Home > Dewasa > Penyakit Asma Berkaitan dengan Pekerjaan

Penyakit Asma Berkaitan dengan Pekerjaan

Apakah penyakit asma yang berkaitan pekerjaan?

Penyakit asma yang berkaitan dengan pekerjaan dikenali sebagai penyakit asma pekerjaan. Ini berlaku disebabkan penyempitan saluran pernafasan semasa terdedah kepada agen-agen di waktu bekerja. Keadaan seperti ini boleh pulih kembali (reversible).Pencetus penyakit ini ialah agen asma yang berada di tempat kerja. Terdapat hubungan di antara pendedahan terhadap agen di tempat kerja dengan serangan penyakit tersebut.


Gambarajah menunjukkan penyempitan salur pernafasan yang berlaku terhadap pesakit asma

Siapakah pekerja yang berisiko mendapat penyakit asma pekerjaan?

Contoh pekerja yang berisiko tinggi adalah mereka yang terdedah kepada agen-agen berikut di tempat bekerja:

  • Hama, kulat, debunga
  • Wap kimia, wasap, kabus
  • Habuk sayuran
  • Habuk logam
  • Habuk kayu

Apakah gejala penyakit asma pekerjaan?

  • Sukar untuk bernafas
  • Batuk
  • Nafas berbunyi (wheezing)
  • Dada terasa sempit
  • Gejala-gejala menjadi lebih teruk semasa bekerja
  • Gejala meningkat beransur-ansur semasa bekerja
  • Gejala bertambah baik apabila tidak bekerja
  • Gejala bertambah baik apabila persekitaran kerja telah berubah

Bagaimana saya boleh mencegah serangan asma semasa bekerja?

  • Cuba kenalpasti agen yang anda fikir boleh mencetuskan serangan asma
  • Hindari pendedahan kepada agen yang boleh mencetuskan serangan asma
  • Gunakan alat pelindung diri untuk mencegah dari tersedut agen. Contoh adalah topeng pelindung muka, alat penapis pernafasan (respirator)
  • Ambil ubat asma seperti yang diarahkan oleh doktor
  • Dapatkan nasihat perubatan yang awal jika anda rasa anda menghidapi penyakit asma pekerjaan
  • Laporkan kepada majikan supaya langkah pengawalan yang bersesuaian dapat diambil untuk membaiki persekitaran pekerjaan
  • Berhenti merokok

Bagaimanakah untuk mengetahui bahawa saya menghidapi penyakit asma pekerjaan?

  • Terangkan gejala kepada doktor dan hubungannya dengan pekerjaan
  • Catatkan rentetan kejadian gejala
  • Jalani ujian khusus untuk mengukur keupayaan paru-paru seperti ujian Hembusan Puncak (Peak Flow) dan ujian paru-paru (spirometri)
  • Jalani ujian X-Ray dada

Apakah rawatan untuk penyakit asma pekerjaan?

Terdapat dua rawatan utama:

  • Perubatan – untuk mengembangkan saluran pernafasan (ubatan untuk kelegaan yang segera) dan kawalan jangka panjang (mencegah serangan asma).
  • Jauhkan diri dari terdedah kepada ejen di tempat kerja yang boleh mencetuskan serangan asma dengan:
    • Menghapuskan ejen di tempat kerja melalui kawalan ejen tersebut di tempat kerja.
    • Gunakan alat pelindung diri
    • Bekerja di tempat baru.


Pesakit menggunakan rawatan inhaler

Notifikasi

Mengikut Peraturan 2004, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Notifikasi Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan dan Penyakit Pekerjaan), adalah menjadi tanggung jawab:

  • Majikan
  • Pengamal perubatan yang merawat

Untuk notifikasi penyakit pekerjaan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan.

Alamat untuk dihubungi

Untuk keterangan lanjut, e-mail kepada: ohealth@dph.gov.my

Semakan Akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Sirajuddin Hashim
: Dr. Nor’Aishah Abu Bakar
: Dr. Abu Hassan Shaari Abd Kadir
Penyemak : Dr. Norhaya Mohd Razali