Plak Gigi

Plak gigi ialah lapisan bakteria yang melekit serta tidak berwarna, terbentuk dan melekap pada permukaan gigi, lidah, gigi palsu dan tempat-tempat strategic seperti pinggiran tampalan, korona dan celah-celah gigi. Plak sering disalah tafsirkan sebagai sisa makanan yang melekat pada gigi.

Secara saintifik, plak gigi dikenali sekarang ini sebagai dental biofilm. Di dalam plak dianggarkan terdapat lebih dari 1000 spesis bakteria. Dengan peningkatan teknologi, lebih banyak spesis bakteria baru ditemui di dalam plak gigi.

Plak gigi ini adalah satu komuniti bakteria yang kompleks yang melekap pada sesuatu permukaan. Kerana ianya adalah diluar badan manusia, bakteria ini tidak terjejas oleh antibiotik, ejen antikuman dan sistem ketahanan badan. Apabila ia atau toksin yang dihasilkan berada dalam tisu, maka pertahanan badan akan mula bertindak dan terhasilkan keradaangan gusi. Dan kompleksiti plak ini dan kandungan bakteria plak ini akan bertambah mengikut masa, apabila plak yang terjadi dibiarkan tanpa dibersihkan.


Plak pada permukaan gigi


Plak yang telah diwarnakan

Kalkulus (tartar) adalah plak yang telah mengeras, jika ianya dibiarkan tanpa dibersihkan. Apabila kalkulus telah terbentuk, ianya menyukarkan pemberusan dan penggunaan flos yang berkesan. Permukaannya yang kasar menyebabkan lebih banyak plak akan terperangkap dan terkumpul di kawasan tersebut.

Dalam era di mana pengetahuan kita yang meningkat mengenai kebersihan mulut, kesan plak gigi ini masih ketara dalam masyarakat kita. Dalam kajian oleh Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2010, didapati 94% dari orang dewasa yang diperiksa mengalami penyakit gusi dalam pelbagai peringkat; 88.9% pernah mengalami karies gigi; purata 11.7 gigi setiap seorang mempunyai karies; 8.0% dari mereka yang berumur lebih 50 tahun mengalami karies pada akar gigi; 37.9% memerlukan cabutan gigi dan 37.7% memerlukan tampalan. Semua keadaan ini adalah dari angkara plak gigi.

alt

Kalkulus di belakang gigi hadapan di rahang bawah

Apa terjadi jika plak tidak dibersihkan?

Ianya boleh menyebabkan:

  • Penyakit gusi (periodontium) – pengumpulan plak akan menyebabkan gusi mengalami keradangan dan jangkitan. Pada peringkat awal penyakit gusi (gingivitis), hanya tanda-tanda seperti kemerahan, sedikit kebengkakan dan perdarahan dikesan, Jarang sekali menyebabkan kesakitan. Walau bagaimanapun jika tidak dirawat, gingivitis boleh menjadi penyakit gusi yang lebih teruk (periodontitis), yang menyebabkan kerosakan gusi dan tulang penyokong gigi. Akhirnya boleh mengakibatkan kehilangan gigi. Jangkitan dan keradangan gusi tersebut boleh menyebabkan penyakit-penyakit badan yang lain seperti angina ahmar, jangkitan paru-paru, komplikasi diabetes dan sebagainya. Ini adalah kerana gusi adalah sebahagian dari badan yang apa yang berlaku padanya, boleh merebak ke dalam badan seseorang itu.
  • Kerosakan gigi (karies gigi) – ianya adalah kerosakan setempat struktur gigi disebabkan oleh asid yang terhasil dari huraian (breakdown) gula oleh bakteria. Kaviti (lubang) akan terbentuk pada gigi. Karies gigi juga adalah satu jangkitan kuman yang akibatnya boleh menyebabkan kemudharatan gigi dan juga badan seseorang itu.
  • Nafas berbau (halitosis) – kewujudan plak gigi pada gigi, lidah dan permukaan dalam mulut yang lain boleh menghasilkan bahan toksik yang mengeluarkan bau busuk, terutamanya apabila ia bercampur dengan makanan yang lekat dicelah gigi atau dalam kaviti (karies) gigi. Ianya menyebabkan nafas juga berbau

Mencegah Plak gigi dari mengakibatkan penyakit

Plak gigi terjadi setiap masa. Ia boleh dibersihkan dengan penjagaan kesihatan mulut yang baik dengan:

  • Memberus gigi dua kali sekali, menggunakan berus gigi yang sesuai dan dengan cara yang berkesan.
  • Menggunakan flos dengan betul.
  • Menggunakan alat pembersihan tambahan yang disyorkan oleh doktor gigi seperti interdental brush  dan ubat kumuran.

Apabila plak gigi bertukar menjadi kalkulus (tartar), penskaleran adalah perlu dan hanya boleh dilakukan di klinik gigi oleh doktor gigi. Oleh itu, lawatan ke doktor gigi secara berkala adalah cara paling baik untuk menghindar kerosakan yang boleh dilakukan oleh plak gigi dan kalkulus tersebut.

Rujukan

  1. NOHSA 2010
  2. ten Cate, Jacob M. (2006). “Biofilms, a new approach to the microbiology of dental plaque”. Odontology (Springer Publishing) 94 (1): 1–9.
Semakan Akhir : 25 April 2014
Penulis : Dr. Che Noor Aini bt. Che Omar
Dr. Azillah bt. Mohd Ali
Dr. Chew Yoke Yuen
Dr. Norrizan bt. Basir
Dr. Doreyat b. Jemun
Dr. Sharol Lail b. Sujak
Akreditor : Dr. Rosrahimi bt. Abd. Rahim
Penyemak : Dr. Ahmad Sharifuddin b. Mohd Asari