Home > Dewasa > Perubatan Tradisional > Perkhidmatan Rawatan Tradisional Postnatal Di Hospital atau Di Rumah?

Perkhidmatan Rawatan Tradisional Postnatal Di Hospital atau Di Rumah?

Amalan berpantang adalah satu amalan lazim yang dilakukan oleh para ibu selepas bersalin tidak kira bangsa dan kepercayaan. Setiap bangsa mempunyai amalan berpantang yang unik dan diikuti sejak turun temurun. Oleh kerana rakyat Malaysia hidup berkomuniti, amalan berpantang mempunyai sedikit perbezaan atau telah bercampur dengan amalan bangsa lain. Bukan itu sahaja, amalan berpantang juga berbeza mengikut negeri. Misalnya dipercayai di negeri Johor, pemakaian pilis adalah sebahagian amalan berpantang manakala di Kelantan, amalan bersalai masih diamalkan.

Semasa tempoh berpantang, si ibu akan berehat dirumah untuk memulihkan tenaga dan kesihatan selepas bersalin. Selama tempoh berpantang iaitu 40 – 44 hari (6 minggu), tiga ciri utama dipraktikkan di dalam penjagaan ibu selepas bersalin mengikut tradisi Melayu iaitu penggunaan herba, penggunaan haba seperti bertungku dan urutan selepas bersalin.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mula menawarkan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari (PT&K) di fasiliti kerajaan sejak tahun 2007 dengan menubuhkan unit PT&K. Dengan usaha ini, perkhidmatan yang berkualiti dan selamat dapat disediakan sebagai pelengkap untuk perubatan moden.

KKM amat menitikberatkan amalan yang selamat bagi perkhidmatan postnatal. Perkhidmatan yang diberi di fasiliti kerajaan dipantau dan didokumentasi. Sebelum si ibu mendapatkan perkhidmatan postnatal, mereka perlu disaring oleh jururawat untuk memastikan tiada komplikasi semasa rawatan diberi.

Di unit PT&K, perkhidmatan penjagaan tradisional postnatal ditawarkan kepada ibu selepas bersalin. Perkhidmatan ini termasuk urutan kesejahteraan dan rawatan perbidanan. Urutan kesejahteraan merangkumi dua komponen iaitu urutan badan dan penjagaan payudara. Setiap sesi dijalankan selama 15 – 30 minit. Bagi rawatan perbidanan, para ibu akan menerima urutan badan, bertungku dan pemakaian barut. Rawatan ini dijalankan 3 kali pada minggu pertama selepas ibu bersalin secara normal dan juga pada hari ke 39, 40 dan 44 berpantang. Sesi ini dijalankan selama 60 – 90 minit.

Sehingga Oktober 2015, terdapat sepuluh (10) unit PT&K di fasiliti kerajaan yang menyediakan perkhidmatan rawatan tradisional postnatal. Unit PT&K tersebut adalah di Hospital Putrajaya, Hospital Sultan Ismail, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Duchess of Kent, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Umum Sarawak, Hospital Jasin dan, Pusat Bersalin Berisiko Rendah – MAIWP, Putrajaya dan Hospital Kepala Batas.

Sejak Disember 2012, Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK) telah memperluaskan perkhidmatan PT&K ke peringkat penjagaan kesihatan primer. Projek perintis bagi program ini telah diadakan di Klinik Kesihatan Masai, Johor Bharu kepada para ibu yang berminat mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Konsep perkhidmatan penjagaan tradisional postnatal di peringkat penjagaan kesihatan primer berbeza perkhidmatan yang ditawarkan di unit PT&K fasiliti kerajaan. Ibu selepas bersalin kini boleh mendapatkan perkhidmatan penjagaan tradisional postnatal di rumah. Urutan pengenalan (urutan kesegaran) juga ditawarkan di klinik kesihatan bagi ibu yang ingin mendapatkan urutan tersebut sebelum mendapatkan rawatan lanjutan di rumah.

Namun, pihak BPTK berharap amalan tradisional postnatal dapat diperluaskan dan amalan ini diberi dengan berkualiti dan selamat kepada ibu-ibu selepas bersalin.

Carta Aliran Rawatan Kesegaran Bagi Perkhidmatan Tradisional Postnatal di Unit PT&K

LETAK CARTA ALIR 1

Ringkasan aliran ini dipetik daripada Garis Panduan Amalan Perubatan Tradisional dan Komplementari bagi Penjagaan Postnatal Melayu terbitan pertama, Jun 2009

Carta Aliran Bagi Rawatan Lanjutan Bagi Perkhidmatan Tradisional Postnatal di Unit PT&K

LETAK CARTA ALIR 2

Ringkasan aliran ini dipetik daripada Garis Panduan Amalan Perubatan Tradisional dan Komplementari bagi Penjagaan Postnatal Melayu terbitan pertama, Jun 2009

Carta Aliran Perkhidmatan Tradisional Postnatal di Klinik Kesihatan

LETAK CARTA ALIR 3

Sesi PT&K di rumah – oleh Pengamal PT&K

LETAK CARTA ALIR 4

Dipetik daripada Garis Panduan Perkhidmatan Perubatan Tradisional dan Komplementari di Peringkat Penjagaan Kesihatn Primer ( Perkhidmatan Tradisional Postnatal)

Rujukan

  1. Shariffah Suraya Syed Jamaludin (2014). Beliefs And Practises Surrounding Postpartum Period Among Malay Women, Proceeding of the Social Sciences Research
  2. Garis Panduan Amalan Perubatan Tradisional dan Komplementari bagi Penjagaan Postnatal Melayu terbitan pertama, Jun 2009
  3. Garis Panduan Perkhidmatan Perubatan Tradisional dan Komplementari di Peringkat Penjagaan Kesihatn Primer ( Perkhidmatan Tradisional Postnatal)

 

Semakan Akhir : 13 Mei 2016
Penulis : Balqis bt. Mohammad Zin
Akreditor : Wong Wei Chyi