia, penggunaan Sildenafil dan analognya biasanya digunakan dalam rawatan mati pucuk (‘impotent”) untuk kaum lelaki tetapi kini penggunaanya telah disalahgunakan untuk mencapai kepuasan seks yang melampau.

Pengguna dinasihatkan supaya berhenti atau tidak mengambil produk tersebut kerana penggunaannya tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers seperti tekanan darah rendah di mana pengguna akan merasa pening hingga hampir pitam. Kombinasi dengan bahan nitrat yang terdapat di dalam produk/ubat yang lain boleh menyebabkan serangan jantung dan mati mengejut. Oleh itu, adalah sangat berbahaya sekiranya produk ini digunakan oleh pengguna tanpa sebarang pengawasan.

Masyarakat pada hari ini mungkin merasa keliru kerana banyak pihak cuba mengambil jalan mudah bagi melariskan jualan dengan membuat pelbagai tuntutan perubatan walaupun produk mereka tidak dikelaskan sebagai ubatan. Sebagai contoh, pengeluar produk makanan kesihatan berlumba-lumba memberi kenyataan bahawa produk mereka berfungsi seperti ‘suplemen atau makanan kesihatan’ dan mempunyai pelbagai kesan terapeutik walaupun tiada kajian khusus dijalankan ke atas produk berkenaan. Ini dilakukan dengan mengambil kesempatan ke atas kesedaran orang ramai yang semakin menitikberatkan penjagaan kesihatan.

Pengguna dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan iklan dan promosi yang berlebihan, terutamanya dalam bentuk testimoni dari duta-duta produk yang sebenarnya telah dibayar untuk mengucapkan dialog dan aksi yang telah diskripkan bagi mereka. Ianya direka semata-mata untuk mempromosi produk dengan taktik mempengaruhi dan memperdaya pengguna. Kebanyakannya sengaja direka tanpa sebarang asas dan bukti saintifik untuk menyokong dakwaan mereka.

Pengguna adalah dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat yang tepat mengenai ubat-ubatan atau produk kesihatan tambahan dari ahli farmasi atau dari pengamal perubatan di premis farmasi atau klinik. Ini kerana kekeliruan boleh berlaku apabila rupa bentuk produk atau tuntutan perubatan yang dibuat seolah-olah seperti ubat namun ianya adalah makanan kesihatan tambahan. Bagi produk makanan dan minuman tambahan, periksa label kandungannya terlebih dahulu sebelum membeli.

Semakan Akhir : 06 Januari 2014
Penulis : Aimi bt. Zulkifli