Home > Umum > Forensik > Perubahan Awal Kepada Mayat Selepas Kematian

Perubahan Awal Kepada Mayat Selepas Kematian

Secara biologinya, kematian didefinisikan sebagai berhentinya semua fungsi vital tubuh meliputi detik jantung, aktiviti otak serta pernafasan. Kematian dinyatakan terjadi ketika nafas dan denyut jantung individu telah berhenti selama beberapa waktu yang signifikan atau ketika seluruh aktiviti saraf di otak berhenti bekerja. Kematian juga ditakrifkan sebagai kehilangan fungsi secara tidak berbalik sebagai satu organisma dan secara keseluruhannya.

Setelah berlakunya sesuatu kematian, terdapat perubahan-perubahan tertentu yang berlaku pada jasad si mati. Perubahan – perubahan ini dibahagikan kepada perubahan awal dan perubahan lanjut. Perubahan-perubahan awal adalah seperti perubahan pada kulit, perubahan pada mata, algor mortis/penurunan suhu badan, rigor mortis/kaku mayat dan livor mortis/lebam mayat. Perubahan lanjut pula melibatkan proses pereputan, pembentukan adipocere dan mummifikasi.

Perubahan Pada Kulit

Apabila kematian berlaku, perubahan pertama yang boleh dilihat adalah pada kulit si mati dimana kekenyalan kulit beransur hilang dan warna kulit berubah menjadi pucat.

Perubahan Pada MataPerubahan Awal Kepada Mayat Selepas Kematian

Perubahan pada mata pula boleh dilihat dengan menguji refleks pupil dan kornea. Apabila kematian telah berlaku, tiada lagi refleks pupil terhadap cahaya dan refleks kornea juga hilang.Kornea akan menjadi keruh selepas 2 jam kematian. Tekanan dalam mata mula menurun, bola mata beransur flaksid dan tenggelam ke dalam orbit mata.

Algor Mortis

Apabila kematian berlaku, suhu badan akan mula menurun dan keadaan ini dipanggil sebagai algor mortis. Suhu badan ini menurun secara radiasi, konduksi dan konveksi.Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kadar penurunan suhu badan si mati seperti umur, keadaan si mati, cara kematian, suhu persekitaran dan juga keadaan persekitaran dimana kematian tersebut berlaku.

Penurunan suhu badan cepat berlaku pada mayat kanak-kanak dan orang tua memandangkan mereka mempunyai permukaan tubuh yang lebih besar berbanding dengan isipadu tubuhnya. Pakaian juga mempengaruhi algor mortis ini.Sekiranya si mati berpakaian tebal, kadar penurunan suhu adalah lebih lambat berbanding si mati yang tidak berbaju atau berbaju nipis.

Selain daripada itu, susuk badan seseorang juga mempengaruhi penurunan suhu si mati. Mereka yang gemuk akan mengalami penurunan suhu yang lebih lambat disebabkan lemak yang terkumpul adalah tinggi berbanding susuk badan yang kurus. Perbezaan yang besar di antara suhu persekitaran dan suhu badan si mati mempercepatkan proses penurunan suhu badan si mati. Bagi mayat yang dijumpai di dalam air, penurunan suhu badan adalah dipengaruhi oleh keadaan air, suhu air dan juga aliran air tersebut. Air yang kotor menyebabkan suhu badan turun lebih lambat memandangkan aktiviti bakteria di dalam air tersebut mampu menaikkan suhu badan si mati.

Rigor Mortis

Selain algor mortis, badan si mati juga akan melalui fasa rigor mortis. Rigor mortis merupakan keadaan dimana seluruh badan beransur-ansur menjadi kaku selepas kematian berlaku. Keadaan ini biasanya mula berlaku dalam masa 1-2 jam selepas kematian dan biasanya kaku mayat ini beransur-ansur hilang dan berakhir selepas 48 jam. Kaku mayat ini berlaku kerana tindakbalas kimia pada otot apabila glikogen semakin berkurang dalam penghasilan Adenosin Tri Phosphate (ATP) menyebabkan penimbunan Adenosin Di Phosphate (ADP) dan seterusnya menyebabkan kontraksi otot.

Antara faktor-faktor yang mempengaruhi kaku mayat termasuklah umur si mati, aktiviti yang dilakukan oleh si mati sejurus sebelum kematian, suhu persekitaran sewaktu kematian berlaku dan juga bentuk badan si mati.Tiada kaku mayat berlaku sekiranya si mati berada di dalam suhu bawah 6°C tetapi kaku sejuk pula yang akan berlaku. Semakin tinggi suhu persekitaran, semakin cepat kaku mayat berlaku dan semakin cepat juga kaku mayat ini hilang.
Sebaliknya, suhu persekitaran yang rendah melambatkan proses kaku mayat terjadi dan beransur hilang. Sekiranya si mati aktif beraktiviti sebelum kematian berlaku, contohnya dalam kes si mati mengalami pergelutan sejurus sebelum kematian, proses kaku mayat lebih cepat berlaku memandangkan kehilangan ATP yang banyak semasa aktiviti pergelutan berlaku.

Kekurangan otot-otot pada jasad si mati juga mempengaruhi kadar perkembangan proses kaku mayat si mati. Orang yang kurus, bayi, dan orang tua biasanya mengalami kaku mayat pada kadar yang cepat berbanding jasad si mati yang berbadan besar.


Fasa-fasa kaku mayat mengikut urutan waktu setelah kematian


Kaku Mayat

Livor Mortis

Livor mortis atau juga dikenali sebagai lebam mayat atau postmortem hipostasis terjadi disebabkan terhentinya peredaran darah yang menyebabkan darah turun ke dasar salur-salur darah yang terendah pada mayat tersebut. Livor mortis ini dapat dikenali dengan warna ungu kebiruan atau merah kebiruan pada bahagian badan yang terlibat.

Lokasi lebam mayat ini bergantung kepada kedudukan jasad si mati, sekiranya si mati berada dalam keadaan terlentang, lebam mayat akan terbentuk di bahagian belakang badan kecuali bahagian yang terhimpit pada permukaan seperti bahagian punggung dan skapula (belikat).

Warna lebam mayat juga dapat memberi maklumat tentang perihal kematian si mati. Dalam kematian yang disebabkan keracunan sianida, warna lebam mayat ialah biru gelap-merah jambu, manakala dalam kematian disebabkan karbon monoksida warna lebam mayat ialah merah ceri (cherry pink). Lebam mayat ini mula berlaku selepas 1-3 jam kematian berlaku. Kepentingan livor mortis dalam kes medikolegal termasuklah dalam penentuan masa kematian, memberi maklumat berkenaan posisi terakhir mayat semasa meninggal dunia, selain sebagai pengesahan kematian telah berlaku.


Lebam mayat

Perubahan-perubahan awal yang berlaku selepas kematian ini sangat berguna sebagai pengesahan kematian telah berlaku selain dapat menganggarkan masa kematian. Perubahan-perubahan ini juga dapat membantu dalam penyiasatan sebab kematian dan memberi idea tentang kedudukan terakhir si mati sebelum meninggal dunia. Selepas perubahan-perubahan awal ini berakhir, perubahan lanjut selepas kematian seperti proses pereputan, pembentukan adipocere dan mummifikasi akan bermula.

Rujukan

  1. http://www.centralia.edu/academics/forensicscience/FORS%20101/PowerPointPres/TDeathInvest.ppt
  2. www.harriscountry.gov/ifs/cause.aspx
  3. http://webpages.sou.edu/chapman/CH300S10/ForensicPathology%202%20(student).ppt
  4. http://lontar.ui.ac.id/
  5. Postmortem Changes Powerpoint Presentation by Dr Amir Saad,Forensic Pathologist,HKL
  6. Shahrom Abd. Wahid,Patologi Forensik, Dewan bahasa & pustaka, 2001

Rujukan Gambar

  1. Postmortem Changes Powerpoint Presentation by Dr Amir Saad,Forensic Pathologist,HKL
  2. Shahrom Abd. Wahid,Patologi Forensik, Dewan bahasa & pustaka, 2001

 

Semakan Akhir : 17 Oktober 2013
Penulis : Suhailey bt. Mohd Noor
Akreditor : Dr. Nor Zaimah bt. Mohamad Idris