A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kawalan Ubat
  6. /
  7. Peranan Lembaga Iklan Ubat

Peranan Lembaga Iklan Ubat

Apa itu Lembaga Iklan Ubat (LIU)?

Pernahkah anda lihat suatu nombor kelulusan Kementerian Kesihatan Lembaga Iklan Ubat (KKLIU) yang mempunyai 4 digit angka dan diakhiri dengan tahun ia diluluskan seperti berikut “KKLIU 0123/2015”? Nombor KKLIU ini akan dipamerkan pada iklan-iklan ubat atau perkhidmatan kesihatan yang disiarkan samada di dalam media cetak atau elektronik. Tahukah anda siapakah pihak berkuasa yang bertanggungjawab memberi kelulusan KKLIU ini?

Contoh iklan yang telah diluluskan:

Ahli-ahli Lembaga Iklan Ubat

Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam memberi kelulusan berkaitan iklan ubat dan juga iklan perkhidmatan kesihatan adalah Lembaga Iklan Ubat (LIU), yang ditubuhkan menurut peruntukan di bawah Peraturan-peraturan Lembaga Iklan Ubat 1976. Penubuhan dan keanggotaan Lembaga Iklan Ubat terdiri daripada ahli-ahli seperti berikut:

  1. Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia selaku ahli ex-officio
  2. Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia selaku ahli ex-officio
  3. Pengarah Bahagian Amalan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia selaku ahli ex-officio
  4. Setiausaha Persatuan Perubatan Malaysia selaku ahli ex-officio
  5. Setiausaha Persatuan Hospital Swasta Malaysia selaku ahli ex-officio
  6. Setiausaha Persekutuan Persatuan Doktor Perubatan Swasta Malaysia selaku ahli ex-officio
  7. Seorang pegawai perubatan dalam perkhidmatan awam untuk dilantik oleh Menteri
  8. Seorang ahli farmakologi untuk dilantik oleh Menteri
  9. Seorang ahli farmasi dalam perkhidmatan awam untuk dilantik oleh Menteri
  10. Seorang pegawai dari Kementerian Penerangan yang dicalonkan oleh Menteri Penerangan untuk dilantik oleh Menteri

Tugas dan Peranan Lembaga Iklan Ubat

Lembaga ini ditubuhkan bertujuan untuk berbincang mengenai permohonan bagi kelulusan iklan-iklan ubat dan perkhidmatan kesihatan yang diterima dan atas budi bicara, Lembaga boleh:

  • Melulus atau menolak permohonan kelulusan iklan
  • Menilai serta mengubah polisi dan garispanduan pengiklanan mengikut keperluan
  • Membatalkan / menarik balik kelulusan iklan yang telah diberikan

Piagam Pelanggan

Setiap permohonan kelulusan iklan yang dihantar oleh pengiklan akan disemak dan dinilai oleh Sekretariat LIU. Permohonan yang lengkap serta mengikut garis panduan dan polisi LIU akan diberi kelulusan dalam masa 5 hari bekerja dari tarikh permohonan lengkap diterima atau selepas mesyuarat Lembaga Iklan Ubat. Borang permohonan kelulusan iklan serta garis panduan dan polisi LIU boleh didapati di laman web Bahagian Perkhidmatan Farmasi iaitu www.pharmacy.gov.my

Bagaimana Jika Pengiklan Tidak Berpuas hati Dengan Keputusan LIU?

Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 6 Peraturan-peraturan Lembaga Iklan Ubat 1976: Mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Iklan Ubat boleh membuat rayuan kepada Y.B Menteri Kesihatan dan keputusan yang dibuat oleh Y.B Menteri Kesihatan adalah muktamad. Semua notis rayuan perlu dibuat dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan oleh Lembaga Iklan Ubat. Tempoh 30 hari diberikan untuk penghantaran informasi atau data tambahan atau apa-apa dokumen bagi tujuan rayuan. Rayuan tidak akan dilayan sekiranya semua maklumat yang diperlukan tidak dihantar dalam jangka masa yang telah ditetapkan.

Statistik

Statistik permohonan kelulusan iklan bagi tahun 2014 adalah seperti di Jadual A. Jadual B menunjukkan jumlah kelulusan iklan bagi tahun 2012-2014.

TABLE A: Permohonan Iklan untuk Tahun 2014

Perihal
Permohonan Diterima
Lulus
Tidak Lulus
Tidak Perlu Kelulusan
Permohonan Ditutup (Setelah pemohon gagal membuat susulan ke atas inquiry)
Keputusan Dimajukan ke Tahun 2015
Iklan Ubat 2046 1940 23 20 28 35
Iklan Perkhidmatan Kesihatan 689 644 4 16 19 6
Jumlah 2735 2584 27 36 47 41

TABLE B: Kelulusan Iklan bagi Tahun 2012-2014

Perihal / Tahun
2012
2013
2014
Jumlah bilangan permohonan 2133 2562 2735
Jumlah permohonan yang diproses dalam tempoh piagam pelanggan 2078 2317 2594
Jumlah permohonan yang diproses di luar tempoh piagam pelanggan 55 245 141
Peratus kelulusan permohonan dalam tempoh piagam pelanggan (Sasaran> 90%) 97.4% 90.4% 94.8%

Rujukan

  1. Laman web www.pharmacy.gov.my
  2. Peraturan-peraturan Lembaga Iklan Ubat 1976
Semakan Akhir : 05 Jun 2015
Penulis : Wong Hui Shean
Akreditor : Umikalsom bt. Ibrahim

 

Artikel Berkaitan

Ubat Ketuat

Ketuat ialah ketumbuhan kecil pada kulit yang disebabkan oleh virus

Teknik Penggunaan Ubat Titis Telinga

Ubat titis telinga digunakan untuk merawat jangkitan yang terjadi dalam telinga. Secara amnya ia berkesan, kerana ubat tersebut masuk secara langsung ke dalam saluran telinga dan bertindak di tapak jangkitan. Pastikan anda membaca arahan dengan teliti sebelum menggunakan ubat titis telinga.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,228,980

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia