Home > Dewasa > Penyakit Kulit Pekerjaan

Penyakit Kulit Pekerjaan

Pengenalan

Penyakit kulit pekerjaan adalah penyakit kulit yang disebabkan oleh pendedahan kepada agen atau bahan berbahaya yang terdapat di tempat kerja.

Contohnya seperti di dalam jadual dibawah.

Penyakit Kulit Pekerjaan

Ciri-ciri

Agen berbahaya yang sering menyebabkannya

Dermatitis Kontak Pekerjaan

  • Kulit menjadi merah, gatal, berair serta bengkak selepas terdedah atau tersentuh kepada agen di tempat kerja.
  • Biasanya terjadi di bahagian anggota tubuh yang bersentuh secara langsung dengan agen, tetapi ia boleh merebak ke tempat lain.
Bahan-bahan pewarna, getah, formaldehida, tepung, racun makhluk perosak, pelarut organik, simen, kimia pencuci, disel, minyak parafin dan bahan pencair.
Kanser Kulit Pekerjaan

  • Kanser terjadi selepas pendedahan yang lama terhadap agen tertentu di tempat kerja.
  • Kulit menjadi merah, bersisik, bengkak serta luka
Radiasi, jelaga, tar dan minyak pelincir mineral.
Jerawat Pekerjaan

  • Jerawat tumbuh selepas pendedahan kepada bahan tertentu di tempat kerja
Minyak dan gris.
Leukoderma Pekerjaan (Vitiligo)

  • Kulit bewarna putih selepas pendedahan kepada bahan tertentu di tempat kerja.
  • Biasanya bahagian tangan dan lengan atas.
Bahan mengandungi fenol dan hidrokinon.

Pencegahan

Bagaimanakah cara untuk mencegah penyakit kulit pekerjaan?

  • Elakkan dari menyentuh bahan merbahaya yang telah dikenalpasti menyebabkan penyakit kulit.
  • Amalkan kebersihan diri. Basuh bahagian badan yang tersentuh bahan merbahaya di tempat kerja serta merta.
  • Gunakan krim pelindung semasa bertugas di tempat terdedah kepada cahaya matahari.
  • Pakai alat pelindung diri untuk menghalang sentuhan terus kepada agen berbahaya. Contohnya, sarung tangan, penutup muka, baju berlengan panjang, seluar panjang dan apron yang sesuai.
  • Dapatkan nasihat dan rawatan perubatan SEGERA jika mengalami penyakit kulit berkaitan pekerjaan.
  • Laporkan SEGERA kepada majikan supaya langkah kawalan yang sesuai dapat dijalankan untuk memperbaiki keadaan tempat kerja).

Penyiasatan

Bagaimanakah penyakit kulit pekerjaan dapat disahkan?

  • Penyakit kulit pekerjaan biasanya bertambah baik semasa bercuti dan bertambah teruk setelah kembali bekerja.
  • Ujian yang khusus seperti ujian tampalan kulit dan ujian biopsi kulit diperlukan untuk pengesahan. (Spesimen daripada bahagian kulit yang terlibat diambil untuk pemeriksaan di bawah mikroskop).

Rawatan

Apakah rawatan bagi penyakit kulit pekerjaan?

Rawatan yang diberi bergantung kepada jenis dan keterukan penyakit.

  • Jenis penyakit kulit
  • Penyakit kronik

Langkah paling penting ialah untuk mencegah berulangnya kejadian penyakit kulit pekerjaan adalah dengan mengelakkan pendedahan atau menyentuh agen berbahaya berkenaan. Rawatan perubatan boleh diberikan untuk menyembuhkan gejala gatal, ruam dan sebagainya. Pembedahan diperlukan untuk membuang kanser kulit.

Notifikasi

Mengikut Peraturan 2004, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Notifikasi Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan dan Penyakit Pekerjaan), adalah menjadi tanggung jawab:

  • Majikan
  • Pengamal perubatan yang merawat

Untuk notifikasi penyakit pekerjaan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan.

Alamat untuk dihubungi

Untuk keterangan lanjut, e-mail kepada: ohealth@dph.gov.my

Semakan Akhir : 25 April 2012
Penulis : Dr. Sirajuddin Hashim
: Dr. Nor’Aishah Abu Bakar
: Dr. Abu Hassan Shaari Abd Kadir
Penyemak : Datin Dr. Asmah Johar

 

(Visited 305 times, 1 visits today)