A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Laman Utama
  4. /
  5. Penyakit Periodontium (Gusi)

Penyakit Periodontium (Gusi)

Penyakit Gusi bagi Remaja

Penyakit Gusi bagi Dewasa

Penyakit Gusi bagi warga Emas

 

Penyakit Gusi bagi Remaja

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Gusi?

alt

Gusi, yang biasa disebut orang, secara saintifiknya adalah dimaksudkan kepada periodontium, iaitu, tisu-tisu yang menyokong gigi, termasuk gusi (gingiva).

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Penyakit Periodontium (Gusi)?

Penyakit gusi ialah jangkitan pada gusi dan tisu penyokong gigi. Penyakit ini dibahagikan kepada dua peringkat:

  • Gingivitis ialah penyakit gusi peringkat awal yang hanya melibatkan tisu gingiva (gusi) sahaja.
  • Periodontitis pula adalah penyakit periodontium (Gusi) yang lebih parah dan melibatkan bahagian akar gigi dan tulang  penyokong gigi.

Gingivitis merupakan penyakit gusi yang sering dihidapi oleh kumpulan remaja,  manakala, masalah periodontitis pula jarang-jarang sekali terdapat di kalangan mereka.

Apakah penyebab penyakit gusi?

Penyebab utama penyakit gusi adalah plak gigi.

Faktor-faktor sekunder lain yang menyumbang kepada penyakit ini terdiri dari faktor lokal dan sistemik :

Faktor Lokal termasuklah:

  • Ketidakupayaan memberus gigi dengan sempurna
  • Merokok atau mengunyah tembakau
  • Memakai aplians ortodontik
  • Tabiat mengetam atau mengetap gigi
  • Penyakit diabetes

Faktor Sistemik pula termasuklah:

  • Faktor keturunan
  • Perubahan hormon ketika haid atau semasa mengandung
  • Stres
  • Kesan sampingan pengambilan ubat-ubatan
  • Sistem penghadaman yang kurang baik
  • Penyakit sistemik yang mengurangkan daya ketahanan badan melawan penyakit seperti kencing manis dan HIV/AIDS

Adakah anda mengalami penyakit periodontium (gusi)?

Ramai orang tidak menyedari yang mereka menghidap penyakit periodontium (gusi). Periodontium (Gusi) berpenyakit  selalunya tidak menyakitkan.

Antara tanda-tanda dan gejala penyakit periodontium (gusi) :

  • gusi menjadi merah dan bengkak

    alt
     

  • gusi mula menyusut dan mendedahkan bahagian akar gigi

    alt
     

  • gusi di sekeliling gigi akan bernanah
  • nafas berbau (halitosis)
  • rasa tidak selesa di dalam mulut
  • gigi mulai longgar

Berita baik

Penyakit Peridontium diperingkat awal (gingivitis) boleh dicegah dengan memberus gigi secara berkesan. Dapatkan nasihat dan pelajari teknik memberus gigi yang berkesan daripada doktor pergigian anda.

Apakah yang patut dilakukan supaya periodontium (gusi) anda sentiasa sihat?

  • Amalkan penjagaan kesihatan mulut yang baik dengan :
    • memberus gigi
    • menggunakan flos
  • Tidak merokok
  • Dapatkan pemeriksaan pergigian berkala dan dapatkan rawatan yang perlu

Penyakit Gusi bagi Dewasa

Latar belakang

Penyakit periodontium (gusi) boleh dikategorikan mengikut peringkat atau tahap kerosakan.

  • Gingivitis adalah peringkat awal penyakit yang hanya melibatkan gusi (gingiva) sahaja.
  • Periodontitis adalah peringkat penyakit yang lebih teruk di mana jangkitan telah merebak ke akar gigi dan melibatkan tulang serta struktur tisu penyokong gigi.


     

Adakah penyakit perodontium (gusi) biasa terjadi?

Ya, ramai orang mengalami masalah perodontium (gusi).

Kajian National Oral Health Survey of Adult 2000, Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan 9 daripada 10 orang dewasa Malaysia mengalami pelbagai peringkat penyakit perodontium (gusi).

Apakah yang menyebabkan penyakit gusi ?

Plak gigi merupakan penyebab utama penyakit gusi.

Walau bagaimanapun terdapat faktor-faktor lain yang turut menyumbang kejadian penyakit gusi seperti :

Faktor Lokal :

  • Kalkulus atau plak gigi yang telah keras
  • Kerosakan gigi
  • Gigi palsu ( dentur )
  • Mulut kering

Faktor Sistemik :

  • Merokok
  • Diabetes
  • Stres
  • Sebahagian ubat-ubat untuk masalah perubatan seperti epilepsi dan tekanan darah tinggi
  • Perubahan hormon contohnya semasa mengandung

Apakah gejala dan tanda-tanda penyakit perodontium (gusi) ?

Anda mungkin akan mengalami keadaan berikut:

  • Gusi berdarah
  • Gusi merah dan bengkak
  • Gigi longgar
  • Berubah dari kedudukan asal (tersesar )
  • Nafas berbau ( halitosis )
  • Gusi mula menyusut dan mendedahkan bahagian akar gigi.

    alt
     

  • Gangguan deria rasa
  • Ada kalanya sakit

Beberapa fakta mengenai penyakit perodontium (gusi).

  • Penyakit perodontium (gusi) selalunya tidak sakit dan ramai orang tidak sedar yang mereka mengalaminya.
  • Semasa mengandung atau datang haid, gusi boleh membengkak dan sakit kerana perubahan hormon.
  • Penyakit gusi boleh menyebabkan implikasi sosial kerana ia berkaitan dengan nafas berbau dan penampilan yang kurang menarik.
  • Kehilangan gigi.

Bagaimana mencegahnya?

Kesihatan gigi yang baik perlu dicapai melalui amalan :

  • Penjagaan kebersihan mulut yang baik dengan:
    • Berus gigi sehingga bersih
    • Gunakan flos
    • Berkumur-kumur
  • Makan secara sihat, hadkan pengambilan makanan ringan dan kurangkan gula dalam makanan.
  • Tidak merokok
  • Lawatan berkala ke klinik pergigian.

Penyakit Gusi bagi warga Emas

Latar belakang

Gingivitis ialah penyakit gusi peringkat awal yang hanya melibatkan tisu gusi sahaja.

Gingivitis

Periodontitis pula adalah penyakit gusi yang lebih parah dan melibatkan bahagian akar dan tisu penyokong gigi. Penyakit gusi merupakan punca utama kehilangan gigi di kalangan warga emas.

Contoh-contoh periodontitis

Ramaikah yang mengidap penyakit ini?

Ya, ramai orang mengalami masalah gusi.

Kajian National Oral Health Survey of Adult 2000, Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan 9 daripada 10 orang Malaysia yang kategori umur 55 tahun ke atas mengalami pelbagai peringkat penyakit gusi.

Apa yang menyebabkan penyakit gusi?

Plak gigi merupakan penyebab utama penyakit gusi.

Bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang menyumbang ke arah penyakit ini, antaranya;

Faktor Lokal :

  • Karang gigi (kalkulus)
  • Gigi palsu yang rosak atau kotor
  • Mulut kering (xerostomia)

Faktor Sistemik :

  • Merokok
  • Stres
  • Diabetes
  • Ubat-ubatan tertentu untuk merawat masalah kesihatan seperti epilepsi dan tekanan darah tinggi
  • Masalah hormon terutamanya di kalangan wanita yang berusia

Apakah tanda-tanda penyakit gusi?

Ramai orang menghidapi penyakit ini tanpa menyedarinya. Penyakit gusi mempunyai tanda-tanda berikut:

  • Gusi mudah berdarah
  • Gusi merah dan membengkak
  • Gigi longgar
  • Berubah dari kedudukan asal
  • Gigi kelihatan lebih panjang
  • Nafas berbau (halitosis)
  • Gigi kelihatan tidak rapat

Penyakit gusi yang tidak dirawat boleh menyebabkan

  • Sakit dan bengkak yang berulang
  • Kehilangan gigi

Apa yang perlu anda lakukan supaya gusi kekal sihat?

Penyakit periodontium (gusi) dapat dicegah dengan:

  • mengamalkan penjagaan kesihatan mulut yang baik
    • berus gigi sehingga bersih
    • gunakan flos
  • mendapatkan pemeriksaan pergigian secara berkala
  • Jangan merokok
  • Jika anda menghidapi penyakit lain, sila berjumpa / dapatkan rawatan dengan doktor / pakar anda.
Semakan Akhir : 20 April 2012
Penulis : Dr. Azillah bt. Mohd Ali
    Dr. Che Noor Aini bt. Che Omar
    Dr. Sharol Lail b. Sujak
    Dr. Chew Yoke Yuen
    Dr. Norrizan bt. Basir
    Dr. Doreyat b. Jemun
Penyemak : Dr. Ahmad Sharifuddin b. Mohd Asari

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,183,261

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia