A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kosmetik
  6. /
  7. Produk Kecantikan Atau Produk...

Produk Kecantikan Atau Produk Kosmetik?

Produk kosmetik selalunya dikenali sebagai alat solek atau produk yang digunakan secara luaran untuk mencantikkan seseorang individu. Produk kosmetik tidak hanya merujuk kepada gincu, bedak muka, maskara malah ia merangkumi lain-lain produk penjagaan pembersihan diri seperti syampu, sabun badan dan produk penjagaan gigi.

Cantik dan kosmetik adalah sangat sinonim. Terdapat banyak pilihan produk kecantikan yang mudah didapati berada di pasaran.

Produk kecantikan ini boleh dibeli dalam pelbagai bentuk, sediaan, warna, rasa, bau dan cara pengambilan dengan bermacam-macam tuntutan dan kegunaan. Contohnya, seseorang individu itu boleh menjadi putih setelah memakai krim A, menjadi ramping dengan meminum Jus B dan mendapatkan kulit putih mulus hanya dengan memakan kapsul C. Tidak cukup dengan itu, kita disogokkan lagi dengan iklan-iklan produk yang sangat mengujakan di media cetak dan elektronik.

Tetapi pernahkah kita terfikir sejauh mana produk ini berkesan, selamat dan adakah ia dikawal oleh mana-mana pihak berkuasa?

Apa Itu Produk Kosmetik?

Secara amnya, produk kosmetik selalunya dikenali sebagai alat solek atau produk yang digunakan secara luaran untuk mencantikkan seseorang individu. Di peringkat kawalan regulatori, kosmetik mempunyai definisi yang lebih terperinci dan jelas iaitu bahan atau sediaan untuk digunakan pada bahagian luaran badan manusia seperti kulit, rambut, kuku, bibir, bahagian luaran organ genital manusia, gigi atau membran mukus di dalam mulut yang bertujuan untuk membersih, mewangi, mengubah penampilan, menghilangkan bau badan, melindungi dan mengekalkan dalam keadaan baik. Produk kosmetik tidak hanya merujuk kepada gincu, bedak muka, maskara malah ia merangkumi lain-lain produk penjagaan pembersihan diri seperti syampu, sabun badan dan produk penjagaan gigi.

 Contoh produk kosmetik

Walau bagaimanapun, pengguna selalu beranggapan bahawa produk kecantikan yang diambil secara dimakan atau diminum juga adalah produk kosmetik kerana tuntutan kosmetik digunakan ke atas produk tersebut seperti mencantikkan atau melembapkan kulit. Anggapan ini adalah salah kerana produk kosmetik hanya boleh digunakan pada bahagian luaran sahaja. Oleh itu, apa-apa produk yang diminum atau dimakan tidak boleh dikategorikan sebagai produk kosmetik sebaliknya perlu diklasifikasikan sebagai produk suplemen kesihatan, tradisional atau makanan. Terdapat beberapa agensi yang mengawal selia produk-produk ini iaitu Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA) dan Bahagian Kawalan Kualiti Makanan (BKKM) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sebagai contoh, produk yang mengandungi kolagen ada dijual sebagai krim muka yang digunakan pada kulit muka atau sebagai minuman pracampur atau kapsul untuk dimakan. Dalam konteks ini, krim muka yang mengandungi kolagen adalah dikategorikan sebagai produk kosmetik manakala serbuk minuman atau kapsul kolagen boleh diklasifikasikan sebagai makanan atau suplemen kesihatan.

Contoh-contoh produk diambil secara dimakan atau diminum yang menggunakan tuntutan kosmetik

Iklan Produk Kosmetik

Selain itu, pengguna dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dan terpedaya dengan iklan berkaitan produk kosmetik yang kadang kala membuat tuntutan yang melampau. Hal ini demikian disebabkan terdapat iklan yang mempromosi produk kosmetik bersama lain-lain produk kecantikan atau kesihatan yang memerlukan pengguna membeli kesemua produk tersebut untuk mendapatkan kesan yang lebih bagus. Secara tidak langsung ini menyebabkan penguna terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan kesan yang dijanjikan. Iklan seumpama ini boleh mengeliru dan memperdayakan pengguna.

Contoh iklan produk kosmetik yang mengelirukan

Bagaimana Produk Kosmetik Dikawal di Malaysia?

Produk kosmetik yang dipasarkan di Malaysia dikawal oleh NPRA di mana syarikat yang ingin memasarkan produk ini perlu membuat notifikasi produk tersebut kepada NPRA dan memastikan bahan yang digunakan adalah dalam kepekatan /had dan syarat yang dibenarkan serta cara penggunaan yang betul. Iklan berkaitan produk kosmetik perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. Produk kosmetik di pasaran juga sentiasa dipantau oleh pihak NPRA untuk memastikan keselamatan dan kualiti produk serta mematuhi keperluan undang-undang yang ditetapkan.

Pengguna boleh menyemak status notifikasi produk kosmetik melalui laman sesawang rasmi NPRA iaitu melalui sistem ‘QUEST3+ product search’ atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuatturun melalui Google Play Store.

Laman sesawang NPRA www.npra.gov.my

Semakan Akhir : 22 Ogos 2019
Penulis : Noor Hidayah bt. Mohd Noor
Akreditor : Zuraida bt. Abdullah
Penyemak : Wan Mohaina bt. Wan Mohammad
  : Hanum Maisarah bt. Abdul Rahman

 

Artikel Berkaitan

Awas! Sinaran Matahari

Pendedahan kepada cahaya matahari yang lama boleh menyebabkan kulit terbakar (Sunburn), penuaan pra-matang, kanser kulit dan kerosakan mata akibat sinaran ultra violet (UV)

Bahan semulajadi dalam kosmetik

Produk kosmetik mengandungi pelbagai bahan yang boleh dikelaskan sebagai bahan semulajadi dan bahan sintetik. Formulasi suatu produk kosmetik boleh terdiri daripada samada campuran bahan sintetik dan bahan semulajadi, bahan-bahan sintetik atau bahan-bahan semulajadi sahaja.

Kenali kosmetik anda

Produk kosmetik ditakrifkan sebagai “bahan atau sediaan yang bertujuan untuk digunakan pada bahagian luaran tubuh manusia seperti kulit, rambut, kuku, bibir dan bahagian luar alat kelamin atau gigi dan membran mukosa di dalam mulut, yang bertujuan untuk membersih, mewangi, memperbaiki/mengubah rupa, mencantikkan, menghilangkan bau badan, melindungi dan mengekalkan dalam keadaan baik ”.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,232,229

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia