A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Perkataan Pertama Bayi Anda

Perkataan pertama muncul apabila kanak-kanak berusia setahun. Perkataan awal yang sering disebut oleh kanak-kanak ialah panggilan orang yang hampir dengannya seperti 'mak, abah, kakak, tok'.

Pengenalan

Perkataan pertama muncul apabila kanak-kanak berusia setahun. Perkataan awal yang sering disebut oleh kanak-kanak ialah panggilan orang yang hampir dengannya seperti ‘mak, abah, kakak, tok’. Selain itu, perkataan awal juga sering dikaitkan dengan keperluan harian yang digunakan oleh kanak-kanak atau arahan serta perbuatan seperti ‘air, nenen, nak, tak mau, bak, ni’ dan sebagainya.

Alangkah bahagianya si ibu apabila mendengar suara si manja memanggil ‘mama’ buat pertama kali. Tidak kurang juga dengan si ibu yang cemburu apabila perkataan pertama yang disebut si manja ialah ‘papa’ bukannya ‘mama’.

Kemahiran Pra-Pertuturan

Bayi mendengar suara intonasi, melihat memek muka serta merasai suasana persekitarannya. Para ibu secara semulajadi menggunakan suara yang penuh dengan sifat keibuan semasa berinteraksi dengan bayi. Kaedah ini penting untuk menggalakkan pandangan mata bayi, memberi tumpuan, dan bergilir-gilir menghasilkan suara. Kemahiran awal inilah yang disebut sebagai kemahiran pra-pertuturan.

Proses Kanak-Kanak Belajar Bercakap

  • Meniru Sebutan

    • Bayi meniru sebutan orang dewasa dengan menghasilkan bunyi atau perkataan yang pelik apabila didengar. Kadang-kala kita tidak dapat memahami langsung perkataan yang disebut oleh mereka.

  • Menghasilkan Sebutan dan Memahami Makna

    • Lama-kelamaan bayi mula sedar bahawa bunyi atau perkataan yang disebut mempunyai makna yang boleh mempengaruhi orang di sekitarnya.

  • Menghasilkan Sebutan Pelat

    • Kanak-kanak yang baru belajar bercakap kebiasaannya akan pelat. Pelat ialah kesilapan semasa menyebut perkataan. Contohnya perkataan ‘susu’ disebut sebagai ‘cucu’. Pelat dalam tempoh awal perkembangan bahasa adalah normal. Peringkat ini juga disebut sebagai peringkat perkembangan fonologi. Apabila tumpuan kanak-kanak semakin meningkat, kebolehan meniru sebutan juga meningkat. Berikut adalah contoh fonologi yang biasa berlaku:

      • Menyebut suku kata akhir sahaja

        • Kebiasaannya, kanak-kanak menyebut suku kata akhir terlebih dahulu. Contohnya, ‘kan’ bagi perkataan ‘makan’ atau ‘ju’ bagi perkataan ‘baju’.

      • Menghilangkan bunyi konsonan pertama

        • Ada juga kanak-kanak yang tidak menyebut huruf bunyi pertama dalam sesuatu perkataan. Contohnya ‘mata’ menjadi ‘ata’. Bunyi konsonan /m/ dihilangkan.

      • Menggantikan bunyi konsonan

        • Setiap bunyi konsonan mempunyai tahap perkembangan yang berbeza. Bunyi-bunyi bibir seperti /m,p,b/ lebih mudah disebut berbanding bunyi belakang lidah seperti /k,g/ dan juga bunyi lengkungan lidah seperti /r, l/. Maka kanak-kanak menggantikan bunyi yang sukar disebut dengan bunyi yang mudah disebut. Contohnya kanak-kanak menyebut ‘loyi’ bagi perkataan ‘lori’. Bunyi /r/ digantikan dengan bunyi /y/.

Merangsang Percakapan Kanak-kanak

Jika kanak-kanak masih tidak bercakap maka ibu bapa bolehlah mengajar anak dengan cara berikut.

  • Menyebut bunyi-bunyi bermakna

    • Pastikan setiap bunyi yang dihasilkan merujuk kepada sesuatu yang bermakna. Contohnya bunyi    ‘muu’ merujuk kepada ‘lembu’, ‘shh’ merujuk kepada isyarat ‘diam’, atau ‘eee’ merujuk kepada  isyarat ‘busuk’.

  • Memahami kaedah kanak-kanak belajar

    • Kanak-kanak belajar dengan empat kaedah utama iaitu mendengar, melihat, mengalami dan mengulang. Oleh itu, ibu bapa mestilah menggunakan semua kaedah tersebut untuk merangsang perkembangan pertuturan dan bahasa anak. Cara lama iaitu ‘tunjuk’ dan ‘sebut’ tidak memadai. Ibu bapa mestilah kerap mengulang bunyi sasaran dan memberi peluang kepada anak untuk merasai pengalaman yang berkaitan sama ada secara sentuhan atau gerakan. Contohnya jika ibu bapa ingin mengajar  anak menyebut ‘bola’ maka hendaklah ibu bapa terlebih dahulu menyebut perkataan ‘bola’ kepada anak dan memberi anak melihat objek ‘bola’. Kemudian beri peluang kepada anak untuk bermain dengan bola tersebut sambil ibu bapa mengulang perkataan ‘bola’ dalam konteks yang sesuai. Contohnya, ‘Hilmi, tengok ni, ummi ada bola. Cantik bola ni. Cuba tendang bola tu. Pandai Hilmi tendang bola.‘ Jadi perkataan bola disebut berulang-ulang kali.

  • Memberi galakan

    • Ibu bapa mestilah memberi galakan dan respon kepada setiap sebutan anak. Memek muka dan pujian yang diberikan menggalakkan anak terus mencuba pergerakan lidah, bibir dan getaran pita suara mereka.

  • Mengajar dalam situasi

    • Contohnya jika ibu bapa ingin mengajar bunyi ‘eee’ untuk ‘busuk’ / ‘kotor’, maka sebelum membasuh tangan, sebutkan ‘eee’ dan tunjuk kekotoran yang ada di tangannya. Kemudian ulang beberapa kali sambil pergi ke sinki untuk membasuh tangan. Dengan cara ini, anak mudah memahami maksud bunyi ‘eee’ dan mengingat situasi tersebut serta.

  • Elakkan mengajuk pelat

    • Kanak-kanak yang baru belajar bercakap selalunya pelat. Ramai yang suka mengajuk sebutan pelat kerana dianggap lucu. Tetapi ini tidak membantu kanak-kanak untuk memperbaiki sebutan mereka. Oleh itu sebutlah dengan jelas kepada anak anda. Contohnya jika anak menyebut ‘mama, catit la’ sambil menunjuk kepada luka di tangan. Maka katakan kepadanya  “Irham sakit ya, sakit tangan. Kesian anak ummi sakit.”

  • Tunggu respon

    • Kebiasaanya kanak-kanak hanya akan tunjuk pada benda yang diingini. Ibu bapa mestilah tunggu dan lihat usaha anak untuk meminta. Tunggulah hingga dia cuba untuk menyebut sesuatu. Jangan terus beri barang tersebut kepadanya. Gunakan memek muka yang menunjukkan anda sedang menunggu apa yang ingin dikatakannya.

  • Sebutkan perkataan terlebih dahulu

    • Jika kanak-kanak enggan bercakap sehingga dia mula merajuk atau menangis, maka barulah sebutkan perkataan yang sepatutnya. Contohnya ” Irham nak bola? Ni bola.” Setelah disebut, barulah berikan bola kepadanya. Jika beri barang terlebih dahulu,  kanak-kanak tidak lagi memberi tumpuan kepada perkataan yang disebut, sebaliknya mengalihkan tumpuan kepada barang itu.

  • Beri pilihan mudah

    • Ibu bapa juga boleh menggalakkan kanak-kanak bercakap dengan memberikan pilihan mudah. Contohnya, seorang ibu memang tahu yang anaknya inginkan roti. Maka tanyakan kepada anak, ‘Irham nak nasi ke, nak roti?’ (perkataan ‘roti’ disebut di hujung ayat). Maka anak akan lebih mudah untuk meniru dan menyebut ‘roti’.

  • Cipta peluang bercakap

    • Letakkan barang yang sangat diingini oleh anak anda di tempat yang sukar dicapai, tetapi mudah dilihat. Anda juga boleh menyimpan barang di dalam bekas yang tertutup rapat. Oleh itu kanak-kanak perlu meminta bantuan anda untuk mendapatkan benda yang diingini.

  • Sabotaj

    • Kaedah ini sangat sesuai dilakukan semasa kanak-kanak sedang asyik bermain sendirian. Ibu bapa bolehlah mengganggu aktiviti anak dan lihat respon yang diberi . Sabotaj boleh menggalakkan kanak-kanak menyebut perkataan ‘tak nak, jangan, tak boleh’ dan sebagainya. Contoh lain ialah dengan memberikan barang yang anak memang tidak suka.

Walau bagaimanapun, jika ibu bapa dapati anak masih tidak boleh menyebut perkataan walaupun telah berumur hampir dua tahun, segeralah berjumpa doktor untuk merujuk anak anda ke Terapi Pertuturan-Bahasa di hospital berdekatan. Sesungguhnya rawatan awal adalah lebih baik berbanding menunggu hingga hampir usia persekolahan.

Rujukan

  1. Merkel-Piccini R. (2001) Phonological Processes, Super Duper Publication.

  2. Paul R. (2004) Language Disorders From Infancy Through Adolescent: Assessment and Intervention 3rd Edition Mosby.

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Ruby Izyan Atika bt. Abu Bakar
Akreditor : Noor Fadhilah bt. Ab Halim
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

 

Artikel Berkaitan

Kudis Buta

Apa itu kudis buta? Kudis buta ialah keadaan kegatalan pada

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,239,564

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia