Home > Kesihatan Pergigian > Perasaan Takut dengan Rawatan Pergigian

Perasaan Takut dengan Rawatan Pergigian

Pengenalan

Apa itu takut dengan rawatan pergigian?

Takut dengan rawatan pergigian bermaksud takut dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan rawatan pergigian termasuk menerima rawatan pergigian.

Siapa yang mengalami perasaan takut ini?

Secara amnya, lebih ramai kaum wanita berbanding lelaki, dan lebih ramai orang muda berbanding orang yang lebih berumur dilaporkan mengalami perasaan takut. Ada yang mengatakan yang perasaan takut adalah lebih jika ia melibatkan rawatan-rawatan yang lebih rumit seperti pembedahan jika dibandingkan dengan rawatan mudah seperti penskaleran dan pembersihan gigi..

Adakah perasaan takut ini biasa?

Di Amerika Syarikat, dijangka 75 peratus daripada orang dewasa mengalami perasaan takut pada tahap yang berbeza, daripada sedikit ke banyak. Daripada ini lebih kurang 5 hingga 10 peratus daripada mereka mengalami fobia pergigian di mana mereka sangat takut dengan rawatan pergigian sehingga sanggup mengelak daripada menerima rawatan dalam keadaan apa jua.

Di Malaysia, kejadian perasaan takut ini adalah sangat tinggi. Satu kajian yang dilakukan pada sekumpulan 407 orang dewasa melaporkan kejadian ini adalah sebanyak 94.1 peratus. Keputusan yang sama juga dilaporkan untuk golongan remaja dan murid-murid sekolah rendah. Di Malaysia, perasaan takut dengan rawatan pergigian merupakan satu masalah yang ditemui di semua golongan tidak mengira usia.

Sebab-sebab

Apa yang menyebabkan perasaan takut ini?

Ramai melaporkan bahawa perasaan takut ini bermula selepas menerima rawatan pergigian yang menakutkan, rumit ataupun menyakitkan terutama ketika umur masih muda. Sebab itulah, pemeriksaan berkala sangat penting untuk mengelakkan berlakunya masalah pergigian. Perasaan takut dengan rawatan pergigian juga boleh bermula selepas mendengar pengalaman yang menakutkan atau pun pendapat yang negatif mengenai rawatan pergigian. Satu contoh ialah ketika seorang kawan cuba menakutkan kawannya yang lain dengan memberitahu bahawa pergi berjumpa doktor gigi adalah menyakitkan.

Perasaan takut dengan rawatan pergigian boleh dikaitkan dengan perkara-perkara berikut:

  • Pengalaman buruk: perasaan fobia ini selalu dikaitkan dengan pengalaman rawatan pergigian yang buruk dan menggerunkan . Selain disebabkan oleh rawatan pergigian, pengalaman buruk juga boleh berlaku disebabkan oleh perlakuan psikologikal seperti dimalukan oleh doktor gigi.
  • Pernah didera: fobia dengan rawatan pergigian selalu berlaku di kalangan mereka yang pernah mengalami penderaan fizikal atau emosi oleh orang lain..
  • Doktor gigi yang tidak prihatin: ramai (walaupun dikalangan golongan professional pergigian) yang menganggap perasaan takut sakit menyebabkan ramai yang mengelakkan diri daripada berjumpa dengan doktor gigi. Hakikatnya, takut sakit sahaja tidak semestinya merupakan satu masalah tetapi rasa sakit yang disebabkan oleh doktor gigi yang tidak bertimbang rasa yang lebih memberikan impak psikososial yang besar. Rasa sakit yang disebabkan doktor gigi yang bertimbang rasa tidak akan menyebabkan trauma psikososial yang begitu besar..
  • Memalukan: sebab-sebab lain berlakunya fobia dengan rawatan pergigian termasuk doktor yang tidak sensitif, kata-kata yang memalukan daripada doktor. Kenyataan yang tidak sensitif, penilaian sosial yang negatif dan perasaan pesakit dimalukan yang mendalam berpunca dari doktor gigi adalah antara sebab-sebab utama berlakunya perasaan fobia dengan rawatan pergigian.
  • Belajar dari memerhati: satu sebab lain ialah daripada pemerhatian. Jika seorang ibu/bapa atau penjaga takut dengan doktor gigi, anak-anak mungkin akan belajar berasa takut juga walaupun tanpa pernah mengalami pengalaman yang buruk.
  • Stres selepas pengalaman yang traumatik: Kajian menyatakan bahawa orang-orang yang telah mengalami pengalaman yang amat dahsyat akan mengalami simptom-simptom yang sering dilaporkan oleh mereka yang mengalami stres selepas pengalaman yang traumatik. Ini dikategorikan sebagai pemikiran pengalaman yang buruk dan mimpi ngeri dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan doktor gigi ataupun rawatan pergigian.

Komplikasi

Apakah akibatnya jika adanya perasaan takut dengan rawatan pergigian?

Perasaan takut dengan doktor gigi merupakan halangan utama untuk menerima rawatan bagi kebanyakan orang. Ia biasanya menghalang orang yang biasanya boleh berfikiran rasional daripada mengawal dan mengoptimakan kesihatan gigi mereka. Kebanyakan orang yang takut dengan rawatan pergigian ini mengelak daripada menerima rawatan dan hanya pergi jika mereka mengalami kecemasan seperti sakit gigi atau pun gigi bernanah. Mereka yang takut melalui pengalaman rawatan pergigian sering mengalami ?kitaran mengelak? di mana mereka mengelak menerima rawatan pergigian kerana takut sehingga mereka mengalami kecemasan yang memerlukan rawatan yang lebih rumit dan akhirnya akan menambahkan perasaan takut untuk menerima rawatan pergigian. Mengelak menerima rawatan pergigian akan mengakibatkan kesihatan pergigian yang buruk sebaliknya kunci kepada kesihatan pergigian yang baik adalah dengan menjalankan pemeriksaan gigi berkala. Satu kajian yang telah dijalankan dikalangan 407 orang dewasa di Malaysia melaporkan yang mereka yang berada pada tahap yang tinggi dalam skala takut dengan rawatan pergigian adalah 6 kali lebih tinggi berkemungkinan untuk membatalkan temujanji rawatan pergigian berbanding dengan mereka yang berada di skala yang lebih rendah.

Selain daripada sebab-sebab gigi dan gusi, kesihatan mulut yang buruk boleh mempengaruh keyakinan diri seseorang. Kadangkala, mereka yang mengabaikan gigi mereka dengan mengelak daripada berjumpa doktor gigi akan menghadapi masalah psikologikal. Ditambah dengan perasaan kurang yakin dengan kesihatan mulut yang kurang baik, ia akan menghalang pergaulan sosial seseorang.

Cara Mengatasi

Bagaimana mengatasi masalah takut?

Kebanyakan perasaan fobia ini berlaku disebabkan pengalaman dengan doktor gigi yang tidak mempunyai skil, tidak prihatin atau tidak layak. Maka, perkara yang paling penting untuk mengatasi takut dengan rawatan pergigian ialah dengan berjumpa dengan seorang doktor gigi yang baik. Seorang doktor gigi ialah seorang yang:

  • Penyabar
  • Berkaliber
  • Membuat rawatan dalam keadaan yang bebas sakit
  • Prihatin terhadap pesakit
  • Berupaya untuk membimbing pesakit melalui pengalaman yang traumatik

Selain itu, teknik-teknik lain yang pernah digunakan untuk menolong pesakit yang takut adalah seperti menggunakan ubat bius (mild sedatives). Komunikasi secara bersemuka yang bagus, menjawab jawapan pesakit dengan mendengar dengan baik akan mengurangkan perasaan resah mereka.

Akhir sekali, cara yang terbaik untuk mengurangkan masalah pergigian yang akan mengakibatkan rawatan yang kompleks ialah dengan mempraktikkan habit penjagaan gigi yang baik dan menjaga kesihatan mulut.

Semakan Akhir : 20 April 2012
Penulis : Dr. Savithri a/p Vengadasalam