A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Perkhidmatan Ortodontik di KKM

Ortodontik adalah satu cabang kepakaran pergigian yang mengendali dan merawat pesakit-pesakit yang mempunyai masalah kedudukan atau susunan gigi yang tidak betul.

Perkhidmatan Ortodontik di KKM?

Ortodontik adalah satu cabang kepakaran pergigian yang mengendali dan merawat pesakit-pesakit yang mempunyai masalah kedudukan atau susunan gigi yang tidak betul.

Di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Unit Ortodontik menerima kes-kes rujukan kebanyakannya daripada Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Primer dan juga daripada cabang-cabang kepakaran lain. Kumpulan sasaran adalah pelajar sekolah di bawah umur 18 tahun dan individu-individu yang memerlukan rawatan di bawah cabang kepakaran multidisiplin.

Skop Rawatan Ortodontik

Rawatan Ortodontik diberikan untuk3:

  • Mengendalikan masalah oklusi
  • Membantu dalam rawatan restoratif
  • Mengendalikan masalah ketidakseimbangan tulang muka yang melibatkan pembedahan ortognatik
  • Mengendalikan masalah kecacatan kraniofasial (muka dan tengkorak) yang teruk
  • Mengendalikan masalah saluran pernafasan tersumbat semasa tidur (obstructive sleep apnoea)

Kehendak dan Keperluan Terhadap Rawatan Ortodontik.

Tanggapan pesakit terhadap keperluannya untuk rawatan tidak selalunya selari dengan pendapat professional. Menurut satu kajian di Malaysia, 27.1% pelajar sekolah berusia 13-14 tahun didapati memerlukan rawatan ortodontik6.

Rawatan ortodontik di klinik-klinik kerajaan di Malaysia mendapat permintaan yang tinggi di mana kos rawatannya diberi subsidi yang besar. Ini telah menyebabkan wujudnya senarai menunggu yang panjang di semua klinik kerajaan5. Peningkatan beban pada perkhidmatan kesihatan kerajaan telah menyebabkan banyak negara menggubal indeks untuk membolehkan pesakit yang mendapat manfaat besar sahaja menerima rawatan kepakaran.

Apakah itu Index of Treatment Need (IOTN) atau Indeks Keperluan Rawatan

Index of Treatment Need (IOTN) adalah indeks klinikal untuk menilai keperluan rawatan ortodontik. IOTN telah dicipta di United Kingdom. Ia terdiri daripada 2 komponen iaitu komponen kegigian (the Dental Health Component-DHC) dan komponen kecantikan (the Aesthetic Component-AC). DHC adalah diaplikasi daripada indeks Swedish Medical Health Board. Ia mengandungi 5 kategori, yang menerangkan keperluan rawatan iaitu1,2:

Gred 1: Tidak perlu rawatan

  • Hampir sempurna

Gred 2: Keperluan rawatan sedikit

  • Gigi hadapan atas yang sedikit ke depan.
  • Gigi yang tidak teratur sedikit.
  • Hubungan antara gigi atas dan gigi bawah berganjak sedikit daripada normal dan tidak mengganggu fungsi normal.

Gred 3: Keperluan rawatan sederhana

  • Gigi hadapan atas yang ke depan (jongang) yang berjarak kurang daripada 6mm.
  • Gigitan silang yang mengganggu sedikit fungsi normal iaitu kurang daripada 2mm.
  • Gigi sesak yang kurang daripada 4mm terkeluar dari susunan.
  • Gigitan terbuka yang kurang daripada 4mm.
  • Gigitan dalam yang tidak mengganggu fungsi.

Gred 4: Perlu rawatan

  • Gigi hadapan atas yang ke depan (jongang) lebih daripada 6mm.
  • Gigitan silang yang mengganggu fungsi normal iaitu lebih daripada 2mm.
  • Gigitan terbalik berjarak lebih daripada 3.5mm.
  • Gigi sesak lebih daripada 4mm terkeluar dari susunan.
  • Ketiadaan gigi di mana terdapat ruang yang perlu dirapatkan.
  • Gigitan terbuka yang melebihi daripada 4mm.
  • Gigitan dalam yang mengganggu fungsi.
  • Jumlah gigi yang terlebih daripada normal (supernumerary teeth).

Gred 5: Sangat memerlukan rawatan

  • Gigi terimpak kerana terdapat penghalang seperti kesesakan, gigi terlebih atau sebab-sebab lain.
  • Ketiadaan gigi melebihi satu.
  • Gigi hadapan atas yang ke depan (jongang) lebih daripada 9mm.
  • Gigitan terbalik dengan jarak lebih daripada 3.5mm dan terdapat masalah fungsi.
  • Kecacatan tulang muka dan tengkorak (kraniofasial) seperti sumbing bibir dan lelangit.

Komponen kecantikan (AC) adalah berdasarkan satu siri 10 gambar yang digunakan untuk menilai tahap kecantikan gigi. Penilaian subjektif ini juga harus dibuat oleh pesakit. Skala hairaki untuk komponen kecantikan adalah:

  • Gred 1-4: Tidak perlu rawatan atau sedikit keperluan untuk rawatan
  • Gred 5-7: Sederhana
  • Gred 8-10: Perlu rawatan

IOTN di KKM

Kelayakan rawatan di klinik ortodontik kerajaan bergantung kepada keperluan pesakit untuk rawatan tersebut, bukan tertakluk kepada kehendak pesakit untuk mendapatkan rawatan. Di KKM, IOTN digunakan sebagai panduan untuk mengutamakan rawatan kepada pesakit yang memerlukannya sahaja. Ianya dapat memastikan peruntukan yang tinggi dan terhad ini disasarkan hanya kepada mereka yang perlu rawatan dan kes-kes yang sederhana serta sedikit keperluan rawatan dapat dielakkan. Pesakit yang tidak memerlukan rawatan segera akan dimasukkan ke dalam senarai menunggu rawatan. Di Kementerian Kesihatan Malaysia, peraturan ini diaplikasikan dengan adil dan saksama.

Rujukan

  1. British Orthodontic Society (2015). What is the IOTN? Retrieved March 18, 2015 from www.bos.org.uk/Public-Patients/Orthodontics-For-Children-Teens/Fact-File-FAQ/What-Is-The-IOTN.
  2. Cobourne, M.T. & DiBiase A.T. (2010). Handbook of Orthodontics. Philadelphia: Mosby Elsevier.
  3. Gill, D.S. (2008). Orthodontics at a Glance. West Sussex: Blackwell Munksgaard.
  4. Image of IOTN Aesthetic Component (2015). Retrieved March 18, 2015 from http://www.nature.com/bdj/journal/v193/n4/fig_tab/4801530a_F5.html
  5. Loke, S.T. (2006). Training Dental Officers and Nurses in the Index of Orthodontic Treatment Need (IOTN) as a Screening Tool in Public Health Facilities. Malaysian Journal of Public Health Medicine, 6(2), 49-55.
  6. Siti Zuriana, MZ, Ishak AR & Rashidah E (2014). Normative and Perceived Need for Treatment of Malocclusion among Malaysian Adolescents. Sains Malaysiana, 43(7), 1037-1043.

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis / Penterjemah : Dr. Then Poh Kiun
Akreditor : Dr. Maria Jirom Gere
Penyemak : Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin

 

Artikel Berkaitan

Gigi Tidak Tersusun

Gigi tidak tersusun atau maloklusi ialah suatu keadaan di mana gigi-gigi dalam mulut tidak tersusun dengan baik atau jongang.

Cabutan Gigi

Cabutan gigi merujuk kepada exodontia, suatu prosedur pengeluaran atau pembuangan gigi daripada tulang rahang. Prosedur ini dilaksanakan apabila gigi tersebut didapati tidak dapat diselamatkan atau dikaitkan dengan sebarang patologi atau penyakit.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,369,121

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia