A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Perkembangan Pendengaran yang Normal

Pendengaran adalah sangat penting bagi perkembangan pertuturan yang normal. Bayi dikatakan mempunyai keupayaan mendengar sejak dari dalam rahim. Menurut Houston (2011) bayi mula menunjukkan respon terhadap bunyi seawal usia di dalam kandungan antara 25 hingga 29 minggu. Maka, apabila bayi dilahirkan, mereka sepatutnya mempunyai keupayaan untuk mendengar.

Perkembangan pendengaran bayi boleh dilihat melalui respon mereka terhadap bunyi di sekeliling. Respon bayi adalah berbeza seiring dengan peningkatan usia mereka. Rangsangan suara, bunyi, dan pertuturan adalah medium yang sangat penting untuk bayi belajar bercakap. Oleh itu, ibubapa adalah disarankan untuk sentiasa bercakap dan memberikan rangsangan bunyi kepada bayi mereka sejak lahir. Ibu bapa boleh melihat dan memastikan bahawa respon bayi mereka adalah mengikut perkembangan pendengaran yang sepatutnya. Sekiranya bayi anda tidak menunjukkan sebarang respon terhadap bunyi, bayi anda mungkin mempunyai masalah pendengaran. Mereka perlu diperiksa secepatnya bagi mengetahui status pendengaran dan langkah-langkah pemulihan boleh dijalankan seawal mungkin.

Berikut merupakan respon yang sepatutnya ditunjukkan oleh bayi anda:

Seawal kelahiran hingga usia dua bulan

    • Terkejut apabila mendengar bunyi yang kuat. Contohnya; bayi anda menangis apabila mendengar bunyi dentuman mercun, atau terjaga dari tidur apabila anda terbatuk atau terbersin berhampiran bayi anda.
    • Merasa tenang apabila mendengar suara ibu atau suara ahli keluarga yang biasa didengari.
    • Senyum atau senyap apabila ibu bapa bercakap dengan mereka.
    • Senyum apabila diagah.
    • Menunjukkan respon yang berbeza terhadap bunyi semasa menghisap susu; sama ada berhenti seketika atau menghisap dengan secara perlahan-lahan atau semakin kuat.
Bayi senyum apabila disapa

Tiga bulan hingga enam bulan

    • Beralih ke arah bunyi-bunyian atau suara. Kebiasaannya pada awal usia, mereka hanya mencari arah bunyi dengan anak mata mereka sahaja. Apabila meningkat usia empat hingga enam bulan, setelah tengkuk mereka boleh ditegakkan tanpa sokongan, mereka akan menoleh ke arah bunyi atau suara.
    • Suka pada permainan yang menghasilkan bunyi-bunyian.
    • Riak muka yang berubah apabila ibu bapa mengubah tona suara atau pertuturan.
    • Menunjukkan respon dengan menghasilkan bunyi-bunyian terhadap suara yang dikenali.
    • Meniru bunyi-bunyian di sekeliling apabila mendengarnya.
    • Memberi perhatian terhadap bunyi muzik
    • Berminat pada suara manusia
    • Boleh membezakan suara orang yang dikenali dan suara orang yang tidak dikenali.
Menoleh apabila dipanggil

Tujuh bulan hingga sebelas bulan

  • Menoleh atau mencari bunyi yang biasa didengari walaupun sumber bunyi tidak kelihatan. Contohnya bunyi telefon, bunyi tapak kaki, atau bunyi kucing.
  • Kenal beberapa objek yang biasa seperti botol, buku, atau kasut.
  • Kenal nama sendiri apabila dipanggil.
  • Memberi perhatian dengan mendengar apabila seseorang bercakap dengan mereka.
  • Menari dengan gaya sendiri apabila mendengar muzik atau nyanyian.
  • Faham perkataan yang biasa didengar. Contohnya ‘jangan’, ‘nak’, atau ‘jom’.

Setahun

  • Meniru dan menghasilkan bunyi seakan-akan atau sama dengan bunyi yang didengari.
  • Faham arahan ringkas. Contohnya bersalam dengan orang yang lebih dewasa apabila disuruh oleh ibu.
  • Menunjuk ke arah gambar atau objek apabila disebut oleh ibu bapa atau ahli keluarga.
  • Menunjukkan emosi yang berbeza terhadap tona suara ibu bapa. Contohnya menunjukkan riak sedih apabila dimarah.
  • Ikut menyanyi dengan cara tersendiri apabila mendengar lagu kanak-kanak.
  • Menunjukkan minat pada bunyi-bunyi yang ganjil dan tidak biasa didengar.
  • Perkataan pertama yang bermakna dihasilkan contohnya ‘abah’, ‘nak’ atau ‘mama’.

Sesetengah bayi mungkin mengalami perkembangan yang lebih cepat atau lewat sedikit berbanding seperti dinyatakan di atas. Sekiranya tiada respon langsung atau perkembangan pendengaran adalah terlalu lewat dari yang sepatutnya, bayi anda perlu menjalani ujian pendengaran secepatnya.

Peranan ibu bapa

Perkembangan pendengaran perlu dipantau oleh ibu bapa atau pengasuh sejak awal dilahirkan. Hal ini untuk memastikan bayi mempunyai rangsangan yang cukup untuk perkembangan pertuturan yang normal.

Masalah pendengaran juga boleh berlaku semasa membesar akibat;

  • Jangkitan telinga tengah seperti telinga bernanah,
  • Meningitis,
  • Demam panas, atau sawan.

Oleh itu, ibu bapa haruslah peka dengan perkembangan pendengaran anak-anak mereka.

Ujian Pendengaran

Sekiranya bayi anda tidak menunjukkan sebarang respon terhadap bunyi atau apabila dipanggil, ujian pendengaran perlu dilakukan untuk mengetahui status pendengaran mereka. Perkhidmatan ujian pendengaran ada disediakan di hospital-hospital kerajaan. Sila dapatkan rujukan daripada klinik kesihatan terdekat dan dapatkan temujanji untuk ujian pendengaran di Klinik Audiologi. Pegawai Audiologi akan menjalankan ujian pendengaran terhadap anak anda dan memberikan khidmat nasihat pengurusan masalah pendengaran sekiranya perlu.

Ujian saringan pendengaran bayi turut dilakukan kepada bayi baru lahir. Sila rujuk MyHEALTH/Ujian Saringan Pendengaran untuk keterangan lebih lanjut berkaitan ujian saringan pendengaran bayi.

Kesimpulan

Masalah pendengaran perlu ditangani dengan secepat mungkin untuk mengelakkan masalah seperti kelewatan pertuturan yang seterusnya akan menjejaskan komunikasi antara kanak-kanak tersebut dengan ibu bapa, ahli keluarga dan orang sekeliling. Selain itu, masalah pendengaran juga akan menyebabkan kanak-kanak menjadi rendah diri dan rasa terasing.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan berkaitan pendengaran anak anda, sila hubungi Unit Audiologi, Jabatan Otorinolaringologi di hospital yang berdekatan dengan anda.

Rujukan

  1. Rhoades, E.A. (1999). Auditory Developmental Scale: 0-6 years. http://www.auditoryverbaltraining.com/scale.htm
  2. Birth To One Year.  http://www.asha.org/public/speech/development/01.htm
  3. http://firstyears.org/miles/chart.pdf
Semakan akhir : 29 Januari 2014
Penulis : Asyah Hafiza bt. Mohamad Nor
Akreditor : Nur Azyani bt. Amri

 

Artikel Berkaitan

Pengawasan Tumbesaran

Ambil berat badan anak anda mengikut. Berjumpa dengan ahli kesihatan professional sekiranya berat badan anak anda berada di bawah paras normal.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,200,175

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia