A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Ubat Umum
  6. /
  7. Perkhidmatan Tambah Nilai Pendispensan...

Perkhidmatan Tambah Nilai Pendispensan Ubat

Berazam meninggikan mutu perkhidmatan awam merupakan Teras Perkhidmatan Awam. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memupuk dan menghayati nilai dan etika Perkhidmatan Awam. “Kami Sedia Membantu” adalah slogan ampuh KKM yang telah mencetus daya kreativiti dan inovasi anggota kearah menjana transformasi terhadap sistem dan proses penyampaian perkhidmatan. Transformasi adalah penting bagi menjamin perkhidmatan yang diberikan terus mampan seiring dengan kemajuan dan perkembangan teknologi, prasarana, memenuhi keperluan serta kebolehcapaian oleh rakyat.

Kebolehcapaian farmakoterapi terutama bagi pesakit dengan penyakit kronik adalah menjadi keutamaan kepada KKM dalam usaha mengekalkan kualiti hidup sepanjang hayat dan mengurangkan kos kesihatan. Oleh itu Bahagian Perkhidmatan Farmasi selaku “custodians of the medication management system” sentiasa komited mempelbagaikan penawaran sistem perkhidmatan bekalan ubat yang bersesuaian dengan kemudahan semasa serta menepati keperluan rakyat pada tahap optimum.

Bagi meningkatkan penggunaan ubat-ubatan berkualiti (Quality Use of Medicine-QUM) di kalangan rakyat, bekalan separa diberikan bagi preskripsi rawatan penyakit kronik yang melebihi tempoh satu bulan dan bekalan seterusnya dibuat melalui Sistem Temujanji Farmasi (Pharmacy Appointment Systems-PhAS).

Sejajar dengan ini, Bahagian Perkhidmatan Farmasi telah menawarkan Perkhidmatan Tambah Nilai (Value Added Service-VAS) iaitu melalui pelbagai PhAS. Diantara PhAS yang ditawarkan oleh farmasi hospital dan klinik kesihatan KKM adalah seperti berikut:-

A. Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB)

alt

Pengenalan

Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu adalah satu kaedah rujukan yang seragam dan teratur bagi pembekalan ubat susulan di mana pesakit boleh mengambil bekalan ubat susulan mereka di mana-mana fasiliti kesihatan KKM mengikut pilihan pesakit.

Jenis Perkhidmatan

Pembekalan ubat susulan menggunakan sistem yang seragam dan bersepadu di semua fasiliti kesihatan KKM.

Kelebihan & Kebaikan

Faedah yang diperolehi daripada sistem ini

  1. Kemudahan kepada pesakit untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan susulan di mana-mana farmasi di bawah KKM yang berdekatan dengan tempat kediaman pesakit walaupun di tempat yang agak terpencil.
  2. Pesakit akan menerima kualiti perkhidmatan yang sama di mana-mana fasiliti pilihan sendiri melalui kaedah rujukan yang seragam.

B. Ubat Melalui Pos 1Malaysia (UMP 1Malaysia)

alt

Pengenalan

Perkhidmatan penghantaran Ubat Melalui Pos 1Malaysia ialah perkhidmatan pembekalan ubat susulan terus ke lokasi pilihan pesakit dengan caj kiriman yang telah ditetapkan. UMP 1Malaysia merupakan perkhidmatan pilihan kepada pesakit dan pesakit yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan ini perlu memenuhi kriteria tertentu yang telah ditetapkan. Perkhidmatan ini disediakan hasil daripada kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pos Malaysia Berhad. Penghantaran ubat menggunakan perkhidmatan PosLaju adalah tertakluk di dalam lingkungan kawasan pungutan dan serahan PosLaju. Caj kiriman adalah ditanggung oleh pesakit mengikut destinasi ubat yang dihantar.

Jenis Perkhidmatan

Pembekalan ubat susulan menggunakan sistem kiriman PosLaju ke lokasi pilihan pesakit seluruh Malaysia.

Kelebihan & Kebaikan

Faedah yang diperolehi daripada sistem ini

  1. Pesakit tidak lagi perlu pergi di kaunter farmasi untuk mengambil bekalan ubat susulan kerana bekalan ubat tersebut akan dikirim terus ke lokasi pilihan pesakit.
  2. Menyelesaikan masalah kesuntukan masa untuk datang mengambil ubat di kaunter farmasi.
  3. Menjimatkan kos perjalanan pesakit.
  4. Tiada lagi masalah untuk meletakkan kenderaan.

C. Farmasi Pandu Lalu

alt

Pengenalan

Perkhidmatan pendispensan ubat susulan pesakit melalui kaedah pandu lalu. Pesakit hanya perlu ke kaunter farmasi pandu lalu untuk mendapatkan bekalan ubat susulan mereka. Pesakit tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan bekalan ubat tersebut kerana pihak farmasi telah menyediakannya sebelum tarikh temu janji pesakit untuk mengambil ubat.

Jenis Perkhidmatan

Pendispensan ubat susulan kepada pesakit di kaunter Farmasi Pandu Lalu.

Kelebihan & Kebaikan

Faedah yang diperolehi daripada sistem ini

  1. Pesakit tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan bekalan ubat susulan.
  2. Tiada lagi masalah untuk meletakkan kenderaan kerana laluan khas kenderaan pesakit telah disediakan.

D. SMS dan Ambil

alt

Pengenalan

Perkhidmatan Farmasi SMS dan Ambil adalah suatu perkhidmatan yang disediakan kepada pesakit yang mengambil bekalan ubat ulangan sahaja. Pesakit tersebut boleh mengambil bekalan ubat susulan tanpa perlu beratur atau menunggu lama. Pesakit hanya perlu menghantar pesanan ringkas (SMS) tentang butiran pesakit beserta tarikh dan masa yang diingini sebelum datang mengambil ubat.

Jenis Perkhidmatan

Pembekalan ubat susulan kepada pesakit tanpa perlu menunggu lama di kaunter farmasi kerana ubat pesakit telah disediakan lebih awal.

Kelebihan & Kebaikan

Faedah yang diperolehi daripada sistem ini

  1. Pesakit tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan bekalan ubat susulan dan seterusnya mengurangkan masa menunggu pesakit di kaunter farmasi.
  2. Menyediakan perkhidmatan pembekalan ubat susulan yang lebih fleksibel, tidak hanya tertumpu kepada waktu puncak.

Selain daripada sistem-sistem yang disebutkan di atas, terdapat juga beberapa sistem temu janji farmasi yang lain seperti Kad Temu janji, Telefon/Faks/Emel dan Ambil, Letak dan Ambil Esok dan Farmasi Walk Thru. Walau bagaimanapun, tidak semua fasiliti kesihatan KKM menyediakan sistem-sistem temu janji ini. Penyediaan perkhidmatan temu janji ini tertakluk kepada fasiliti masing-masing mengikut kesesuaian.

Inovasi sistem pendispensan secara temu janji ini sangat bermanfaat demi memastikan kesinambungan bekalan ubat-ubatan susulan pesakit. Ia juga dapat membantu meningkatkan tahap komplian terhadap pengambilan ubat-ubatan. Walau bagaimanapun, perkhidmatan ini hanyalah disediakan untuk pesakit dengan preskripsi jangka panjang penyakit kronik yang stabil sahaja. Pembekalan ubat untuk bulan pertama masih lagi perlu dilakukan di kaunter farmasi fasiliti kesihatan tersebut.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan mengenai sistem temu janji farmasi, pesakit diminta untuk menghubungi pegawai farmasi di fasiliti yang menawarkan perkhidmatan tersebut.

Semakan Akhir : 30 Mei 2012
Penulis : Norazimah bt. Abdul Manan
Penyemak : Norhayati bt. Musa

 

Artikel Berkaitan

Penyakit Batuk Kering (Tuberculosis) dan Ubat

Antituberculosis adalah kelas ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat penyakit batuk kering atau tuberculosis (TB). TB adalah disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis yang selalunya menjangkiti paru-paru tetapi ia juga boleh menjangkiti bahagian badan yang lain seperti usus, tulang dan otak.

Ubat: Apa yang Anda Perlu Tahu?

Ubat adalah drug atau bahan yang digunakan untuk mengawal kesihatan, merawat atau mencegah penyakit. Secara umumnya, ubat adalah selamat jika diambil dengan betul.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,234,608

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia