A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Peralatan Perlindungan Diri

Peralatan Perlindungan Diri

Peralatan perlindungan diri banyak digunakan di tempat-tempat yang berisiko tinggi seperti kawasan pembinaan, kilang pembuatan, dan hospital. Jabatan Perubatan Forensik mengamalkan pematuhan penggunaan peralatan perlindungan diri untuk melindungi kakitangan daripada jangkitan penyakit semasa menjalankan bedah siasat.

 

Peralatan Perlindungan Diri Yang Digunakan Di Jabatan Perubatan Forensik: Adakah Selamat?

         

Peralatan perlindungan diri banyak digunakan di tempat-tempat yang berisiko tinggi seperti kawasan pembinaan, kilang pembuatan, dan hospital. Jabatan Perubatan Forensik mengamalkan pematuhan penggunaan peralatan perlindungan diri untuk melindungi kakitangan daripada jangkitan penyakit semasa menjalankan bedah siasat. Gambar di atas menunjukkan beberapa peralatan yang digunakan semasa menjalankan bedah siasat.

Semua kematian yang melibatkan kes polis perlu melalui proses bedahsiasat. Semasa bedah siasat dilakukan, kakitangan yang terlibat perlulah memakai peralatan yang ditetapkan seperti apron, sarung tangan getah, kasut but, penutup hidung dan mulut serta cermin mata (goggle). Peralatan yang digunakan ini berfungsi untuk mengelakkan daripada terkena percikan darah atau bahan biologi yang lain semasa bedah siasat dilakukan.

Walau bagaimanapun, prosedur yang dilakukan perlulah dengan amat berhati-hati untuk mengelakkan daripada terkena benda tajam semasa bedah siasat dijalankan. Hal ini kerana peralatan tajam dapat menembusi semua peralatan perindungan yang digunakan. Untuk mengurangkan insiden kecederaan akibat benda tajam, semua kakitangan yang terlibat dinasihatkan supaya memakai sarung tangan yang lebih daripada satu lapis. Ketebalan sarung tangan akan dapat mengurangkan kecederaan sekiranya terkena benda tajam.

Jabatan Perubatan Forensik yang mempunyai makmal perubatan forensik akan menganalisis spesimen yang diambil semasa bedah siasat dilakukan. Peralatan perlindungan diri juga diperlukan semasa proses menganalisis spesimen berkenaan. Peralatan ini digunakan untuk mengelak daripada terkena percikan bahan-bahan biologi (spesimen) atau bahan kimia yang digunakan semasa analisis dijalankan. Antara peralatan perlindungan diri yang diperlukan adalah apron, sarung tangan, topeng muka dan mulut serta cermin mata (goggle).

Semua peralatan perlindungan diri mempunyai fungsi tersendiri untuk mengelakkan pemakainya daripada tercedera sama ada semasa berada di dalam makmal atau di dalam bilik bedah siasat, Sebagai contoh, cermin mata perlu dipakai semasa menjalankan kedua-dua prosedur tersebut. Hal ini kerana ia dapat melindungi mata daripada terkena percikan darah atau bahan kimia lain yang berbahaya yang boleh menyebabkan buta. Jika ia dipakai, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan risiko terkena percikan.

Kes bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik bukan sahaja melibatkan kes yang biasa, malah terdapat juga kes mayat berisiko tinggi yang perlu dijalankan bedah siasat. Misalnya, kes kematian yang pernah berlaku di negara ini beberapa tahun yang lalu adalah epidemik penyakit H1N1. Untuk mayat yang disyaki berpenyakit berjangkit seperti H1N1, bedah siasat akan dijalankan di dalam bilik bedah siasat tahap dua dan ke atas. Keadaan ini dapat mengurangkan risiko untuk penyakit berkenaan berjangkit kepada kakitangan yang terlibat. Peralatan perlindungan diri yang digunakan juga adalah berbeza daripada kes bedah siasat yang biasa.

Gambar rajah di atas adalah contoh pemakaian peralatan perlindungan diri dalam mengendalikan kes bedah siasat yang berisiko tinggi. Di samping peralatan perlindungan diri yang tertera di atas, semua kakitangan yang terlibat perlu memakai alat pernafasan yang mempunyai sistem ventilasi yang berkesan supaya udara yang disedut adalah bersih daripada segala kuman dan bakteria. Gambar rajah di bawah menunjukkan contoh peralatan pernafasan yang digunakan semasa mengendalikan bedah siasat berisiko tinggi.

          

Peralatan perlindungan diri untuk kes penyakit berjangkit dan kes yang berisiko tinggi adalah amat dititikberatkan semasa bedahsiasat. Peralatan ini perlu dilakukan pemeriksaan berkala supaya sentiasa dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan semasa mengendalikan kes-kes berkenaan. Penapis juga perlu diperiksa selalu supaya tiada penapis yang sudah tamat tempoh dan berkulat. Penggunaan penapis untuk peralatan pernafasan adalah jenis disposable dan perlu dilupuskan selepas digunakan. Walau bagaimanapun, terdapat juga penapis yang boleh digunakan beberapa kali sebelum dilupuskan kerana sistem penapisan yang tinggi dan berkesan.

Rujukan

  1. Changes to Ebola Protection worn by U.S Hospital workers
  2. Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Mohd Hilmi bin Saidin
Akreditor / Penyemak : Dr. Khoo Lay See

 

Artikel Berkaitan

Cara Kematian Dalam Aspek Forensik

Takrifan cara kematian adalah situasi yang menyebabkan suatu kematian itu berlaku. Ia adalah situasi atau keadaaan di mana berlangsungnya satu-satu proses fisiologi yang akhirnya menjurus kepada sesuatu kematian.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 721,423,503

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 10:32:39
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia