Home > Umum > Forensik > Perkhidmatan Sains Forensik di KKM

Perkhidmatan Sains Forensik di KKM

Sains forensik masih merupakan bidang baru di Malaysia dari segi pandangan masyarakat, namun kewujudan sains forensik di Kementerian Kesihatan Malaysia sebenarnya sudah menjangkau usia 13 tahun sejak graduan pelajar sulung dari Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan Kubang Kerian menjadi peneraju bidang sains forensik di Kementerian Kesihatan Malaysia. Dengan perkembangan dalam bidang ini, maka bertambahnya bilangan Pegawai Sains (Forensik) yang ditempatkan di hospital-hospital dalam negara yang tidak lain matlamatnya sebagai satu pasukan yang mampu membantu untuk melengkapkan keperluan pakar semasa kes bedah siasat dan kes mediko-legal yang lain berlaku.

Jawatan ini telah ditempatkan di beberapa buah hospital di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Penempatan ini termasuklah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Hospital Kuala Lumpur), Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak. Penempatan pegawai tersebut ditetapkan di setiap negeri adalah mengikut kekosongan dan keperluan.

Secara khususnya, jawatan ini telah diwujudkan di Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah pengurusan Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu bersama dengan profesion yang lain adalah untuk membantu dalam proses analisis forensik kepada agensi-agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia khususnya hospital dan pejabat kesihatan yang lain. Analisis forensik yang dijalankan di Kementerian Kesihatan Malaysia bertujuan untuk mendapatkan keputusan yang lebih cepat serta memelihara integriti spesimen dan bukti yang diperoleh sewaktu bedah siasat.

Sains forensik merupakan satu aplikasi daripada bidang sains dan teknologi yang mempunyai spectrum yang meluas untuk mengenal pasti dan mengesahkan kronologi sesuatu kejadian berdasarkan kepada bukti-bukti saintifik yang diperolehi. Ini lebih menjurus kepada pelaksanaan undang-undang di mana sains forensik ini berkait dengan undang-undang jenayah dan juga awam. Secara umumnya bidang sains forensik ini adalah luas, iaitu boleh dibahagikan kepada forensik fisiologikal, forensik sosial, kriminalistik, digital, dan bidang lain yang berkaitan.

Sebagai memenuhi keperluan kepada analisis forensic lanjutan daripada kes bedah siasat yang dijalankan, Pegawai Sains Forensik di Kementerian Kesihatan Malaysia memyediakan tiga perkhidmatan yang utama di Makmal Perubatan Forensik di hospital yang telah dilengkapi dengan kemudahan berteknologi tinggi iaitu toksikologi forensik, histopatologi forensik, dan juga antropologi forensik.

Untuk analisis toksikologi forensik, analisis alkohol dalam darah dan juga ujian dadah dalam urin akan dijalankan. Analisis alkohol dalam darah dapat dijalankan dengan menggunakan Gas Chromatography Mass Spectrometry (GCMS) yang memakai teknik Headspace khususnya untuk analisis bahan meruap yang telah banyak membantu dalam perubatan forensik untuk mengenal pasti sebab kematian. Manakala, analisis dadah dalam urin pula adalah menggunakan High Performance Liquid Chromatography (HPLC) yang dilengkapi dengan pengesan Photo Diode Array (PDA) untuk menganalisa dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. Analisis yang dijalankan di Kementerian Kesihatan Malaysia membantu mengurangkan masa menunggu untuk mendapatkan keputusan kimia bagi setiap kes bedah siasat yang dijalankan.

 
Gambar 1: Peralatan berteknologi tinggi, GCMS dan HPLC
(Sumber: www.nmssc.ac.uk/ www.biochem.uwo.ca)

Analisis histopatologi pula diberi penekanan dalam analisis forensik di Kementerian Kesihatan Malaysia di mana melibatkan aplikasi sains biologi berkait rapat dengan fungsi-fungsi tisu. Analisis ini penting untuk menentukan penyakit yang dihadapi dan punca kematian dengan pemeriksaan histopatologi ke atas jaringan tisu yang telah terganggu. Ini melibatkan beberapa proses yang penting iaitu daripada penerimaan spesimen (tisu), pemprosesan tisu termasuklah fiksasi dan embed tisu, dan kemudiannya pemotongan tisu sehinggalah pencelupan tisu sama ada pencelupan H&E dan pencelupan khusus. Analisis ini banyak membantu dalam mengenal pasti punca kematian bagi sesetengah kes yang tidak dapat dikenalpasti punca kematiannya sewaktu bedah siasat kerana jaringan tisu yang terganggu hanya dapat dilihat melalui mikroskop dan seterusnya sebab kematian dapat ditentukan kemudian.


Gambar 2: Contoh tisu untuk analisis histopatologi
(Sumber :www.commons.wikimedia.org)

Analisis antropologi turut menjadi salah perkhidmatan utama dalam analisis forensik yang tertumpu kepada analisis tulang yang dijumpai sama ada yang dibakar atau ditanam dalam penentuan jantina melalui ukuran dan saiz tulang tersebut. Perkhidmatan antropologi ini telah dijalankan di Hospital Pahang dan Hospital Kuala Lumpur. Selain daripada tiga perkhidmatan yang utama tersebut, terdapat dua lagi perkhidmatan sampingan turut dijalankan iaitu siasatan tempat kejadian dan juga pengurusan bencana ramai mangsa.

Siasatan tempat kejadian melibatkan proses mendokumentasi dan menyediakan laporan yang berkaitan. Proses dokumentasi tersebut adalah melibatkan lakaran tempat kejadian, fotografi, video rekod, respondan lain dan juga dokumen bahan bukti.


Gambar 3: Siasatan tempat kejadian
(Sumber : www.beritaharian.com)

Bagi pengurusan bencana ramai mangsa, sains forensik lebih menjurus kepada pengumpulan sampel, pemeliharaan sampel, penyimpanan sampel, rantaian bahan bukti, analisis makmal sama ada DNA atau tulang dan kawalan kualiti. Ini adalah penting bagi memastikan sampel tidak bercampur dan boleh dikenalpasti dan dianalisa bila dihantar ke makmal.


Gambar 4: Pengurusan bencana ramai mangsa
(Sumber : www.hmetro.com)

Sebagai satu bidang yang semakin berkembang, perkhidmatan sains forensik juga mempunyai halatuju ke hadapan dan perancangan teliti bagi memantapkan lagi perkhidmatan sains forensik ini di Kementerian Kesihatan Malaysia. Antara perancangan yang telah disasarkan untuk dilaksanakan secara berperingkat adalah menyediakan makmal analisis yang dilengkapi dengan komponen toksikologi, histopatologi, antropologi dan juga entomologi di setiap negeri dengan adanya instrumen berteknologi tinggi. Ini sedikit sebanyak telah dimulakan dengan beberapa orang pegawai telah melanjutkan pelajaran dalam bidang berkaitan bagi menyediakan kepakaran dalam bidang yang tersebut. Setiap negeri perlu mempunyai makmal analisis bagi menampung jumlah analisis sampel yang semakin bertambah.

Bagi perkhidmatan toksikologi dan histopatologi yang sedia ada, penambahbaikan dari segi peralatan berteknologi tinggi dan juga perkembangan analisis di tempat kejadian dengan menggunakan portable GC terutamanya untuk kes yang melibatkan exhumation dan pereputan. Analisis komponen juga akan ditambah kepada analisis paraquat dan komponen yang meruap selain daripada alkohol dan metanol. Analisis dadah dalam urin juga ditambah kepada dadah dalam kumpulan berasid dan berbes dan juga dadah yang disalahguna seperti morphine, codeine, cannabis, ketamine dengan penambahan peralatan yang lebih baik iaitu LCMS/MS untuk mengesan kandungan dan jenis dadah yang ada dalam sampel biologi tersebut. Bagi analisis histopatologi, penambahan bagi perkhidmatan yang telah sedia ada iaitu H&E kepada special stain bagi membantu dalam mikroskopi pengdiagnosan tisu dan protein yang terganggu. Penambahan peralatan dan tenaga kerja pakar bagi menjalankan analisis ke atas sampel yang semakin bertambah juga akan dilaksanakan dan justeru itu, beberapa pegawai akan dihantar untuk melanjutkan pelajaran dan menyertai kursus jangka pendek sebagai langkah untuk menyediakan profesionalisma dalam perkhidmatan sains forensik dan histopatologi khususnya.

Secara keseluruhannya, perkhidmatan sains forensik di Kementerian Kesihatan Malaysia telah membantu bidang perkhidmatan perubatan forensik di mana kedua-dua perkhidmatan saling menyokong antara satu sama lain. Sebagai cara untuk memantapkan lagi perkhidmatan sains forensik di Kementerian Kesihatan Malaysia, semua pihak harus menggembleng tenaga dan pengetahuan bagi mencurahkan idea untuk menambahbaik perkhidmatan yang telah sedia ada sebagai satu pasukan dalam Kementerian Kesihatan Malaysia.

Semakan Akhir : 17 Oktober 2013
Penulis : Ismazarni bt. Ismail
Akreditor : Khoo Lay See