A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Perundangan Berkaitan Kesihatan Seksual Dan Reproduktif Remaja

DEFINISI

Kesihatan reproduktif bermaksud keadaan sihat daripada segi fizikal, mental serta sosial dan bukan hanya bebas daripada penyakit yang berkaitan dengan sistem reproduktif semata-mata. Ia juga merangkumi keupayaan untuk menjalin kehidupan seksual yang memuaskan dan selamat serta bebas membuat pilihan yang bertanggungjawab.

Kesihatan seksual adalah komponen penting dalam kesihatan reproduktif. Ia merupakan keupayaan lelaki dan wanita melakukan aktiviti seks dengan bertanggungjawab dan selamat.

Remaja ditafsirkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization) sebagai seseorang yang berada pada peringkat umur di antara 10 hingga 19 tahun. Ia merupakan masa peralihan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa yang penuh dengan cabaran fizikal, mental dan sosial.

Kanak-kanakseperti mana di bawah Seksyen 2 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] ditafsirkan sebagai seseorang di bawah umur lapan belas (18) tahun. Sehubungan dengan itu, Akta Kanak-Kanak 2001 terpakai kepada semua kanak-kanak yang berumur di bawah lapan belas (18) tahun selaras dengan Seksyen 2 Akta Umur Dewasa 1971 [Akta 21] yang menetapkan umur dewasa sebagai lapan belas (18) tahun.

KENYATAAN

Malaysia telah menerima pakai persetujuan hasil ‘Persidangan Antarabangsa Kependudukan dan Pembangunan’ di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertempat di Kaherah pada 1994 (United Nations International Conference on Population andDevelopment, Cairo 1994)yang menekankan keperluan untuk:

Melindungi dan mempromosi hak remaja untuk menerima pendidikan kesihatan reproduktif, maklumat dan rawatan yang bertujuan untuk mengurangkan kadar kehamilan remaja”.

Malaysia juga telah menerima pakai persetujuan hasil ‘Konvensyen Hak Kanak-Kanak 1989’ (Conventions on the Rights of the Child 1989) yang dibuat berdasarkan empat prinsip asas iaitu:

  • tiada diskriminasi (Artikel 2);
  • apa yang terbaik untuk kanak-kanak (Artikel 3);
  • hak kanak-kanak terhadap kehidupan yang sihat, sejahtera dan berkembang (Artikel 6);  dan
  • menghormati pandangan dan pendapat daripada kanak-kanak (Artikel 12).

SOALAN-SOALAN LAZIM

  1. SOALAN      :           Pada umur berapakah seseorang remaja boleh datang/hadir ke   klinik/hospitabersendirian untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif?

    JAWAPAN      :                     Sehingga kini, belum ada sebarang peruntukan bertulis yang wujud di negara ini yang menghalang remaja untuk datang/hadir ke klinik/hospital bagi mendapatkan khidmat nasihat sekiranya terdapat sebarang masalah berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif daripada anggota kesihatan yang terlatih di dalam perkara ini.

    Walau bagaimanapun, terdapat beberapa undang-undang di negara ini yang mengawal prosedur perubatan dan rawatan yang melibatkan sebarang tatacara perubatan dan pembedahan   sebagai rawatan seperti Peraturan 47 Peraturan – Peraturan Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta Dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006 [P.U.(A)138/2006] menyatakan bahawa satu–satu kebenaran sah bagi pesakit yang belum berkahwin dan di bawah umur lapan belas (18) tahun hendaklah diperoleh daripada ibu atau bapa atau penjaga pesakit tersebut. Seksyen 5 Akta Teleperubatan 1997 (belum berkuat kuasa) [Akta 564] turut memperuntukkan bahawa dalam keadaan di mana pesakit belum mencapai had umur dewasa, kebenaran bolehlah diberikan bagi pihak pesakit itu melalui sahabat wakil (next friend) atau penjaga ad idem (guardian ad idem).

    Seksyen 77 Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615] turut memperuntukkan bahawa “where a mentally disordered person is required to undergo surgery, electroconvulsive therapy or clinical trials, consent for any of them may be given —

    (a)   by the patient himself if he is capable of giving consent as  assessed by a psychiatrist;
    (b)   by his guardian in the case of a minor or a relative in the case of an adult, if the patient is incapable of giving consent”

    Seksyen 3 Akta Penjagaan Budak 1961 [Akta 351] (tidak terpakai kepada umat Islam) turut menyatakan bahawa seseorang penjaga kepada kanak-kanak yang belum mencapai had umur majoriti hendaklah bertanggungjawab ke atas perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan dan kesihatan kanak-kanak tersebut.

    Sungguhpun pemakaian undang-undang bertulis yang dinyatakan di atas terhad pemakaiannya kepada institusi-institusi dan keadaan-keadaan tertentu seperti di hospital swasta dan pesakit-pesakit yang dimasukkan ke hospital psikiatri di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615], Kementerian Kesihatan adalah cenderung untuk mengguna pakai pendekatan yang sama dalam keadaan di mana prosedur perubatan melibatkan sebarang tatacara dan pembedahan sebagai rawatan memerlukan kebenaran sah diperoleh daripada ibu atau bapa atau penjaga apabila pesakit adalah di bawah usia lapan belas (18) tahun.

    Pendekatan ini adalah selari dengan beberapa Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan yang             memerlukan kebenaran atau keizinan daripada ibu atau bapa atau penjaga sebelum sebarang rawatan atau pengendalian ke atas pesakit di bawah usia lapan belas (18 ) tahun dilakukan oleh anggota kesihatan pihak kementerian. Sebagai contoh Pekeliling Bil 12/1988 berkenaan “Pengendalian Mangsa-Mangsa Rogol” turut menyatakan bahawa dalam keadaan mangsa adalah di bawah usia lapan belas (18) tahun, kebenaran yang sah daripada ibu atau bapa atau penjaga adalah diperlukan sebelum sebarang pemeriksaan kesihatan ke atas remaja di bawah usia lapan belas (18) tahun  tersebut boleh dilakukan

    Selanjutnya, dalam Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil 16/2010 berkenaan Penyediaan Laporan Perubatan Di Hospital-Hospital Dan Institusi Perubatan turut menyatakan bahawa sebarang permohonan laporan perubatan bagi pesakit di bawah usia lapan belas (18) tahun hendaklah dilakukan melalui ibu atau bapa atau penjaga pesakit tersebut. Di sini, jelas menunjukkan hak bagi pesakit di bawah usia lapan belas (18) tahun bagi membuat keputusan berkenaan isu perubatannya (termasuk masalah berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif) adalah tertakluk kepada ibu atau bapa atau penjaganya memandangkan pesakit tersebut hanya boleh memperoleh laporan perubatan berkenaan butiran rawatannya melalui permohonan ibu atau bapa atau penjaganya.

  2. SOALAN        :             Pada umur berapakah seseorang boleh memberi keizinan untuk rawatan diri sendiri?

    JAWAPAN    :          Seksyen 2 Akta Umur Dewasa 1971 [Akta 21] dan Akta Kanak – Kanak 2001[Akta 611] menyatakan bahawa umur dewasa bagi semua lelaki dan perempuan adalah lapan belas (18) tahun dan ke atas. Sehubungan itu, secara umumnya, hanya seseorang yang berumur lapan belas (18) tahun dan ke atas boleh memberikan kebenaran yang sah untuk dirinya dalam tujuan mendapatkan rawatan perubatan.

  3. SOALAN       :           Adakah keizinan ibu bapa atau penjaga diperlukan bagi perkhidmatan bukan invasif (non-invasive) seperti khidmat nasihat dan kaunseling kepada remaja di bawah umur lapan belas (18) tahun?

    JAWAPAN     :           Sehingga kini, belum ada sebarang peruntukan bertulis yang wujud di negara ini yang menghalang remaja untuk datang/hadir ke klinik/hospital bagi mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling sekiranya diperlukan memandangkan perkhidmatan sebegini merupakan perkhidmatan bukan invasif (non-invasive).

    Walau bagaimanapun, sekiranya boleh, adalah lebih baik mendapatkan keizinan ibu bapa atau penjaga dalam bentuk bertulis untuk memastikan semua pendekatan yang diambil oleh pihak kementerian adalah selari dengan peruntukan undang-undang, etika profesional Pegawai Perubatan dan keputusan dasar kementerian berkenaan isu ini.

  4. SOALAN       :         Adakah keizinan ibu bapa atau penjaga diperlukan bagi pengesahan kehamilan seperti ujian air kencing kehamilan (Urine Pregnancy Test – UPT) dan Ultrasound untuk remaja perempuan di bawah umur lapan belas (18) tahun?

    JAWAPAN     :            Pendekatan yang terbaik dalam situasi sebegini adalah dengan mendapatkan kebenaran yang sah daripada ibu atau bapa atau penjaga sebelum sebarang ujian air kencing kehamilan (Urine Pregnancy Test – UPT) dan Ultrasound dilakukan kerana prosedur yang dinyatakan bersifat invasif  (invasive) untuk memastikan semua pendekatan yang diambil oleh pihak kementerian adalah selari dengan peruntukan undang-undang, dan etika profesional Pegawai Perubatan. Selaras dengan Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan bil 16/2010, segala laporan berkenaan rawatan perubatan pesakit di bawah usia lapan belas (18) tahun juga hendaklah dipohon oleh ibu atau bapa atau penjaga bagi pihak pesakit tersebut. Hal ini jelas menunjukkan bahawa segala maklumat berkenaan rawatan perubatan dan kesihatan pesakit di bawah usia lapan belas (18) tahun adalah tertakluk kepada ibu atau bapa atau penjaga pesakit tersebut.

  5. SOALAN       :           Jika keizinan ibu bapa atau penjaga tidak diperoleh bagi pengendalian rawatan kesihatan seksual dan reproduktif remaja di bawah umur lapan belas (18) tahun, bolehkah remaja             tersebut diberikan rawatan?

    JAWAPAN     :           Dalam situasi di mana anggota kesihatan meneruskan rawatan ke atas remaja di bawah usia lapan belas (18) tahun tanpa keizinan ibu atau bapa atau penjaga melalui pengendalian rawatan kesihatan seksual dan reproduktif remaja, anggota kesihatan tersebut adalah terdedah kepada tindakan mahkamah kerana melakukan kesalahan serang (assault) dan serang-sentuh (battery) tanpa perlu kecederaan dibuktikan oleh pihak anggota kesihatan.

    Meskipun di United Kingdom kes Gillick v West Norfolk and Wisbech health Authority [1985] 2 All ER 402 (UK House of Lords) memutuskan bahawa remaja berumur 16 tahun boleh memberi keizinan yang sah dalam menentukan rawatan perubatannya tertakluk kepada beberapa prinsip yang dinyatakan di bawah Fraser Guidelines, pendekatan yang diambil melalui kes ini walau bagaimanapun belum boleh diterima pakai di Malaysia memandangkan tiada keputusan mahkamah pernah di buat di Malaysia berkenaan isu ini.

    Sehubungan dengan itu, pendekatan yang diambil di Malaysia bergantung pada perundangan bertulis yang sedia ada dan juga pekeliling-pekeliling yang berkuat kuasa di negara ini. Seperti yang dinyatakan, walaupun peruntukan-peruntukan sedia ada tidak menyentuh secara spesifik isu keizinan remaja di bawah usia lapan belas (18) tahun berkenaan rawatan perubatan, ia menyentuh hak remaja dalam membuat pertimbangan dalam memutuskan perkara-perkara seharian.

    Sehubungan dengan itu, pihak anggota kesihatan dinasihatkan untuk memastikan kebenaran yang sah diperoleh daripada ibu atau bapa atau penjaga remaja tersebut sebelum sebarang rawatan perubatan diberikan.

    Kebenaran yang sah daripada segi undang-undang seperti yang telah diputuskan dalam kes-kes di mahkamah hanya tidak diperlukan dalam keadaan kecemasan di mana kelewatan pegawai perubatan bertindak memberikan rawatan perubatan ke atas pesakit akan membahayakan nyawa pesakit tersebut. Dalam keadaan di mana situasi ini tidak timbul, kebenaran yang sah dari sisi undang-undang hendaklah diperoleh sebelum sebarang rawatan perubatan boleh dilakukan ke atas pesakit tersebut.

  6. SOALAN       :           Adakah anggota kesihatan akan/perlu memberitahu ibu bapa atau  penjaga sekiranya seseorang remaja datang bersendirian ke  klinik/hospital untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif?

    JAWAPAN    :         Dalam memberikan  khidmat nasihat kepada remaja tersebut, anggota kesihatan tidak perlumemastikan bahawa kebenaran yang sah telah diperoleh daripada ibu atau bapa atau penjaga remaja tersebut memandangkan perkhidmatan ini tidak bersifat invasif (non-invasive). Sehingga kini, belum ada sebarang peruntukan bertulis yang wujud di negara ini yang menghalang remaja untuk datang/hadir ke klinik/hospital bagi mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling sekiranya diperlukan.

    Sungguhpun begitu, pendekatan yang terbaik adalah dengan mendapatkan keizinan ibu bapa atau penjaga dalam bentuk bertulis untuk memastikan semua tindakan yang diambil oleh pihak kementerian adalah selari dengan peruntukan undang-undang, etika profesional Pegawai Perubatan dan keputusan dasar kementerian berkenaan isu ini.

    Walau bagaimanapun, dalam keadaan di mana wujud keperluan untuk rawatan perubatan diberikan, pihak anggota kesihatan hendaklah memastikan bahawa kebenaran yang sah diperoleh daripada ibu atau bapa atau penjaga remaja yang dirawat. Tiada pihak yang bertanggungjawab secara spesifik dalam mendapatkan kebenaran sah tersebut, memadai sekiranya ia diperoleh dalam bentuk bertulis bagi memudahkan proses pendokumentasian kebenaran itu. Sehubungan dengan itu, kedua-dua pihak iaitu anggota kesihatan dan remaja boleh bekerjasama dalam mendapatkan kebenaran sah yang disebutkan.

    Walau bagaimanapun, pihak anggota kesihatan yang mengendalikan kes akan bertanggungjawab untuk memastikan pihak berkuasa dimaklumkan dengan pantas dalam keadaan di mana pihak anggota kesihatan mengesyaki bahawa remaja tersebut terlibat dengan apa-apa kes jenayah seperti kes rogol, dera, dadah atau sebagainya. Dalam keadaan di mana pegawai perubatan mengesyaki bahawa remaja akanmembahayakan diri sendiri (seperti mempunyai perancangan untuk membunuh atau mencederakan diri sendiri), membahayakan orang lain (contoh: mempunyai rancangan atau telah pun mencederakan orang lain) dan terdapat unsur di mana orang lain akan membahayakan remaja tersebut (contoh: orang lain mempunyai rancangan atau telah pun mencederakan remaja tersebut daripada segi fizikal, mental dan/atau seksual). Selain daripada situasi-situasi yang dinyatakan di atas, pihak anggota hospital juga boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki bahawa kanak-kanak tersebut tergolong dalam kategori kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] ataupun sekiranya pihak anggota kesihatan mengesyaki kanak-kanak tersebut merupakan mangsa ataupun terlibat dalam kes statutory rape seperti mana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 375 (f) Kanun Keseksaan [Akta 574].

    Di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], kanak-kanak yang menjadi mangsa akan diletakkan di bawah jagaan Pelindung seperti mana yang dinyatakan di bawah Seksyen 2 Akta 611. Seksyen 24 Akta tersebut seterusnya memberikan kuasa kepada Pelindung yang telah dilantik untuk memberikan kebenaran yang sah ke atas rawatan perubatan dalam keadaan di mana pesakit memerlukan rawatan bagi penyakit, kecederaan atau luka yang ringan. Walau bagaimanapun, sekiranya kanak-kanak tersebut mengalami penyakit, kecederaan atau luka yang serius atau memerlukan pembedahan atau rawatan psikiatri, ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut perlulah dimaklumkan mengenai perkara itu dan keizinan yang sah secara bertulis hendaklah diperoleh sebelum sebarang rawatan perubatan boleh diberikan ke atas kanak-kanak mangsa jenayah itu.

  7. SOALAN       :           Apakah yang dimaksudkan dengan “pihak berkuasa” sekiranya perkara di atas dikesan semasa seseorang remaja datang ke klinik/hospital untuk mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif?

    JAWAPAN     :             Di bawah Seksyen 27 Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611], perkara tersebut hendaklah dimaklumkan kepada Pegawai Pelindung, iaitu Pegawai Kebajikan Masyarakat.

  8. SOALAN       :           Apakah peranan, fungsi serta tanggungjawab Pegawai Pelindung?

    JAWAPAN     :           Di bawahAkta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], Pegawai Pelindung bertanggungjawab untuk memberi pemeliharaan, kawalan, perlindungan dan pemulihan terhadap kanak-kanak demi untuk kepentingan terbaik kanak-kanak tersebut.

    Selain itu, Pegawai Pelindung turut mempunyai tanggungjawab untuk mengendalikan perkara-perkara berikut:

    • Mengendalikan kes-kes penganiayaan, penderaan dan pengabaian kanak-kanak di bawah Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611];
    • Kes-kes kebajikan kanak-kanak;
    • Kes-kes permohonan anak angkat;
    • Kes-kes pendaftaran anak angkat mengikut Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 [Akta 253];
    • Kes-kes pengangkatan (Legal Adoption) mengikut Akta Pengangkatan 1952 [Akta 257];
    • Kes-kes khidmat saksi kanak-kanak mengikut Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 [Akta 676];
    • Kes kanak-kanak mangsa pemerdagangan orang mengikut Akta Anti pemerdagangan Orang 2007 [Akta 670].
  9. SOALAN       :           Selain dari perkara yang dinyatakan di atas, apakah perkara yang perlu dimaklumkan oleh anggota kesihatan kepada pihak berwajib sekiranya perkara itu dapat dikesan semasa seseorang remaja datang ke klinik/hospital untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif?

    JAWAPAN    :           Perkara yang mempunyai kepentingan kepada kesihatan dan kesejahteraan umum, contohnya untuk mengawal serta mengelakkan penularan penyakit berjangkit sebagaimana yang termaktub di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

  10. SOALAN     :           Apakah tindakan yang perlu diambil oleh seorang anggota kesihatan yang memberikan khidmat kaunseling dan nasihat kepada remaja yang datang ke klinik/hospital untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif?

    JAWAPAN   :           Anggota kesihatan dinasihatkan untuk berbincang dengan remaja berkenaan isu kebenaran sah dan keperluan bagi perkara tersebut untuk dimaklumkan kepada ibu atau bapa atau penjaga. Anggota kesihatan akan mengulangi dan berlatih terlebih dahulu dengan remaja berkenaan maklumat yang akan disampaikan kepada ibu atau bapa atau penjaga bagi memastikan proses tersebut berjalan dengan lancar.

  11. SOALAN     :           Apakah yang dimaksudkan dengan statutory rape?

    JAWAPAN   :           Di bawah Seksyen 375 (f) Kanun Keseksaan [Akta 574], seseorang lelaki itu adalah dikatakan melakukan “rogol” jika ia bersetubuh dengan seseorang perempuan sama ada dengan kerelaan perempuan itu atau tidak jika perempuan itu di bawah umur enam belas (16) tahun.

 

RUJUKAN

  1. Kementerian Kesihatan Malaysia. (2011). Garis panduan pengendalian masalah kesihatan seksual dan reproduktif remaja di Klinik Kesihatan. Putrajaya: Percetakan Nasional Malaysia Sdn Bhd.
  2. Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang, Malaysia. (2006). Undang-undang Malaysia. Akta 21. Akta umur dewasa 1971. Kuala Lumpur: Malayan Law Journal Sdn. Bhd dan Percetakan Nasional Malaysia Sdn Bhd.
  3. Undang-undang Malaysia. Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan peraturan-peraturan.(2010). Kuala Lumpur: International Law Book Services.
  4. United Nations. (1994). United Nations International Conference on Population and Development (ICPD). Cairo, Egypt.
  5.  United Nations. (1989). Conventions on the Rights of the Child. New York, USA.
  6. The Medical Practitioners Board of Victoria. (2004). Consent for treatment and confidentiality in young people. Melbourne, Australia.
  7. The Malaysian Medical Association. (2002). Code of medical ethics. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Sdn Bhd.
  8. The Malaysian Medical Council. (1987). Code of professional conduct. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Sdn. Bhd.
  9. Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang, Malaysia. (2006). Undang-undang Malaysia. Akta 342. Akta pencegahan dan pengawalan penyakit 1988. Kuala Lumpur: Malayan Law Journal Sdn. Bhd dan Percetakan Nasional Malaysia Sdn Bhd.
  10. Undang-undang Malaysia. Kanun Keseksaan (Akta 574).(2010). Kuala Lumpur: International Law Book Services.

Semakan Akhir : 14 Jun 2012
Penulis : Dr. Iskandar Firzada b. Osman

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,214,286

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia