A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Penyakit Radang Pelvis

Penyakit radang pelvis atau Pelvic inflammatory disease (PID) adalah satu istilah am untuk keadaan yang merangkumi infeksi dan radang alat kelamin wanita. Ini termasuk radang rahim, tiub fallopian dan kilang ovari. Kawasan persekitaran alat kelamin juga boleh terkena penyakit ini. Sesetengah jangkitan penyebab PID adalah melalui kontak seksual.

Penyakit radang pelvis boleh terjadi akibat jangkitan oleh bakteria ‘chlamydia trachomatis’ melalui jangkitan kontak seksual. Sesetengah jangkitan ini adalah disebabkan oleh jangkitan semasa hubungan kelamin. Antara bakteria yang menjadi penyebab adalah Chlamydia trachomatis. Ia boleh memberi radang kepada saluran Fallopian (salpingitis). Ini menyebabkan selaput tiub bengkak dan menyempitkan saluran tersebut. Embrio yang terhasil dari persenyawaan akan tersumbat di tiub menyebabkan mengandung di luar rahim dan kemandulan.

Kalau rawatan tidak diberi, saluran tuib akan bengkak dan menghasilkan nanah. Nanah ini akan mengotori kawasan sekitar tiub dan ovari menyebabkan permukaan luar tiub melekat dengan organ-organ sekitarnya (seperti pundi air kencing dan usus).

Adalah dianggarkan 2% dari wanita akan mengalami PID tetapi ini mungkin satu anggaran yang kurang tepat kerana kebanyakan wanita tidak mahu mendapatkan rawatan. Penyakit ini juga sukar dikesan kerana ia tidak menunjukkan gejala bagi kebanyakan pesakit.

Tanda dan Gejala

Gejala awal adalah gatal, iritasi dan lendiran yang berlebihan dari faraj dan salur air kencing. Ia berlaku di antara 7 hingga 21 hari (untuk infeksi chlamydia), dan 2 hingga 5 hari (untuk gonorrhoea). Agak biasa, kebanyakan wanita akan mendapat lendiran dari faraj yang tidak berkaitan dengan penyakit kelamin tetapi jikalau lendiran ini berbau busuk dan gatal, lebih-lebih lagi beberapa hari selepas seks, PID patut disyaki.

Penyakit radang pelvis menunjukkan sakit abdomen (perut) yang berterusan, sakit semasa ditekan dan demam sekali sekala. Sebagai tambahan, terasa kurang selesa atau juga sakit semasa mengadakan hubungan seksual. Kesan lain bakteria ini ialah nanah di bibir, pada pintu masuk vagina. Jika jangkitan membabitkan lapisan rahim (Endometrium) mungkin terjadi pendarahan vagina di antara waktu haid.

Sebab-Sebab

Sekurang-kurangnya 60% kes PID adalah dari penyakit kelamin. Bakteria Chlamydia trachomatis terlibat dalam lebih dari 50% kes-kes PID sementara infeksi Gonococcal (disebabkan oleh bakteria Neisseria gonorrhoeae) adalah yang paling kerap dijumpai di Malaysia. Lebih kurang 10% wanita dijangkiti kedua-dua bakteria sekali. Chlamydia trachomatis adalah jangkitan kuman yang paling kerap didapati di negara-negara barat. Lebih daripada 80% wanita yang dijangkiti tidak sedar mereka dijangkiti kerana hanya sesetengah pesakit menunjukkan gejala penyakit. Ini menyebabkan bakteria chlamydia merebak.

PID juga boleh didapati dari jangkitan usus yang bengkak tetapi ini jarang berlaku.

Diagnosa

PID boleh didiagnosa melalui simptom dan pemeriksaan ginekologi. Pesakit akan mengalami demam dan swab kapas dari pangkal rahim dan faraj boleh menunjukkan kuman penyebab. Satu cara yang pasti untuk mendiagnosa PID adalah melalui pembedahan laparoskop (teropong ke dalam perut).

Komplikasi

Komplikasi utama PID adalah mengandung luar rahim dan kemandulan. Dalam kes-kes yang tegar, pembedahan perlu dilakukan untuk mengurangkan lekatan (radang itu boleh menyebabkan permukaan organ-organ di pelvis melekat antara satu sama lain). Kandungan luar rahim amat berbahaya dan boleh membawa maut disebabkan pendarahan yang banyak di dalam perut. Ini berlaku apabila tiub fallopian pecah.

Rawatan

Bakteria Chlamydia dan Gonorrhea boleh dirawat dengan antibiotik yang sensitif kepada kuman tersebut. Tetapi kerosakkan kepada tiub dan organ-organ lain sukar untuk dipulihkan.

Pasangan pesakit mesti dirawat sekali untuk menghindari jangkitan itu berulang. Ini penting memandangkan selalunya PID tidak menunjukkan apa-apa gejala. Bagi wanita yang berisiko tinggi seperti yang menggunakan alat mencegah kehamilan (IUCD), mereka digalakkan menggantinya dengan alternatif lain sementara mendapat rawatan.

Pencegahan

Kondom adalah efektif dalam mengurangkan PID. Pesakit perlu menghubungi pasangan (atau pasangan-pasangan) yang mereka rasa boleh dijangkiti penyakit yang sama. Elakkan tabiat melakukan aktiviti seksual dengan lebih dari seorang pasangan.

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Hj. Mohd Hatta M.Tarmizi
Penyemak : Dr. Rafaie bin Amin

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 721,421,030

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 10:32:39
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia