A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Diet & Penyakit
  6. /
  7. Diet Pesakit Kanser :...

Diet Pesakit Kanser : Tingkatkan Pengambilan Kalori & Protein

Kanser dan rawatannya (radioterapi dan kemoterapi) boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan yang boleh mempengaruhi pengambilan makanan. Secara umumnya, rawatan kemoterapi dan radioterapi akan menyebabkan kurang selera makan, berasa loya & muntah (kadang-kadang). Justeru, pengambilan pemakanan yang optimum semasa dan selepas rawatan kanser adalah sangat penting.

Masalah Pemakanan Berkaitan Kesan Daripada Penyakit Kanser dan Rawatannya

Kanser dan rawatannya, iaitu radioterapi dan kemoterapi, boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan yang boleh mempengaruhi pengambilan makanan. Beberapa faktor akan menentukan tahap kesan sampingan seperti:

  1. Jenis kanser yang dihidapi
  2. Bahagian anggota yang terlibat dengan rawatan anti kanser
  3. Dos dan tempoh rawatan anti kanser.

Secara umumnya, rawatan kemoterapi dan radioterapi akan menyebabkan :

  1. Kurang selera makan
  2. Berasa loya
  3. Muntah (kadang-kadang)
  4. Perubahan deria rasa dan bau

Penurunan sel darah putih, sel darah merah dan platlet juga boleh berlaku dan menyebabkan pesakit akan berasa letih.

Khusus bagi rawatan radioterapi, kesan sampingan adalah bergantung kepada bahagian anggota yang diberikan rawatan radioterapi. Sebagai contoh:

  1. Jika radioterapi diberikan pada bahagian mulut atau muka (facial), maka rawatan radioterapi tersebut akan menyebabkan radang pada mukosa mulut yang juga dipanggil mucositis di mana pesakit akan berasa sakit dalam mulut.
    1. Sakit tekak juga boleh berlaku dan menyebabkan kesakitan semasa menelan makanan.
    2. Selain itu, pesakit juga mengalami perubahan deria rasa dan bau.
  2. Jika radioterapi diberikan pada bahagian pelvis, contohnya dalam kanser usus besar, kanser servik atau endometrium, maka pesakit akan mengalami cirit-birit sebagai kesan sampingan daripada radioterapi tersebut.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa semua kesan sampingan yang disebabkan oleh rawatan kemoterapi dan radioterapi adalah suatu keadaan yang sementara sahaja yang berlaku ketika rawatan dan kemungkinan berterusan sehingga 3 bulan selepas rawatan. Ia akan pulih selepas tempoh tersebut.

Kepentingan Pemakanan

Kesan daripada rawatan kanser seperti yang dinyatakan di atas akan mempengaruhi proses:

  1. penghadaman
  2. penyerapan nutrien
  3. kebolehdapatan nutrien yang penting daripada makanan yang diambil oleh pesakit kanser.

Kekurangan nutrien yang penting akan meningkatkan risiko kepada kekurangan zat makanan atau dikenali sebagai malnutrisi.

Cancer Treatment Centers of America melaporkan hampir 65% hingga 70% pesakit kanser mengalami malnutrisi. Kanser berkaitan malnutrisi akan menyebabkan pesakit berasa letih, lemah dan tidak dapat mencapai matlamat rawatan kanser yang diberikan.

Justeru, pengambilan pemakanan yang optimum semasa dan selepas rawatan kanser adalah sangat penting untuk :

  1. meningkatkan tindakbalas dan penerimaan pesakit terhadap rawatan yang diberikan
  2. meningkatkan sistem pertahanan tubuh dan mengurangkan risiko jangkitan kuman
  3. meminimumkan kesan sampingan daripada rawatan anti kanser
  4. memberi kekuatan dan tenaga kepada tubuh badan
  5. membantu proses pemulihan dan penyembuhan
  6. mengekalkan berat badan.

Keperluan Tenaga

Keperluan tenaga bagi pesakit kanser adalah berbeza bagi setiap individu. Ia bergantung kepada:

  1. berat badan dan ketinggian
  2. jenis rawatan
  3. kesan sampingan rawatan anti kanser yang dialami.

Secara dasarnya, keperluan tenaga bagi pesakit kanser adalah tinggi; ia bertujuan untuk:

  1. mencegah kehilangan berat badan
  2. meningkatkan kesan rawatan kanser

Jadual 1: Contoh Makanan Tinggi Kalori.

 

Keperluan Protein

Protein adalah salah satu nutrien yang tidak boleh diabaikan bagi pesakit kanser. Protein memainkan peranan dalam membentuk dan mengekalkan :

  1. otot
  2. tisu
  3. sel darah merah
  4. hormon
  5. memberi kekuatan dalam meningkatkan sistem pertahanan tubuh untuk melawan jangkitan kuman

Jadual 2: Contoh Makanan Tinggi Protein.

Tips Untuk Meningkatkan Pengambilan Kalori dan Protein

  1. Melalui penambahan makanan berkalori tinggi kepada makanan yang diambil :
    1. Tambahkan minyak, mentega atau marjerin ke dalam masakan yang bersesuaian seperti nasi, pasta, kentang, sayur-sayuran dan sup.
    2. Sapu mentega, coklat, jem atau madu pada roti, ban atau biskut.
    3. Makan lempeng, wafel atau buah-buahan bersama aiskrim.
    4. Tambahkan yogurt atau sos salad ke dalam salad buah-buahan dan sayur-sayuran.
    5. Tambahkan susu ke dalam masakan seperti sup krim, lempeng, telur hancur, kentang lenyek dan puding.
    6. Tambahkan isi ayam atau telur ke dalam sup, salad dan omelet.
    7. Taburkan kacang ke dalam pencuci mulut seperti buah-buahan, aiskrim dan puding.
    8. Minum susu suplemen rumusan khas yang mempunyai kalori dan protein yang tinggi.
  2. Melalui cara dan tabiat pengambilan makanan :
    1. Makan pada setiap kali waktu makan utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.
    2. Makan snek yang sihat seperti jagung rebus, sandwich dan aneka bubur untuk 2 atau 3 kali dalam sehari.
    3. Makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap sekiranya tidak dapat menerima makanan yang banyak dalam satu masa. Makan banyak sekaligus mungkin akan menimbulkan rasa loya bagi sesetengah pesakit.
    4. Pastikan perut tidak kosong kerana ia akan menimbulkan rasa loya.
    5. Elak makanan yang berlemak, pedas serta sangat manis semasa mengalami rasa loya.
    6. Makan makanan yang digemari pada bila–bila masa setiap hari. Contohnya ambil makanan sarapan pagi pada waktu malam jika ia lebih diterima dan memberi keselesaan.
    7. Ambil kebanyakan minuman atau cecair di antara waktu makan.
    8. Minum sedikit demi sedikit jus yang sejuk atau mana-mana minuman yang tidak mengganggu perut.
    9. Cuba makanan yang sejuk kerana ia kurang bau serta mudah hadam.
    10. Elakkan minum berselang-seli semasa makan kerana ia akan membuatkan anda berasa cepat kenyang.
    11. Melakukan sedikit aktiviti fizikal yang ringan mengikut kemampuan untuk meningkatkan selera makan.
    12. Cuba memakai pakaian yang longgar sekiranya sedang mengalami rasa loya.

Contoh Resepi

Puding Karamel (2 hidangan)   Bubur Kacang Hijau (2 hidangan)
 
Bahan-bahan A :    Bahan-bahan :
75 g   gula pasir   100 g   kacang hijau
50 ml   air   120 g   santan serbuk
Bahan-bahan B :    50 g   gula melaka
65 g   susu tepung penuh krim   3 g   garam
2 biji   telur   2 helai   daun pandan
3 ml   perasa vanilla   300 ml   air
50 g   gula pasir     
250 ml   air     
Cara-cara penyediaan :   Cara-cara penyediaan :
  1. Untuk bahan A, masak gula pasir hingga menjadi gula hangus. Tambahkan air sedikit demi sedikit dan ketepikan.
  2. Untuk bahan B, kacau semua bahan sehingga sebati.
  3. Tuang ke dalam bekas kemudian kukus selama 15 hingga 20 minit.
  4. Setelah masak, tuangkan gula hangus ke dalam bekas tadi.
  5. Sejukkan di dalam peti sejuk.
 
  1. Rebus kacang hijau sehingga empuk.
  2. Masukkan air, santan, garam, gula melaka dan daun pandan. Renihkan sehingga mendidih.
  3. Sedia untuk dihidang.
Kandungan nutrien (1 hidangan) :   Kandungan nutrien (1 hidangan) :
482 kalori, 15 g protein   668 kalori, 15 g protein

Resepi di atas telah diubah suai bagi menghasilkan tenaga dan protein yang tinggi.
*Diadaptasi daripada Jabatan Dietetik dan Sajian, Hospital Kuala Lumpur.

Rujukan

  1. American Cancer Society.
  2. Cancer Treatment Centers of America, http://www.cancertreatment.com
  3. Medical Nutrition Therapy for Cancer in Adults.
  4. National Cancer Institute, http://www.cancer.gov/cancertopics
  5. Pancreatic Cancer Action Network. http://www.pancan.org
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Noor Adzha binti Yusoff
Akreditor : Rashidah binti Ambak
Penyemak : Nik Mahani binti Nik Mahmood

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,071,129

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia