Home > Umum > Forensik > Pernahkah Anda Menemui Mayat?

Pernahkah Anda Menemui Mayat?

Pernahkah Anda Menemui Mayat? : Ketahui Peranan Anda

Apakah yang dimaksudkan dengan mayat?

Mayat adalah jasad manusia tanpa nyawa kerana telah meninggal dunia atau mati. Kematian boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Saban hari ramai manusia yang meninggal dunia disebabkan faktor semula jadi seperti sakit yang kronik dan berpanjangan serta faktor umur, walaupun ia tidak bermaksud orang tidak meninggal dunia pada usia muda. Kematian juga boleh disebabkan oleh faktor jenayah seperti mati akibat ditikam, ditembak atau ditolak jatuh dari bangunan tinggi.

Selain itu, manusia juga boleh meninggal dunia disebabkan oleh bencana alam. Bencana alam yang dimaksudkan adalah seperti banjir besar, tsunami, tanah runtuh, gempa bumi sehingga meruntuhkan bangunan malah letusan gunung berapi. Tidak mustahil juga andainya mayat yang ditemui itu adalah mayat yang telah lama mati tetapi baharu ditemui (mumia) sebagai akibat daripada aktiviti manusia seperti pertanian, pembangunan dan kajian sejarah.

Jika tubuh orang yang telah mati dipanggil mayat, bagaimana pula dengan penemuan sebelah kaki manusia, atau sebelah tangan manusia sahaja di sesuatu tempat? Adakah ia juga dianggap mayat?

Apabila seseorang meninggal dunia, jasad yang tinggal dipanggil mayat. Namun, sekiranya yang ditemui cuma sebelah kaki atau sebelah tangan kiri seseorang atau juga sepasang telinga yang tidak diketahui milik siapa, adalah sukar untuk dikatakan bahawa ia sebahagian daripada mayat. Jika anda menemui kepala manusia yang telah terpisah dari badan, ia pasti datangnya daripada mayat!

Anggota tubuh yang ditemui itu tidak semestinya datang daripada sekujur mayat. Hal ini kerana, anggota tubuh yang telah terpisah atau dipisahkan daripada jasad utama itu tidak menggambarkan kematian pemiliknya.

Anggota tubuh itu mungkin telah dibuang secara tidak sempurna setelah ia dipotong atau dipisahkan dari badan atas tujuan perubatan seperti merawat diabetes atau gangren. Ia juga mungkin berlaku disebabkan oleh kemalangan jalan raya (sehingga anggota badan terputus dan terpisah dari badan), sedangkan mangsa kemalangan sedang dirawat di hospital.

Oleh itu, siasatan yang lebih lanjut oleh pihak polis diperlukan bagi mengenal pasti pemilik asal anggota badan tersebut. Kemudian, barulah maklumat sebenar berkaitan dengan penemuan tersebut dapat disahkan.

Selain daripada jasad yang sempurna, bagaimanakah lagi bentuk mayat yang mungkin ditemui?

Jenis-jenis mayat yang mungkin ditemui:

  • Mayat yang sudah rentung terbakar.
  • Mayat yang sudah mereput atau sebahagiannya yang sudah menampakkan tulang.
  • Mayat dengan perut yang menggelembung.
  • Tinggalan tulang-temulang sahaja.
  • Bahagian-bahagian badan seperti tangan, kaki, kepala, jari-jemari, telinga dan sebagainya yang lain.

Jika saya terjumpa seseorang terbaring di atas tanah, apakah yang harus saya lakukan? Bagaimana hendak pastikan bahawa dia masih bernyawa atau tidak?

Sebelum anda memutuskan untuk memberikan bantuan kecemasan, anda perlu memastikan tahap keselamatan anda dari persekitaran. Ia mungkin perangkap! Jika ada orang lain yang berhampiran seperti pejalan kaki atau pengguna jalan raya, mohon mereka bersama-sama anda untuk memastikan keadaan individu tersebut.

Setelah anda benar-benar pasti bahawa keadaan persekitaran selamat, anda boleh lakukan tindakan berikutnya:

Pertama; perhatikan dengan teliti, adakah tubuhnya masih bergerak-gerak walaupun dengan pergerakan yang sedikit.

  • Lihat pada tanda-tanda penting. Jika anda dapat melihat bahawa aktiviti pernafasan masih berlaku, atau matanya masih terkedip-kedip, individu itu masih bernyawa.
  • Kemudian, anda boleh menghubungi Talian Kecemasan 999 untuk memaklumkan penemuan anda. Mohon agar dihantarkan bantuan kecemasan untuk membantu individu tersebut. Tindakan anda boleh menyelamatkan satu nyawa.

Kedua; jika anda yakin bahawa individu itu sudah tidak bernyawa:

  • Hubungi balai polis berhampiran atau talian kecemasan 999 bagi meminta bantuan polis peronda.
  • Anda dinasihatkan agar tidak menyentuh langsung jasad tersebut.

Jika anda merasakan bahawa anda tidak selamat untuk berada lebih lama di situ, tinggalkan tempat tersebut dan pergi ke balai polis yang terdekat. Anda boleh memaklumkan kejadian tersebut kepada pegawai yang bertugas.

Tindakan itu bukan sahaja boleh membantu pihak polis bertindak dengan lebih berkesan malah dapat menyelamatkan anda daripada disyaki terlibat dalam kematian individu terbabit.

Saya suka menonton drama bersiri CSI. Antara plot yang sering ditonjolkan adalah kehebatan pasukan penyiasat mengumpulkan bukti di tempat kejadian hebat. Walau sehelai rambut pun dapat dikesan dan dikutip mereka. Persoalan saya; jika saya berada berhampiran mayat dan sehelai rambut saya gugur ke atasnya, adakah saya juga boleh disyaki sebagai suspek? Adakah terdapat sebarang panduan tentang apa yang boleh dilakukan dan yang dilarang di tempat penemuan mayat?

Pertamanya, CSI yang popular itu adalah drama aksi yang diwarnai dengan aplikasi sains forensik. Ia tidak semestinya memberi gambaran sebenar dalam penyiasatan jenayah di Malaysia. Terdapat protokol yang harus dipatuhi dan penyiasatan yang teliti sebelum seseorang itu boleh didakwa terhadap sesuatu jenayah.

Apabila anda menemui mayat, jangan panik. Anda seharusnya bertenang dan berfikir secara rasional. Jangan lakukan sesuatu yang mungkin anda sesalkan pada masa hadapan.

Tempat anda menemukan mayat itu berkemungkinan adalah tempat kejadian jenayah. Segalanya pada mangsa dan yang terdapat di sekelilingnya boleh menjadi bahan bukti. Segala bahan bukti pula adalah milik pihak penyiasat. Anda tentu tidak mahu mengganggu bahan bukti dan merosakkan tempat kejadian jenayah yang belum diproses. Perkara terakhir yang anda perlu hadapi adalah untuk disoal siasat polis atas kemungkinan kesalahan mengganggu siasatan atau untuk membantu dalam penyiasatan polis.

Berikut adalah antara perkara yang dilarang dan yang boleh anda lakukan di tempat penemuan mayat.

Jangan:

  • Menyentuh mayat atau sebarang item/benda yang terdapat di sekeliling mayat. Biarkan ia seperti mula-mula anda sampai ke tempat tersebut.
  • Membawa balik mayat yang anda temui itu ke rumah walaupun ia melibatkan orang yang anda kenali.  
  • Membawa balik anggota badan mayat yang dijumpai itu, baik untuk apa tujuan sekali pun. Lebih-lebih lagi andai ia melibatkan perkara-perkara khurafat yang bertentangan dengan agama Islam.
  • Curi dompet dan telefon bimbit mayat atau sebarang barangan berharga milik si mati seperti gelang, jam, rantai dan kasut yang mungkin menjadi bahan bukti yang penting kepada polis
  • Menutup mayat dengan kain, plastik atau kertas yang anda jumpa di persekitaran tersebut. Malah, jangan gunakan juga kain milik anda. Anda mungkin menambahkan bahan bukti yang tidak sepatutnya ada seperti bulu, rambut dan kepingan kulit mati milik anda. Teori Locard menyatakan bahawa sesuatu unsur itu boleh dipindahkan daripada satu permukaan kepada permukaan lain dengan sentuhan.
  • Berjalan mundar-mandir di kawasan tersebut. Anda boleh duduk jauh daripada mayat sehingga pegawai polis datang mengawal keadaan. Andai kata terdapat ramai orang awam yang mahu melihat dengan jelas mayat, anda boleh nasihatkan mereka dengan baik agar tidak terlalu menghampiri mayat dan mengerumuninya.
  • Merokok dan membuang puntung rokok di kawasan tersebut. Rokok anda boleh dikutip oleh pegawai penyiasat dan dijadikan sebagai bahan bukti. Tidak mustahil anda akan ditahan sebagai suspek setelah keputusan analisis makmal ke atas puntung rokok dikeluarkan.
  • Meludah atau termuntah ke atas/berhampiran mayat. Anda akan memusnahkan bahan bukti serta menambahkan bahan bukti sehingga menyusahkan pasukan penyiasat.
  • Lari daripada tempat anda menemui mayat tanpa memaklumkan/melaporkan kepada polis. Anda boleh disalah anggap sebagai terlibat dengan kematian tersebut jika anda melarikan diri dan tidak melaporkannya.

Anda boleh:

  • Mengambil gambar keadaan mayat dan persekitarannya tanpa merosakkan bukti. Gambar itu boleh dijadikan sokongan ketika membuat laporan di balai polis yang berhampiran. Jangan salah gunakan pula kecanggihan teknologi untuk tujuan provokasi dan mengaibkan orang.
  • Meninggalkan tempat tersebut selepas melaporkan penemuan mayat itu kepada pihak polis. Maklumkan maklumat peribadi anda agar mudah dihubungi oleh pihak penyiasat.

Adakah pihak ambulans boleh membawa mayat ke hospital?

Ambulans adalah kenderaan khusus untuk membawa mereka yang sakit ke hospital atau dari satu  hospital ke hospital yang lain. Perkhidmatan ambulans disediakan supaya kes kecemasan dan kes rujukan ke hospital dapat ditangani dengan segera dan efisien. Ambulans hanya boleh membawa orang sakit yang memerlukan bantuan/rawatan lanjut dengan segera. Pihak ambulans tidak boleh membawa mayat dari tempat kejadian jenayah ke hospital (rumah mayat). Peranan itu adalah tanggungjawab pihak polis.

Orang awam dilarang sama sekali membawa/mengambil mayat untuk dibawa ke dalam kenderaan, sama ada untuk dihantar ke hospital atau ke balai polis.

Pihak hospital ada menyediakan perkhidmatan van jenazah untuk menghantar mayat yang sudah menjalani proses yang sepatutnya (bedah siasat atau pun tidak) dari hospital ke rumah keluarga si mati.

Apakah nombor talian kecemasan yang boleh digunakan?

Talian kecemasan 999 telah dikenalkan pada 1 Oktober 2007 yang menggabungkan kesemua agensi kerajaan yang terlibat dengan tindak balas kecemasan. Anda boleh menghubungi talian ini untuk mendapatkan tindakan segera daripada agensi seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

999, satu talian untuk integrasi perkhidmatan kecemasan yang lebih berkesan.

Rujukan

  1. Death: General information. (2013, September). Citizen Advice Bureau. (website). http://www.cab.org.nz/vat/fp/d/Pages/Generalinformation.aspx.
  2. Glennon, J. (2013, April). Investigations: 10 Things Not To Do. LAWOFFICER: Police & Law Enforcement. (website). http://www.lawofficer.com/article/investigation/investigations-10-things-not-d.
  3. Lofland, L. (2011, Mei). Homicide Investigation: Do’s and Don’ts. The Graveyard Shift. (website). http://www.leelofland.com/wordpress/homicide-investigations-dos-and-donts/.
  4. Mohd Yusoff Samad. (2013, April 13). Perkhidmatan Kecemasan 999. Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. http://www.civildefence.gov.my/v3/index.php/perkhidmatan/perkhidmatan-kecemasan-999.
  5. Noresah Baharom. (2012). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  6. Steel, M. (2012). New Oxford English-English-Malay Dictionary. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Khairul Adli bin Nikman
Akreditor : Dr. Ahmad Hafizam bin Hasmi
Penyemak : Dr. Khoo Lay See