Home > Umum > Psikologi Kaunseling > Remaja > Kemahiran Hidup > Penyelesaian Konflik Bagi Remaja

Penyelesaian Konflik Bagi Remaja

Definisi Konflik

Apakah maksud konflik?. Konflik adalah ketidaksefahaman atau percanggahan pendapat antara individu. Konflik adalah sesuatu yang normal dalam kehidupan tidak kira peringkat umur seseorang itu. Ianya boleh berlaku di mana-mana situasi, tidak kira di rumah, sekolah atau di kalangan masyarakat. Konflik merupakan sesuatu yang positif seperti perdebatan atau sebaliknya sesuatu yang negatif jika timbul pergaduhan. Remaja patut tahu bahawa tidak salah bagi mereka menyuarakan perasaan mereka selagi konflik itu tidak berlarutan dan menimbulkan kemudaratan fizikal kepada sesiapa Remaja kerap terlibat dalam pertelingkahan dan boleh menimbulkan konflik dengan rakan-rakan atau ahli keluarga. Seseorang remaja itu mungkin cepat naik marah kerana perkara yang remeh temeh dan boleh menimbulkan pergaduhan. Namun kebanyakan remaja cepat melupakan perasaan marah mereka dan mungkin kembali berkelakuan seperti biasa dalam masa yang singkat. Walaupun begitu risiko untuk suatu pertelingkahan kecil menjadi pergaduhan besar adalah tinggi pada peringkat umur ini. Ini kerana setengah remaja menghadapi kesukaran untuk mengawal perasaan mereka dan mungkin merasakan ‘ air muka’ mereka dijatuhkan jika mereka tidak bertindak. Situasi Konflik Yang Biasa Dalam Kalangan Remaja

    • Buli Menjadi mangsa buli merupakan salah satu konflik bagi remaja. Remaja tersebut mungkin dibuli melalui cemuhan atau ugutan fizikal. Pembulian secara siber juga semakin berleluasa di mana rakan-rakan remaja itu mengutarakan komen-komen yang kurang elok di rangkaian sosial. Menjadi mangsa buli menyebabkan remaja merasarendah diri dan sesetengah remaja mungkin bertindak balas dengan cara yang negatif.
    • Gosip Menjadi bahan gosip boleh menimbulkan masalah kepada remaja. Remaja-remaja yang menyebarkan fitnah terhadap rakan mereka boleh menyebabkan rasa rendah diri , perasaan yang terguris dan seterusnya menimbulkan kemarahan dan keganasan. Remaja-remaja harus menitikberatkan bahawa penyebaran cerita yang tidak benar mengenai orang lain boleh menimbulkan kesan yang buruk. Kadangkala seorang perantara harus membantu untuk menyelesaikan masalah ini.
    • Kurang kawalan kemarahan Ramai remaja mengalami masalah mengawal kemarahan mereka. Adalah penting untuk mereka mengenalpasti pencetus kemarahan mereka. Pencetus ini mungkin melalui kata-kata atau perbuatan yang boleh menimbulkan reaksi marah atau emosi negatif di dalam diri seseorang. Antara  contoh pencetus  kemarahan seperti dicemuh atau dimarahi atau mungkin  ditolak dengan tidak sengaja.  Ini boleh menyebabkan remaja menjadi marah dan bertindak dengan memukul atau mengasari orang lain. Dengan mengenalpasti pencetus kemarahan mereka, remaja boleh belajar mengawal perasaan mereka untuk mengelakkan konflik menjadi lebih teruk.
  • Konflik Antara Ibu Bapa dan Anak Konflik diantara ibu bapa dan anak-anak boleh timbul apabila anak-anak mencapai umur remaja dan menjadi lebih berdikari. Antara punca-punca konflik adalah kerja sekolah, peraturan di rumah, kerja rumah, kebebasan, perselisihan faham, duit saku serta aktiviti sosial. Ibu bapa perlu belajar untuk menangani konflikagar tidak menjadi berleluasa. Ibu bapa perlu mengelak berlaku perebutan kuasa semasa konflik. Jika remaja menjadi marah ibu bapa perlu mencadangkan supaya perbincangan dihentikan dan disambung semula apabila keadaan lebih tenang.

  Kesan Konflik

  • Remaja boleh terlibat dalam pergaduhan jika konflik tidak dibendung
  • Tidak mengendahkan konflik juga boleh menimbulkan masalah
  • Konflik yang ditangani dengan baik boleh menimbulkan kefahaman terhadap pandangan orang lain

Kesan negatif konflik

  • Masalah tidak dapat diselesaikan
  • Perasaan marah dan dendam
  • Stres
  • Menimbulkan masalah perhubungan dengan rakan dan keluarga
  • Keganasan

Kesan positif konflik

  • Meningkatkan harga diri
  • Hubungan yang lebih baik dengan orang lain
  • Merasakan diri telah mencapai sesuatu kejayaan
  • Merasakan emosi lebih positif

Penyelesaian Konflik

    • Memahami dan Mengawal Perasaan Anda
      Adalah penting untuk remaja memahami pencetus yang menimbulkan perasaan kurang menyenangkan bagi mereka supaya mereka dapat belajar mengawalnya. Mereka tidak boleh membenarkan emosi mengawal pemikiran mereka dan menjurus kepada kelakuan negatif.
    • Berbincang Bersama-sama
      Cari sebuah tempat yang neutral dan duduk berbincang bersama-sama. Semua pihak mesti bersetuju untuk berganding bahu dalam menyelesaikan isu yang terbabit dan menerima peraturan yang telah ditetapkan contohnya, tidak mengejek, menyindir dan menyalahkan pihak yang lain.
    • Tumpukan Pada Topik Utama
      Beri tumpuan pada masalah utama bila berbincang mengenai sesuatu konflik. Mengungkit tentang hal yang silam mungkin menimbulkan kemarahan kepada pihak yang lain. Ini akan menyebabkan topik pertelingkahan asal dilupakan dan mungkin mengeruhkan lagi keadaan.
    • Dengar pihak yang lain
      Memberi peluang kepada orang yang mempunyai konflik dengan anda samada sahabat atau ahli keluarga untuk meluahkan perasaan mereka. Dengar apa yang mereka perkatakan dan akui mereka berhak terhadap perasaan mereka.
    • Bersikap Terbuka
      Luahkan perasaan kepada pihak yang terbabit. Bersikap terbuka dan sopan tapi tegas.
    • Fikirkan Cara Penyelesaian
      Cuba fikirkan cara penyelesaian yang kreatif kepada konflik. Bincangkan semua pilihan dan benarkan semua pihak yang terlibat untuk menyuarakan pendapat mereka. Bertolak ansur untuk mencapai sesuatu jalan penyelesaian yang dapat diterima oleh semua. Semua pihak yang telibat mesti menyatakan persetujuan mereka terhadap cara penyelesaian yang dipilih.
    • Jika Menemui Kebuntuan, Dapatkan Bantuan Orang Lain
      Jika semua pihak yang telibat tidak mendapat kata sepakat, orang yang berkecuali mungkin boleh menjadi orang tengah.
  • KEMAHIRAN KOMUNIKASIKemahiran komunikasi adalah penting dalam menangani konflik. Apabila berhadapan dengan seorang yang sedang marah:
    • Jangan marah, cuba rileks dan bercakap dengan tenang
    • Gunakan kenyataan menggunakan perkataan “saya” dan bukan “awak” yang akan menyebabkan orang itu berasa dipersalahkan. Contohnya. “Saya berasa kecewa kerana saya tidak dapat menjelaskan apa yang saya rasa” dan bukan “Awak tidak pernah dengar apa yang saya perkatakan”
    • Minta dengan sopan apa yang anda mahu
    • Jangan berleter dan mengulang pendapat anda berkali-kali, beritahu apa yang anda rasai dengan tegas dan jelas sekali sahaja

 

References

  1. Making Peace – Tips on Conflict Management. NATIONAL CRIME PREVENTION COUNCIL USA
  2. Women’s and Children’s Health Network

 

Semakan Akhir : 4 May 2013
Penulis : Dr. Eni Rahaiza Bt. Muhd Ramli
Akreditor : Datin Dr. Fauziah Bt. Mohamed