A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Ubat Umum
  6. /
  7. Penyalahgunaan Ubat

Penyalahgunaan Ubat

Pengenalan

Penyalahgunaan ubat berlaku apabila anda mengambil ubat tidak mengikut arahan doktor/ahli Farmasi. Di antara contoh penyalahgunaan ubat adalah seperti berikut :

  • Menggunakan ubat yang dipreskrib untuk orang lain
  • Mengambil dos yang lebih tinggi berbanding yang diarahkan
  • Mengambil ubat dengan cara yang berbeza daripada arahan. Sebagai contoh dengan menghancurkan tablet dan diambil melalui hidung atau injeksi
  • Mengambil ubat bagi tujuan lain iaitu tidak mengikut indikasi yang ditetapkan/diperlukan, seperti untuk menimbulkan rasa ghairah

Penyalahgunaan ubat boleh menyebabkan ketagihan ubat. Antara jenis ubat yang boleh menyebabkan ketagihan adalah ubat tahan sakit yang mengandungi opiod, ubat tidur, ubat penenang dan ubat perangsang. Terdapat juga ubat tanpa preskripsi (over the counter (OTC)) yang sering disalahgunakan, iaitu seperti ubat yang mengandungi bahan dextromethorphan yang terkandung dalam ubat batuk dan selsema.

Ada pihak yang berpendapat pengambilan ubat preskripsi dan OTC adalah lebih selamat berbanding pengambilan dadah terlarang (kokaine, heroine, kanabis dan sebagainya). Walau bagaimanapun, pengambilan ubat preskripsi dan OTC adalah selamat apabila ianya diambil seperti yang diarahkan oleh doktor/ahli Farmasi. Penyalahgunaan ubat preskripsi dan OTC ini boleh menyebabkan risiko kesan sampingan, termasuk berlebihan dos (overdose) – terutama apabila ianya diambil bersama ubat lain dan alkohol.

Contoh Ubat dan Kesan Penyalahgunaan Ke Atas Badan

Pengambilan ubat preskripsi dan OTC diambil tanpa sebarang keperluan dan tidak mengikut arahan akan memberi kesan ubat tersebut terhadap otak adalah hampir sama dengan dadah.

Penyalahgunaan ubat preskripsi dan OTC ini boleh mengakibatkan pelbagai kesan seperti contoh berikut:

Jenis ubat
Kesan Ketagihan Yang Ingin Dialami
Kesan Buruk Ke Atas Kesihatan
Ubat tahan sakit yang mengandungi opiod
Contoh : Codeine, Oxycodone, Methadone, Morphine, Fentanyl
Rasa gembira dan teruja. Ia bertindak ke atas reseptor yang sama seperti yang disasarkan oleh heroin. Mengantuk, sembelit dan menurunkan kadar pernafasan. Penurunan kadar pernafasan berlaku terutamanya apabila opiod diambil melalui hidung atau injeksi ataupun dengan kombinasi ubat lain dan alcohol
Ubat tidur dan penenang
Contoh : Barbiturates, Benzodiazepines, Zolpidem
Mengurangkan rasa resah dan menurunkan kadar aktiviti otak yang akan menyebabkan mengantuk dan hilang koordinasi dan memori Tekanan darah, menurunkan kadar pernafasan yang boleh menyebabkan kematian apabila diambil bersama alcohol.
Ubat perangsang
Contoh : Amphetamine, Methylphenidate
Rasa gembira, meningkatkan tenaga dan tahap keyakinan Meningkatkan kadar denyutan jantung, tekanan darah, mengurangkan berat badan, serangan jantung, strok/angin ahmar
Dextromethorphan
Contoh : Dalam ubat batuk dan selsema
Dos yang tinggi bertindak ke atas sel reseptor yang disasarkan oleh phencyclidine (PCP) dan ketamine yang menyebabkan kesan keterujaan dan ghairah Fungsi motor terjejas, kebas, loya dan muntah, meningkatkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah. Selain itu,terdapat juga kes kerosakan otak apabila kadar pernafasan menurun menyebabkan kekurangan oksigen ke otak.

Rawatan Ketagihan Ubat

Rawatan bagi ketagihan ubat adalah melalui 2 cara iaitu melalui tingkah laku (behavioral) dan ubat-ubatan. Kajian yang menunjukkan rawatan ketagihan ubat adalah lebih berkesan apabila pesakit menggunakan kedua-dua rawatan melalui perlakuan pesakit dan ubat.

Rawatan melalui tingkah laku membantu mengajar pesakit berfungsi tanpa ubat, mengawal ketagihan, mengelakkan diri dari situasi menggunakan ubat serta mengendalikan diri apabila ketagihan berulang.

Manakala rawatan dengan menggunakan ubat adalah berdasarkan kelas:

  1. Ubat tahan sakit mengandungi opiod

    Naltrexone – menghalang opiod bertindak pada reseptor
    Methadone – perangsang opioid sintetik yang bertindak pada reseptor yang sama seperti opiod yang lain. Ianya hanya boleh didapati melalui program pemulihan

  2. Ubat tidur dan penenang

    Pesakit yang mengalami ketagihan kepada ubat tidur dan penenang perlu mendapat rawatan detoksifikasi di bawah seliaan doktor supaya penentuan dos penurunan dilakukan secara beransur-ansur. Pesakit tidak boleh berhenti mengambil ubat secara tiba-tiba kerana ianya boleh mengancam nyawanya pesakit sendiri.

  3. Ubat perangsang

    Buat masa ini tiada ubat yang diluluskan untuk merawat ketagihan ubat perangsang. Oleh itu, rawatan dengan menurunkan dos ubat perangsang secara beransur-ansur dan rawatan melalui tingkah laku boleh dilaksanakan

  4. Dextromethorphan

    Tiada ubat yang boleh merawat kebergantungan (dependency) kepada Dextromethorphan. Walau bagaimanapun dalam kes berlebihan dos, Naloxone digunakan sebagai antidot. Masalah ketagihan ini perlu diatasi dengan rawatan tingkah laku dengan sokongan keluarga dan golongan professional. Namun begitu Ia juga memerlukan masa dan komitmen dari pesakit dan keluarga.

Fakta Penyalahgunaan Ubat

  1. Peningkatan penyalahgunaan ubat preskripsi dan OTC telah dilaporkan di beberapa buah negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Di Australia dan Amerika Syarikat, penyalahgunaan ubat preskripsi adalah lebih tinggi berbanding dadah terlarang kecuali kanabis. Pesakit mendapatkan ubat preskripsi melalui preskripsi yang diperoleh secara rasuah, preskripsi palsu, penjualan secara haram di klinik dan Farmasi, penyalahgunaan antara keluarga, penjualan haram antara pesakit dan ubat cemar palsu yang boleh diperolehi melalui internet.
  2. Secara umum, golongan lelaki lebih banyak terlibat dengan penggunaan dadah terlarang. Walau bagaimanapun, data dari tahun 2005 hingga 2010 yang diperolehi dari Europe dan Amerika Selatan menunjukkan golongan wanita lebih banyak menggunakan ubat tidur dan penenang.
  3. Berdasarkan laporan Drug Abuse Warning Network 2004, sebanyak 1% kes melibatkan ubat yang dirujuk di wad kecemasan Amerika Syarikat adalah disebabkan dos Dextromethorphan yang berlebihan dan sebahagian daripada kes tersebut melibatkan pesakit berumur 12 hingga 20 tahun.

Rujukan

  1. http://www.drugabuse.gov/publications/prescription-drug-abuse/where-can-i-get-further-information-about-prescription-drug-abuse
  2. WHO World Drug Report 2012
  3. The New DAWN Report – Drug Abuse Warning Network; Emergency Department Visits Involving Dextromethorphan; Issue 32, 2006R
  4. National Institutes of Health. Medline Plus. Retrieved 04.08.14, from http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/prescriptiondrugabuse.html
  5. National Institute on Drug Abuse. Retrieved 04.08.14, from http://www.drugabuse.gov/publications/drugfacts/prescription-over-counter-medications
  6. National Institute on Drug Abuse. Retrieved 04.08.14, from http://www.drugabuse.gov/drugs-abuse/commonly-abused-drugs/commonly-abused-prescription-drugs-chart
Semakan Akhir : 04 Disember 2014
Penulis : Nur Izyani bt. Hanafi
Akreditor : Nur Sufiza bt. Ahmad

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,239,103

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia