Home > Umum > Forensik > Perbezaan Tulang Manusia & Artifak

Perbezaan Tulang Manusia & Artifak

 

Perbezaan Di Antara Tulang Manusia Dan Artifak/Tulang Haiwan

Menurut kamus perubatan, tulang merupakan sejenis tisu penghubung yang keras dan kukuh, dan jenis tisu ini  terdapat dalam kebanyakan  haiwan vertebrata, termasuklah mamalia, ikan, amfibia, reptilia, burung, primat, rodent dan marsupium (Gambar 1). Sehingga kini, tulang merupakan  salah satu jenis bahan biologikal yang  kuat, terutamanya dalam menanggung keberatan badan dan memberi sokongan kepada pergerakan badan.

Bagi Pakar Antropologi Forensik, Pakar Antropologi Fizikal dan Pakar Arkeologi, mengenal pasti serta membezakan tulang manusia daripada tulang haiwan dan artifak seperti akar kayu atau dahan kayu merupakan satu tugasan yang amat penting. Pada mata kasar orang ramai, tugasan kerja ini mungkin kelihatan remeh, akan tetapi bagi orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang yang berkaitan, mengenalpasti sesuatu itu sebagai tulang manusia  merupakan langkah pertama yang perlu ditentukan sebelum  tindakan selanjutnya dapat dilakukan.

Jika semua tulang-tulang boleh disusun-atur menjadi satu tulang rangka yang lengkap, ini akan memudahkan proses mengenal pasti spesies rangka tersebut sebagai tulang manusia atau bukan manusia  seperti mana yang ditunjukkan dalam gambar 1. Akan tetapi, dalam kebanyakan situasi,  tulang rangka yang dijumpai adalah tidak lengkap, berkecai atau berserpihan serta berselerak, dan ada situasi di mana terdapat tulang-tulang tersebut terdiri daripada lebih satu individu atau dalam keadaan bercampur dengan tulang haiwan (Gambar 2). Maka, proses mengenal pasti sesuatu spesimen itu adalah tulang manusia ataupun bukan manusia  amat kritikal dalam setiap kes pemeriksaan antropologi terhadap tulang-tulang.

Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan dalam membezakan tulang manusia dengan  tulang bukan manusia, iaitu melalui kaedah pemeriksaan makroskopik, mikroskopik dan analisa bio-kimia.

a) Rangka manusia
(Sumber : http://animal-kid.com/fish-skeleton.html

b) Rangka burung
(Sumber : http://www.dappercadaver.com/products/small-bird-skeleton-quail.html)

c) Rangka amfibia
(Sumber : http://scienceblogs.com/tetrapodzoology/2007/10/28/frogs-toads-sheer-untold-awesomeness/

d) Rangka ikan
(Sumber : http://animal-kid.com/fish-skeleton.html)

e) Rangka reptilia
(Sumber : http://searchpp.com/reptile-skeleton)

f) Rangka primat
(Sumber : http://www.turbosquid.com/3d-models/chimpanzee-skeleton-3ds/654529)

g) Rangka tikus
(Sumber : https://www.flickr.com/photos/galleriejc/3979155157/)

h) Rangka marsupial
(Sumber : https://twitter.com/mvmammals/status/496534172471545856)

Gambar 1: Rangka dari pelbagai haiwan vertebrat

 


a) (Sumber : http://www.age-of-the-sage.org/evolution/ardi_fossilized_skeleton.html)

b) (Sumber : http://www.texasbeyondhistory.net/landis/pipeline.html)

c) (Sumber : http://pages.vassar.edu/realarchaeology/?tag=lab-work)
Gambar 2: Apabila tulang-temulang tidak diatur susun dengan rapid serta dibiarkan berlonggokkan,  ini akan menimbulkan kesukaran dalam mengenal pasti  tulang tersebut sebagai tulang manusia.

Kaedah Makroskopik

  1. Pengvisualan Kasar

    Dalam proses mengenal pasti  tulang manusia, adalah  digalakkan supaya pemeriksa mempunyai satu set rangka manusia yang lengkap untuk dibuat perbandingan  dengan spesimen tulang tersebut secara dekat.  Walaupun kerja-kerja pemeriksaan tulang tersebut dijalankan di tempat-tempat yang terpencil. Ini disebabkan  tulang manusia sangat mudah dikelirukan dengan tulang haiwan, khasnya jenis primat. Kekeliruan sebegini masih juga boleh berlaku  walaupun diperiksa oleh ahli antropologi yang berpengalaman.

    Menurut Dr. William Bass, seorang ahli antropologi yang terkenal, cara yang terbaik untuk menjalankan pemeriksaan tulang adalah dengan  memegang serta merasai tulang tersebut sendiri. Ini disebabkan tiada terdapat ilustrasi ataupun gambaran  yang sebaik melihat dengan mata sendiri spesimen tulang tersebut secara terus. Kedua, seseorang ahli antropologi itu seelok-eloknya telah mengenali atau pernah mempunyai pengalaman dalam pemeriksaan tulang haiwan, terutamanya mengenali haiwan yang kebiasaannya terdapat di kawasan tempatan atau habitat berkenaan di mana tulang rangka tersebut dijumpai. Perkara ini sangat penting  kerana terdapat sesetengah rangka haiwan vertebrata yang mempunyai   ciri-ciri persamaan seperti tulang  rangka manusia. Dengan adanya satu model rangka manusia, seseorang pemeriksa tulang itu akan dapat memperincikan dengan jelas banyak ciri-ciri morfologi pada spesimen tulang tersebut yang boleh membezakan antara tulang manusia dengan tulang bukan manusia.

    Schwartz dan Schwartz pernah mengeluarkan sebuah buku yang bertajuk The wild mammals of Missouri pada tahun 1959, yang memberi gambaran tentang  lukisan haiwan serta tulang rangka haiwan tersebut. Buku ini merupakan satu rujukan yang bagus untuk digunapakai  sebagai panduan  dalam membezakan  tulang rangka manusia daripada tulang rangka bukan manusia, terutamanya bagi ahli antroplogi yang kurang berpengalaman.

    Dengan adanya garis panduan serta rujukan sedemikian dan juga melalui pengvisualan terus secara kasar, seseorang pemeriksa itu boleh membezakan  antara tulang manusia dengan tulang bukan manusia  tanpa menjalani pemeriksaan lanjut. Sebagai contoh, seseorang pemeriksa dapat membezakan antara tulang femur seorang kanak-kanak dengan tulang femur seekor anjing dewasa dengan mudah. Ini disebabkan ketiadaan penyatuan epifisis yang akan dijumpai pada tulang femur kanak-kanak tersebut. (Gambar 3).


    Gambar 3: Tulang femur seorang kanak-kanak nerumur 3 tahun (180mm) (kiri) dan seekor anjing dewasa (166mm). Saiz kedua-dua tulang ini lebih kurang sama, tetapi epifisis anjing telah bercantum, manakala tiada penyatuan epifisis di tulang femur kanak-kanak..
    (Dipetik dari Robert, J., PPT: Forensic Anthropology, 2014)

  2. Pemeriksaan dan Pengukuran

    Selain pengvisualan kasar, pemeriksaan teliti terhadap saiz, bentuk, kepadatan  dan struktur permukaan tulang turut memberikan maklumat berguna mengenai ciri morfologi tulang dalam proses mengenal pasti spesimen tulang tersebut adalah  tulang manusia atau bukan manusia.

    Menurut Julie Robert, manusia merupakan haiwan berkaki dua (bipedal) manakala kebanyakan haiwan terutamanya mamalia adalah berkaki empat. Justeru itu, manusia memilik beberapa ciri-ciri tulang seperti berikut:

    • Tulang pelvik yang lebih pendek serta berbentuk cakera seperti pinggan
    • Dasar tulang kranium yang mempunyai magnum foramen.
    • Tapak tangan dan tapak kaki yang mempunyai ciri-ciri adaptasi
    • Tulang belakang  yang mempunyai 3 lengkungan.
      Julie Robert juga pernah menyebut bahawa jika dibandingkan dengan tulang manusia, haiwan seperti kuda, babi dan lembu mempunyai pencantuman metakarpal yang ketiga dan keempat  untuk memberi sokongan langkahan yang lebih baik.

    Tambahan pula, sendi tulang manusia adalah lebih licin dan bundar berbanding dengan haiwan lain berikutan pergerakan lokomosi manusia secara bipedal  adalah  berbeza dengan haiwan mamalia yang lain. Sebaliknya, majoriti sendi yang wujud di dalam haiwan mamalia adalah beralur, berabung tengah dan mempunyai bentuk bersilang.

    Manakala  tulang panjang manusia  pula menunjukkan ciri morfologi  tulang yang  bebeza daripada tulang panjang haiwan, di mana  bahagian korteks aci  tulang femur dan humerus manusia adalah lebih nipis dan mempunyai darjah kelengkungan kepala femur yang kurang dari 90° manakala bahagian korteks tulang panjang haiwan adalah lebh tebal dan mempunyai darjah lengkungan kepala femur yang kurang dari 90°.

    Pada lazimnya, pemeriksaan pengukuran tulang juga dapat memberi petunjuk sama ada spesimen tulang yang diperiksa adalah tulang manusia atau bukan manusia. Driesch pernah menghasilkan sebuah buku yang mempunyai data-data ukuran tulang secara terperinci bagi tulang haiwan manakala Moore-Jansen pula pernah menghasilkan sebuah buku yang menghasilkan maklumat ukuran tulang terperinci berkaitan  tulang manusia. Kedua-dua buku tersebut  dapat memberikan gambaran yang jelas mengenai jenis-jenis tulang sebenar serta boleh mengelakkkan kekeliruan daripada berlaku semasa menjalankan pemeriksaan tulang-tulang tersebut.

Kaedah Mikroskopik

Kaedah mikroskopik amat popular digunakan jikalau tulang yang dijumpai adalah dalam bentuk serpihan atau berkecai. Walau bagaimanapun, hanya ahli histologi yang terlatih yang dapat menjalankan pemeriksaan mikroskopik ini bagi membezakan antara tulang manusia dengan bukan manusia.

Menurut Julie Robert, bentuk sel osteon dalam tulang-tulang adalah berbeza untuk semua spesies haiwan-haiwan termasuklah manusia.

Begitu juga menurut hasil penyelidikan Mulhern dan Ubelaker, mereka menyatakan bahawa wujudnya bentuk jalur osteon dalam tulang-tulang yang berbeza di antara tulang manusia dan tulang bukan manusia.

Kaedah Bio-Kimia

Terakhir sekali, analisa DNA merupakan kaedah saintifik yang lebih kukuh dalam mengenal pasti tulang-temulang manusia. Manusia mempunyai bilangan set kromosom serta  pembentukan genetik yang berlainan daripada hidupan-hidupan lain. Oleh itu, analisa DNA boleh memberikan  jawapan yang muktamad sama ada tulang tersebut adalah kepunyaan manusia atau tidak.

Secara kesimpulan, perlu diingatkan bahawa bagi menentukan sama ada spesimen tulang-temulang adalah kepunyaan manusia atau tidak, seseorang itu hendaklah mendapatkan khidmat rundingcara dari ahli antropologi atau menjalankan ujian pemeriksaan lanjutan sewaktu menjalankan pemeriksaan ke atas tulang-temulang terutamanya bagi tulang bentuk serpihan kerana jika sekiranya berlaku kesilapan dalam pemeriksaan tulang-tulang ini, ianya akan mengakibatkan kemudaratan dalam perkhidmatan profesional serta sistem perundangan.

Membezakan Tulang Manusia Dengan Artifak

Membezakan serta mengenal pasti artifak daripada tulang manusia ataupun tulang haiwan juga  merupakan suatu cabaran yang perlu dihadapi semasa menjalankan pemeriksaan tulang-temulang oleh ahli antropologi.  Misalannya, tembikar, polimer sintetik, kaca dan akar  kayu atau dahan kayu hendaklah dibezakan dengan tulang manusia atau bukan manusia berdasarkan penglihatan mata kasar dari aspek tekstur dan morfologi permukaan artifak tersebut yakni berbeza sekali antara satu sama lain. Bagi mendapatkan kepastian, seseorang pemeriksa itu boleh melakukan pemeriksaan mikroskopik  ke atas spesimen tersebut bagi menentukan sama ada ia artifak ataupun bukan kerana kebanyakan artifak tidak mempunyai sel-sel osteon tulang seperti yang terdapat dalam tulang-temulang manusia dan haiwan.

Rujukan

  1. http://medical-dictionary.thefreedictionary.com/bone
  2. White, T.D., Folkens P.A., The Human Bone Manual, 2005
  3. (2) Bass, W., Human Osteology: A laboratory and field manual 5th edition, 2005
  4. (3) Robert, J., PPT: Forensic Anthropology, 2014
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Chong Sin Leng
Akreditor : Dr. Nurliza bt. Abdullah
Penyemak : Dr. Khoo Lay See