A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Penyakit Kardiovaskular (CVD)
  8. /
  9. Penyakit Jantung dan Rendahkan...

Penyakit Jantung dan Rendahkan Paras Kolesterol

Apa itu serangan jantung?

Anda mungkin sering mendengar berkenaan serangan jantung, namun adakah anda mengetahui penyebab penyakit ini? Penyakit ini berlaku apabila pembuluh darah (arteri) menjadi sempit akibat penyumbatan plak lemak dan kolesterol mengakibatkan aliran darah terganggu dan tidak boleh mengalir ke jantung. Otot jantung akan mengalami kekurangan oksigen dan menyebabkan “ischaemia”. Jika penyumbatan pembuluh darah di tahap yang teruk (>75%) bekalan oksigen akan terhenti. Otot jantung yang terlibat akan mati. Ini boleh menyebabkan serangan jantung yang teruk dan boleh membawa kematian.

Keadaan ini dikenali sebagai Aterosklerosis yang menyebabkan Penyakit Arteri Koronari . Keadaan ini selalunya terjadi tetapi tidak disedari oleh ramai orang; meskipun telah meragut banyak nyawa. Aterosklerosis sebenarnya penyebab utama penyakit danpembunuh nombor satu di dunia. Di Malaysia, lebih ramai orang mati kerana aterosklerosis berbanding dengan kanser. Di Malaysia, sekitar 9% atau 4000 daripada 50 000 pesakit dirawat di hosiptal kerajaan meninggal akibat aterosklerosis pada tahun 2004 berbanding dengan kematian akibat kanser sebanyak 7%.

Darah mengalir melalui pembuluh darah (arteri) ke organ-organ penting seperti jantung dan otak. Plak kolesterol dalam arteri akan menyempitkan lumen dan mengganggu aliran darah. Ada ketika sumbatan ini boleh pecah dan menyebabkan pembentukan darah beku. Jika hal ini terjadi pada jantung, ia akan mengganggu aliran darah dan menyebabkan berlakunya serangan jantung.

Organ yang tidak menerima bekalan darah yang mencukupi akan rosak. Jika keadaan ini berlaku di dalam otak, ia akan menyebabkan angin ahmar (strok). Jika ia terjadi di periferi, maka ia akan menyebabkan “Penyakit Arteri Peripheral” dan mengakibatkan kerosakan atau kegagalan organl. Ramai pesakit, terutama yang berisiko tinggi tidak sedar akan adanya arterosklerosis terutama yang berisiko tinggi kerana tiada tanda awal tertentu yang boleh di kesan. Oleh itu saringan kolesterol adalah penting untuk intervensi awal.

Sayangnya, ramai orang tidak tahu bahawa kematian akibat aterosklerosis boleh dielakkan. Aterosklerosis menyebabkan 50% kematian pesakit akibat serangan jantung. Jika mereka dapat bertahan, 2 / 3 akan discaj dari hospital dengan kadar morbiditi yang tinggi dan 1 / 3 lagi boleh mengalami masalah lumpuh anggota badan akibat strok.

Apakah faktor risiko penyumbang terhadap serangan jantung?

Aterosklerosis terus meningkat di Malaysia dan Asia sebahagian besar disebabkan oleh gaya hidup tidak sihat. Jumlah penduduk dengan masalah obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi juga meningkat yang merupakan faktor risiko penting. Kurang amalan bersenam, tabiat pemakanan yang buruk dan merokok juga menyumbang terhadap risiko aterosklerosis.

Apa itu kolesterol?

Kolesterol adalah sejenis lemak (disebut sebagai lipid) yang diperlukan oleh tubuh untuk bekerja dengan baik. Badan anda boleh menghasilkan kolesterol dan juga mendapatkannya daripada sumber makanan. Terdapat jenis kolesterol ‘baik’ dan ‘buruk’.

Apakah kolesterol ‘buruk’?

Orang ramai sering berasa takut apabila di sogokkan dengan keburukkan kolesterol kerana mendapat maklumat yang salah. Namun kebenarannya adalah kolesterol merupakan sebahagian daripada kimia penting untuk tubuh. Kolesterol terdapat dalam setiap sel manusia dan haiwan. Selain kolesterol yang diperolehi daripada pengambilan makanan berasaskan haiwan, tubuh kita juga mempunyai kemampuan untuk menghasilkan semua kolesterol yang diperlukan untuk pelbagai fungsi badan.

Pengekalkan tahap kolesterol dalam peringkat yang disarankan (normal) adalah penting untuk memperolehi kebaikan maksima. Kolesterol digunakan untuk membuat cecair hempedu yang dihasilkan oleh hati. Ini adalah amat penting untuk melindungi saraf, membina sel-sel badan yang baru, dan menghasilkan hormon tertentu yang diperlukan untuk perkembangan normal dan fungsi tubuh manusia.

Kolesterol secara semulajadi seperti lilin yang dibuat oleh hati. Ia merupakan kombinasi daripada lemak dan steroid. Kolesterol kurang/tidak larut dalam air dan lipoprotein tertentu diperlukan untuk mengangkut kolesterol dalam pembuluh darah.

Jenis lipoprotein :

  • Low density lipoprotein (LDL)
  • Trigliseride merupakan komponen utama
  • Very low density lipoprotein (VLDL)
  • High density lipoprotein (HDL)

Low density lipoproteins(Kolesterol Buruk)

Low Density Lipoproteins juga dikenali sebagai (LDL) atau kolesterol buruk kerana mereka mempunyai kecenderongan untuk melekat di dinding arteri.Ini menyebabkan pembentukan bahan tebal dan keras dipanggil plak kolesterol. Menurunkan paras kolesterol LDL akan mengurangkan risiko daripada penyakit jantung.

Adakah menurunkan kolesterol LDL mencegah penyakit jantung koronari?

Menurunkan Kolesterol LDL akan dapat mengurangkan risiko penyakit jantung. Dalam keadaan tertentu, pengambilan ubat-ubatan akan disarankan untuk pencegahan sekunder pada pesakit yang pernah diserang penyakit jantung. Ia juga untuk pencegahan primer, iaitu pada mereka yang mempunyai faktor risiko penyakit jantung koronari.

Selain ubat-ubatan, melakukan perubahan gaya hidup tertentu seperti bersenam secara teratur, mengikut diet yang rendah lemak tepu dan kolesterol, menurunkan berat badan berlebihan dapat membantu menurunkan paras kolesterol.

High density lipoproteins(Kolesterol Baik)

High density lipoproteins juga dikenali sebagai (HDL) atau kolesterol baik kerana ia menjalankan fungsi mengeluarkan kolesterol dari pembuluh darah dan membawanya kembali ke hati. HDL juga membantu dalam mencegah pembentukan plak kolesterol dalam pembuluh darah. Bersukan atau bersenam secara teratur dan mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat boleh membantu dalam meningkatkan tahap HDL.[/01]

Trigliseride

Trigliseride adalah bentuk lemak yang dibuat dalam tubuh. Paras trigliseride yang tinggi boleh disebabkan oleh masalah obesiti, merokok, kurang aktiviti fizikal dan pengambilan alkohol. Mereka yang mempunyai tahap trigliseride tinggi biasanya mempunyai tahap Jumlah Kolesterol (Total Cholesterol) yang tinggi termasuk tahap LDL yang tinggi dan tahap HDL rendah. Kebanyakan individu yang mengidap penyakit diabetes atau jantung biasanya mempunyai tahap trigliseride yang tinggi.

Siapa yang memerlukan ujian saringan kolesterol?

Setiap individu boleh mengalami masalah tahap kolesterol tinggi tanpa mengira usia atau jantina. Tiada tanda-tanda dan gejala yang akan membantu seseorang individu untuk mengetahui beliau mempunyai tahap kolesterol tinggi atau sebaliknya. Hanya pemeriksaan darah rutin akan membantu anda mengesan tahap kolesterol dalam darah anda. Paras tinggi kolesterol hanya diberikan perhatian jika ada beberapa masalah utama lain yang perlu dinilai.

Disarankan bagi mereka yang berumur atas 35 tahun harus menjalani ujian saringan sekurang-kurangnya satu pemeriksaan perubatan pada setiap tahun. Jika anda mempunyai kolesterol tinggi, harus diulang setiap 2 ke 6 bulan. Di sarankan ujian kolesterol di ulang selepas kaunseling dan perlaksanaan intervensi di lakukan.

Apa tahap disarankan?

Total Cholesterol – di bawah 200 mg (5.1 mmol / L)

Kolesterol LDL – di bawah 70 mg (1.8 mmol / L) untuk pesakit yang mempunyai penyakit jantung. Tahap bawah 100 mg (2.6 mmol/L) jika mempunyai faktor risiko penyakit kardiovaskular dan bawah 130 mg (3.4 mmol / L) untuk orang normal dan tidak ada faktor risiko.

Wanita umumnya memiliki paras HDL lebih tinggi berbanding lelaki dan mereka dilindungi oleh hormon sampai menopause. Paras HDL dan risiko penyakit jantung mereka menjadi sama dengan lelaki setelah menopause.

Apakah gejala kolesterol tinggi?

Kebanyakan orang dengan kolesterol tinggi tidak mempunyai tanda-tanda atau gejala. Anda dan doktor anda tidak akan dapat mengesannya, walau bagaimana pun antara gejala yang mungkin berlaku adalah seperti berikut:

  • Angina iaitu sakit dada atau ketidakselesaan akibat aterosklerosis pembuluh darah koronari Intermittent claudication iaitu rasa sakit pada bahagian betis apabila berjalan pada jarak tertentu.
  • Hal ini berlaku kerana aterosklerosis pembuluh darah di kaki yang menyebabkan penyumbatan di salur darah dan seterusnya menghalang pengedaran darah yang lancar.
  • Stroke atau mini stroke berlaku apabila darah beku atau pendarahan (salur darah pecah) di bahagian tertentu otak. Ini menyebabkan bahagian otak yang terlibat akan hilang fungsi dan kelumpuhan anggota berlaku.
  • Plak pecah boleh menyebabkan berlakunya trombosis koronari dan penyumbatan aliran darah ke jantung iaitu serangan jantung
  • Xanthoma iaitu ketulan kuning pada kulit terutama di sekitar mata. Ketulan kuning ini disebabkan oleh penggumpulan lemak dan biasanya menyebabkan kolesterol tinggi dalam darah. Xanthoma selalunya terjadi terutama di kalangan mereka dengan hiperkolesterolemia familial.

Bagaimana seseorang individu boleh mencegah kolesterol tinggi?

Faktor keturunan dan diet mempunyai pengaruh penting terhadap paras HDL, LDL dan total cholesterol seseorang. Diet yang tinggi lemak tepu dan kolesterol meningkatkan paras kolesterol LDL dalam darah. Kebanyakan individu dapat mencegah kolesterol tinggi dengan mengikuti saranan berikut:

  • Berhenti merokok
  • Makan lebih produk susu.
  • Makan makanan berserat tinggi (sayuran, gandum, kekacang dan buah-buahan), rendah lemak (mengelakkan daging merah dan kuning telur) dan karbohidrat rendah (mengelakkan gula ringkas).
  • Menurunkan Berat Badan (Capai Body Mass Index yang optima. Beri tumpuan untuk mengurangkan lemak di perut).
  • Senaman 30 minit sehari, sekurang-kurangnya 5 hari seminggu
  • Makan ubat yang disyorkan oleh doktor
  • Ubat untuk menurunkan paras kolesterol harus diambil hanya selepas konsultasi doktor.

Kombinasi keadaan tinggi tahap total cholesterol dan LDL dan rendah tahap kolesterol HDL adalah tidak diingini. Sebaliknya kombinasi rendah tahap Jumlah Kolesterol (total cholesterol) dan LDL dan kadar kolesterol HDL yang tinggi adalah disarankan.

Berikut ini adalah beberapa pilihan sumber maklumat dan sokongan yang tersedia :

  • Kesihatan Klinik dengan Program Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit yang mepunyai kumpulan kumpulan sokongan bagi pelanggan mereka –sila semak dengan klinik kesihatan terdekat anda atau pejabat kesihatan daerah untuk mengetahui tentang perkhidmatan ini
  • Nutrition Society of Malaysia (NSM).(NSM). http://www.nutriweb.org.my
  • Yayasan Jantung Negara (National Heart Foundation) http://www.malaysianheart.org National Heart Association of Malaysia Tingkat 1, Rumah Hati Akademi Bangunan 210 Jalan Tun Razak 50400 Kuala Lumpur MALAYSIA Tel No: 603-4023 1500 Fax No: 603-4023 9400 Email: secretariat@malaysianheart.org

Kesimpulan

Pengendalian Penyakit Arteri Koronari dan kolesterol tinggi dalam penjagaan kesihatan adalah berdasarkan kepada faktor perubahan tingkahlaku, bio-perubatan dan psikologi dan pematuhan terhadap pengambilan ubat-ubatan berdasarkan bukti saintifik dan pengamalan terapi tanpa ubat (non-pharmacological therapy). Doktor anda di kesihatan primer boleh memberikan pengendalian secara berterusan, sokongan dan kaunseling untuk memastikan pencegahan yang berkesan dan pengurusan kesihatan diamalkan sehingga beban penyakit jantung berlaku pada masyarakat dapat dikurangkan . Ini akan mengurangkan kos penjagaan kesihatan dan meningkatkan kualiti hidup pesakit dan keluarga mereka. Komplikasi daripada penyakit ini boleh dicegah dan akan meningkatkan produktiviti ekonomi penduduk Malaysia.

Risalah berkaitan Lelaki dan Penyakit Kardiovaskular (Sumber: Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, KKM)

 

Semakan Akhir : 20 Jun 2014
Penulis/Penterjemah : Dr. Mastura Ismail
Akreditor : Dr. Sri Wahyu Taher
Penyemak : Dr. Ainol Shareha Sahar

 

Artikel Berkaitan

Melecur

Melecur atau luka lecur adalah kecederaan pada kulit / lapisan kulit  akibat  terdedah

Hemodialisis

Berapa ramaikah pesakit kegagalan ginjal yang mendapat rawatan hemodialisis? Jumlah

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,228,889

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia