A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Apa Itu Panau

Panau adalah jangkitan yang kerap berlaku pada lapisan luaran kulit disebabkan oleh kulat jenis Malassezia

Apakah penyakit panau?

Panau adalah jangkitan yang kerap berlaku pada lapisan luaran kulit disebabkan oleh kulat jenis Malassezia. Kulat ini biasanya ditemui pada bahagian kulit di mana terdapat banyak penghasilan sebum (minyak) seperti bahagian dada, belakang badan, muka dan kulit kepala. Kulat jenis Malassezia furfur ini adalah sebahagian daripada flora kulit yang normal dan hanya menyebabkan jangkitan dalam keadaan-keadaan yang tertentu.

Bagaimanakah rupa penyakit panau?

Bahagian-bahagian badan yang biasa dijangkiti panau selalunya kaya dengan sebum seperti bahagian dada, belakang badan, lengan dan leher. Pesakit-pesakit mempunyai tompok-tompok pucat (putih, merah jambu) atau gelap (perang, hitam) dengan permukaan yang berdebu halus. Tompok-tompok ini berbentuk bulat atau bujur dan kadang-kala bercantum menyebabkan permukaan yang terlibat lebih  luas. Sesetengah pesakit berasa gatal pada bahagian yang terlibat.

Gambar-gambar berikut menunjukkan kepelbagaian warna pada tompok-tompok panau.

 

Siapa yang mendapat panau?

Panau boleh melibatkan semua peringkat umur. Walau bagaimanapun, ia lebih kerap berlaku di kalangan remaja dan belia. Pesakit yang kekurangan zat makanan atau mengambil ubat-ubatan seperti steroid sistemik dan immunosuppressant kerap mendapat panau. Begitu juga dengan pesakit hyperhidrosis atau peluh yang berlebihan.

Bagaimanakah diagnosis panau dibuat?

Kebiasaannya diagnosa dibuat berdasarkan pengamatan ciri-ciri fizikal/klinikal panau di bahagian badan dan disahkan dengan penggunaan mikroskop. Ini melibatkan pengambilan sampel dengan cara kikisan atau penggunaan cellophane tape. Dengan menggunakan mikroskop, kulat seolah-olah berupa sphaghetti dan bebola “daging”. Penggunaan Wood’s lamp dengan sinaran ultraungu pada gelombang 365nm boleh menunjukkan warna kekuningan pada bahagian badan yang mempunyai panau bagi sesetengah kes.


Bentuk sphaghetti dan bebola “daging” – hyphae dan spora bila dilihat di bawah mikroskop.

Adakah panau itu berjangkit?

Tidak. Ramai orang dewasa mempunyai kulat ini pada badan mereka tanpa mendatangkan apa-apa masalah.

Adakah panau kerap berlaku?

Panau kerap berlaku di kawasan tropika dengan insiden setinggi 40%.

Bagaimanakah panau dirawat?

Panau boleh dirawat dengan dua kaedah iaitu ubat sapu atau ubat makan/sistemik. Ubat sapu pada keseluruhannya lebih selamat dan dibahagikan kepada jenis ubat yang tidak spesifik terhadap kulat dan antikulat.

Contoh-contoh ubat tidak spesifik terhadap kulat:

  • Losyen 2.5% selenium sulphide
  • Propylene glycol
  • Whitfield’s ointment

Ubat sapu antikulat:

  • Kumpulan azole – clotrimazole, miconazole, ketoconazole, econazole, tioconazole
  • Krim terbinafine

Rawatan sistemik antikulat hanya diberikan kepada pesakit-pesakit yang mempunyai panau yang teruk, panau yang berulang atau panau yang gagal dirawat dengan ubat sapu. Rawatan sistemik hanya boleh diberi oleh doktor atau pakar kulit disebabkan risiko kesan sampingan ubat dan tindak balas dengan ubat-ubatan lain. Contoh-contoh ubat sistemik antikulat adalah itraconazole, fluconazole dan ketoconazole.

Bolehkah panau itu sembuh?

Ya. Secara keseluruhannya pesakit boleh sembuh dengan rawatan yang tersebut di atas. Segelintir pesakit yang mempunyai tompok-tompok pucat mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun sebelum warna kulit kembali seperti sedia kala. Ini tidak bermakna yang rawatan itu telah gagal. Kulat menghasilkan bahan kimia yang toksik dan menghalang fungsi sel-sel pigmen semasa jangkitan aktif yang mengakibatkan perubahan warna kulit. Ia mengambil masa untuk pulih.

Bagaimanakah cara untuk mengelakkan panau daripada berulang?

Kadar penyakit ini berulang adalah setinggi 60% pada tahun pertama. Losyen selenium suphide boleh digunakan sebulan sekali untuk mengelakkan panau daripada berulang. Kadang-kala pengambilan ubat sistemik antikulat selama sehari atau sehingga tiga hari sebulan turut membantu.

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis/Penterjemah : Dr. Noorlaily Mohd Noor
Akreditor/Penyemak : Datin Dr. Asmah bt. Johar
Penyemak : Dr. Nazatul Shima bt. Abd Rahim

Artikel Berkaitan

Panau (Tinea Versicolor)

Panau atau nama saintifiknya Tinea versicolor adalah sejenis jangkitan kulit yang disebabkan oleh kulat daripada jenis genus Malassezia spp. Jangkitan Panau biasanya terjadi di kawasan tropikal serta sub-tropikal dan jangkitan boleh berlaku bukan sahaja pada manusia tetapi juga pada haiwan. Tanda-tanda jangkitan Panau boleh dilihat pada kulit di bahagian badan seperti muka, kaki dan beberapa bahagian lain yang kerap berpeluh. Ciri-ciri jangkitan panau dapat dilihat pada bahagian kulit adalah tompok jelas berwarna putih, merah jambu atau coklat. Faktor-faktor penyebab panau termasuklah cuaca panas dan lembab, penghasilan peluh yang berlebihan, kulit yang berminyak dan imun sistem yang lemah.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,211,877

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia