A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Penyakit Kaki Atlet

Penyakit kaki atlet adalah jangkitan pada kaki yang disebabkan oleh kulat

Penyakit kaki atlet adalah jangkitan pada kaki yang disebabkan oleh kulat. Dari segi perubatan, ia dikenali sebagai Tinea Pedis dan kerap-kali berulang. Kaki atlet disebabkan oleh pelbagai jenis kulat yang dikenali sebagai Dermatophytes atau moulds.

Keadaan tertutup, panas, persekitaran lembab adalah medium yang sesuai untuk pembiakan kulat. Keratin, protein yang terdapat dalam rambut, kuku dan kulit, menyediakan nutrisi kepada kulat.

Penyakit ini boleh berjangkit. Sentuhan dengan kulit yang dijangkiti atau pakaian yang tercemar dan tidak dibersihkan boleh menyebarkan jangkitan. Tempat awam seperti sekolah berasrama, tempat berenang orang awam dan pusat kecergasan adalah tempat biasanya berlaku jangkitan.

Biasanya kaki atlet mengakibatkan jangkitan pada ruang antara jari kaki, namun ia juga boleh melibatkan kuku kaki dan tapak kaki.

Tanda dan Gejala

Gejala-gejala adalah seperti berikut:-

  • Bau kaki yang tidak menyenangkan
  • Gelembung kecil atau lepuh yang gatal pada kulit kaki.
  • Ruam merah berkeruping yang gatal di celah jari kaki. Lama kelamaan menyebabkan rekahan, kulit menggelembung yang boleh menyebabkan jangkitan kuman
  • Kuku yang tebal, rapuh, kusam berubah warna atau terangkat dari asas kuku.
  • Kulit kaki menjadi kering dan berkeruping
  • Kulit menggelupas dan merekah terutamanya di bahagian celah jari kaki

Faktor Risiko

  • Stokin dan kasut yang lembab meningkatkan risiko. Keadaan panas dan lembab yang menyebabkan perpeluhan paling sesuai untuk penyebaran
  • Kawasan awam yang lembap
  • Sistem dayatahan badan yang rendah – sangat mudah berjangkit kepada orang yang kurang daya tahan penyakit seperti pesakit diabetes atau pesakit HIV/AIDS.

Komplikasi

  • Jangkitan bakteria sekunder. Bakteria mengeluarkan bahan yang menyebabkan kulit terhakis dan berair di kawasan antara jari kaki dan menyebabkan rasa sakit.
  • Reaksi alahan kepada kulat mungkin boleh menyebabkan gelembung kulit pada jari kaki dan tangan.

Rawatan

Anda boleh menggunakan krim antikulat pada kulit anda. Kes yang lebih teruk pula mungkin memerlukan ubat berpreskripsi. Rawatan ini adalah bertujuan untuk mengurangkan pembiakan kulat dan mencegah ia dari merebak. Penjagaan asas kebersihan diri dan bedak antikulat boleh menyembuhkan kebanyakan kes. Sekiranya tidak berkesan, berjumpalah doktor. Doktor akan memberi ubatan lain seperti krim antikulat dan ubatan antikulat. Walaupun dirawat dengan ubatan antikulat ia memerlukan beberapa minggu untuk sembuh.

Pencegahan

  • Sentiasa pastikan kaki anda kering terutamanya selepas mandi dan selepas wudhuk. Biar berkaki ayam selama yang boleh di dalam rumah untuk membolehkan pengudaraan kaki yang baik.
  • Pakai stoking yang diperbuat dari bahan semulajadi seperti kapas atau bulu kambing biri-biri yang boleh menyerap lembapan dari kaki.
  • Tukar stoking dan sarung kaki selalu. Sekiranya kaki jenis berpeluh, tukar stoking dengan lebih kerap.
  • Pakai kasut ringan dan mempunyai pengudaraan yang baik. Elakkan kasut yang diperbuat dari bahan sintetik seperti vinyl dan juga getah
  • Sediakan beberapa kasut untuk ditukar bersilih ganti. Ini akan membolehkan kasut kering sepenuhnya selepas penggunaan
  • Pakai sandal kalis air atau sandal khas mandian di bilik mandi awam, kolam renang dan pusat kecergasan dan juga tempat awam
  • Gunakan kasut anda sendiri, meminjam kasut orang lain memberi risiko mendapat jangkitan kulat.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Shahrizan Mahamood
Penyemak : Dr. Nazatul Shima bt. Abd Rahim

Artikel Berkaitan

Hiperhidrosis

Hiperhidrosis atau peluh berlebihan adalah keadaan di mana terdapat peluh di luar keperluan biasa badan

Dermatitis Sentuh Alergik

Dermatitis sentuh alergik adalah alahan pada kulit akibat bersentuhan dengan bahan-bahan penyebab alahan (alergen).

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,101,383

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia