A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Psikologi Kaunseling
  6. /
  7. Umum
  8. /
  9. Lain-lain
  10. /
  11. Persediaan Menghadapi Sesi Temuduga

Persediaan Menghadapi Sesi Temuduga

Pengenalan

“Kerja, Kerja dan Kerja”. Lumrah kehidupan manusia dewasa tidak dapat dipisahkan dengan pekerjaan. Malahan,  pelik sekiranya seorang yang  dewasa, waras dan sihat tubuh badan tidak mempunyai pekerjaan. Pekerjaan akan menuntut seseorang individu menjadi lebih berdaya saing, menunjukkan kebolehan diri  produktif selain menjadi sumber pendapatan untuk menjalani kehidupan seharian.

Daripada sudut mata majikan, sebelum seseorang diambil bekerja, lazimnya proses temuduga merupakan proses terawal yang telah ditetapkan. Hampir semua jawatan yang ditawarkan memerlukan proses temuduga.  Maka dalam alam pekerjaan seseorang perlu menjalani temuduga sebelum bergelar pekerja.

Kenapa perlu temuduga? Soalan retorik biasa dalam memohon sesuatu jawatan. Jawapannya mudah, persaingan dalam pasaran kerja adalah tinggi dan hanya calon terbaik akan dipilih.

Pasaran kerja sangat dinamik. Kelulusan sahaja belum memadai untuk berkerjaya. Kelulusan peringkat sekolah menengah seperti pemegang Sijil Pelajaran Malaysia perlu bersaing dengan lulusan universiti. Pasaran terbuka memerlukan calon dinamik dan “multitasking”. Lantaran persediaan mantap perlu dilakukan dalam persediaan sebarang temuduga.

Kerap menjalani sesi temuduga? Tapi masih lagi tidak diterima bekerja. Apa lagi yang masih tidak cukup? Ini adalah antara luahan hati seorang pencari kerja ‘job seeker’ yang masih lagi gagal mendapat kerjaya yang diimpikan. Padahal, diri ini sudah berasa sudah cukup bersedia dan telah melakukan yang terbaik dalam setiap temuduga sebelum ini.

Rata- rata majikan mendapati kebanyakan calon yang datang ke sesi temuduga tidak membuat persediaan yang secukupnya. Mereka didapati tidak membuat tinjauan awal mengenai skop tugas jawatan yang dipohon, kurang keyakinan diri, tidak mampu bertutur dengan baik, tidak menguasai lebih daripada satu bahasa, tidak berpakaian kemas, kurang pengetahuan am dan bersikap pasif semasa menghadapi temuduga.

Sebelum menghadapi temuduga, calon perlu membuat persediaan  rapi agar bersedia sebelum melangkah ke sesi tersebut. Aspek-aspek yang perlu diperkuatkan meliputi perkara di bawah :

  • Fizikal

  • Dokumentasi

  • Pengetahuan Dalam Diri (Kognitif)

  • Emosi

  • Keterampilan Diri atau ‘physical appearance’

Fizikal

Calon digalakkan untuk tidur awal sehari sebelum hari temuduga. Sekurang-kurangnya antara enam ke lapan jam. Ini membolehkan badan mendapat rehat yang cukup dan seterusnya akan lebih bertenaga. Sekiranya tubuh badan tidak mendapat rehat yang secukupnya, pasti mereka akan cepat berasa letih dan tidak mampu untuk berhadapan dengan panel temuduga.

Keadaan fizikal yang sihat akan membantu calon untuk membuat persediaan yang rapi untuk menghadapi sesi temuduga. Ini disebabkan calon perlu menggunakan masa dan tenaga yang banyak dalam membuat persediaan. Sudah pasti keadaan ini memerlukan kondisi tubuh yang sihat untuk menghadapi situasi tersebut.

Dokumentasi

Setiap calon hendaklah memastikan segala dokumen yang berkaitan lengkap dan berada dalam keadaan baik sebelum dibawa ke sesi temuduga. Antara dokumen penting yang perlu disediakan adalah surat pangggilan temuduga, dokumen pengenalan diri, sijil kelayakan akademik, sijil penglibatan aktiviti luar, sijil kemahiran tambahan dan pencapaian atau penghargaan tertinggi yang pernah diperoleh.

Calon digalakkan supaya meletakkan dokumen tersebut dalam satu fail khas dan disusun mengikut susunan bermula daripada pendidikan awal sehingga yang  tertinggi. Ini sekaligus menunjukkan kesungguhan, inisiatif dan kreativiti calon.

Pengetahuan dalam Diri

Bagi mereka yang akan menghadiri sesi temuduga, aspek ini perlu diperkuatkan sebaik-baiknya. Ini kerana, aspek ini merupakan antara elemen utama yang akan dinilai pada diri setiap calon. Sebelum pergi ke sesi temuduga, calon digalakkan mencari maklumat penting berkaitan dengan jawatan yang dipohon.

  • Deskripsi Tugas Jawatan Yang Dipohon

    • Setiap calon perlu mempunyai maklumat mengenai skop bidang tugas yang meliputi peranan, kemahiran yang perlu ada, risiko yang mungkin terdedah sekiranya berjaya menjawat jawatan tersebut dan apa peluang kemajuan kerjaya yang boleh diperoleh.  Maklumat tersebut akan membuatkan calon berasa lebih bersedia sebelum masuk ke sesi temuduga.

  • Isu Semasa Berkaitan Jawatan 

    • Seseorang yang mempunyai kesungguhan perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan peka terhadap isu semasa yang berlaku di sekeliling. Ini termasuk isu nasional dan juga global. Dengan mengaitkan isu- isu semasa berkaitan jawatan yang ingin dipohon akan menambahkan keyakinan dan menambat hati penemuduga untuk mengambil seseorang calon.

Emosi

Adalah mustahil seseorang calon tidak gementar sebelum menghadiri temuduga. Namun perasaan ini perlu dikawal agar tiada perasaan negatif akan timbul sebelum calon di temuduga, Tidak mampu mengawal emosi akan menyebabkan calon resah, gelisah, emosi negatif dan seterusnya hilang keyakinan sewaktu sesi temuduga. Ini adalah sesuatu yang perlu dielakkan.

Setiap calon perlu memastikan emosi mereka berada dalam keadaan yang stabil sebelum melangkah masuk ke sesi temuduga. Ini kerana, persediaan emosi merupakan elemen tunjang yang paling utama bagi setiap calon.

Keterampilan dan Sahsiah Diri

Aspek ini memainkan peranan penting yang perlu dititikberatkan oleh setiap calon sebelum melangkah masuk ke sesi temuduga. Ini kerana keterampilan diri merupakan perkara pertama yang akan dinilai sebaik sahaja calon melangkah masuk ke bilik temuduga.

Keterampilan diri yang kemas berfungsi untuk memberikan mesej dan impak yang positif kepada penemuduga. Ia juga menunjukkan bahawa calon mempunyai kesungguhan, berdisiplin dan serius ke sesi temuduga.

Bagi calon, mereka digalakkan untuk mempunyai keterampilan yang sesuai seperti berikut:

Pakaian (Lelaki)

  • Pakaian mestilah kemas dan bersih. Elakkan memakai t-shirt atau baju batik.

  • Warna pakaian hendaklah tidak terlalu gelap (contoh: hitam dan merah biru gelap dan sebagainya). Pakai pakaian yang berwarna lembut dan tidak berwarna-warni.

  • Memakai seluar warna gelap. Seluar hendaklah daripada jenis ‘slack’ dan jangan sekali-kali memakai jeans.

  • Memakai tali pinggang.

  • Sekiranya jawatan yang dipohon merupakan jawatan berstatus profesional, calon disarankan untuk memakai tali leher dan tanda nama (jika ada).

  • Memakai kasut kulit, elakkan hadir dengan memakai selipar atau sandal.

  • Rambut mestilah pendek, kemas dan tidak berwarna. Sekiranya calon menyimpan janggut dan misai, ia hendaklah dipotong rapi dan tidak nampak berserabut.

  • Memakai pewangi badan, tetapi tidak terlalu banyak.

Pakaian (Perempuan)

  • Memakai pakaian yang kemas dan tidak terlalu menjolok mata.

  • Pemilihan warna baju dan tudung haruslah daripada jenis lembut, tidak gelap atau terlalu terang.

  • Sekiranya calon ingin memakai skirt, ia hendaklah skirt yang labuh dan tidak terlalu pendek.

  • Memakai kasut kulit bertutup penuh dan berstokin.

Tingkah Laku dan Percakapan

  • Datang awal ke tempat temuduga. Ini termasuk mengetahui dengan lebih awal lokasi temuduga.

  • Bersikap tenang dan tidak menunjukkan rasa gementar kepada panel temuduga.

  • Mengucapkan Salam / Selamat Pagi kepada penemuduga

  • Tidak duduk sehingga disuruh oleh panel temuduga.

  • Menyerahkan dokumen apabila diminta.

  • Membuat hubungan mata ‘eye contact’ dengan panel dengan kadar yang berpatutan terutamanya semasa berinteraksi.

  • Menjawab soalan yang diajukan dan diiringi dengan sedikit senyuman.

  • Posisi badan dalam keadaan tegak.

  • Bertutur dengan nada yang jelas, boleh didengari dan tidak terlalu laju atau perlahan.

  • Mengucapkan terima kasih sebelum melangkah keluar dari bilik temuduga.

Sebagai kesimpulan, setiap calon yang ingin berjaya perlu membuat persiapan yang rapi sebelum mereka ke sesi temuduga. Elemen dan aspek yang telah dijelaskan di atas perlu diambil serius oleh setiap calon. Penekanan kepada aspek-aspek tersebut, akan membantu meningkatkan keyakinan calon sebelum berhadapan panel di sesi temuduga.

Rujukan

  1. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz2Y2WnRAG6

  2. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

  3. www.cikgukaunseling.com/2013/05/tips-temuduga-medsi-guru.html

  4. http://ekaunselingsmks.blogspot.com/2010/08/tips-menghadapi-temuduga.html.

  5. http://hafizan.malik.blogspot.com/2013/04/adab-berpakaian-ketika-menghadiri.html

 

Semakan Akhir : 03 Januari 2014
Penulis : Azmi bin Mohamad @ Sulaiman

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,231,260

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia