Home > Dewasa > Penjagaan Pra Kehamilan (PPK)

Penjagaan Pra Kehamilan (PPK)

Apa itu Penjagaan Pra Kehamilan (PPK)?

PPK adalah penjagaan atau intervensi yang diberikan kepada wanita di dalam umur reproduktif sebelum berlaku kehamilan. Semua wanita yang  mempunyai potensi untuk hamil dan mempunyai risiko perubatan di galakkan mendapat perkhidmatan PPK. Perkhidmatan PPK hendaklah diberikan kepada wanita-wanita ini sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum kehamilan berlaku.

Apakah yang dimaksudkan dengan fakta risiko perubatan?

Faktor risiko perubatan adalah penyakit kronik yang di hidapi oleh wanita yang berpotensi untuk hamil. Di antaranya adalah:

  • Diabetes
  • Hipertensi
  • Penyakit jantung (kardiovaskular / kongenital)
  • Penyakit thyroid
  • Obesiti
  • Connective Tissue Disease
  • SLE
  • Penyakit Ginjal
  • Anaemia
  • Substance Addiction
  • Sejarah melahirkan bayi dengan masalah kongenital (kongenital anomalies)

Wanita-wanita yang  mempunyai masalah perubatan hendaklah mendapatkan perkhidmatan pra kehamilan (PPK) di premis perubatan yang terdekat untuk mendapatkan rawatan.

Definasi Penjagaan Pra Kehamilan (PPK)

PPK adalah perkhidmatan klinikal intervensi biomedikal, tingkahlaku dan sosial  yang diberikan kepada wanita dan pasangan suami isteri sebelum berlakunya kehamilan (WHO).

Apakah objektif Penjagaan Pra Kehamilan (PPK)?

Objektif PPK adalah untuk memberi perkhidmatan kepada wanita/pasangan suami isteri supaya mendapat kehamilan yang selamat. Perkhidmatan yang di sediakan adalah seperti;

  1. Saringan dan kaunseling bakal ibu untuk intervensi dan rawatan awal
  2. Membolehkan wanita/pasangan suami isteri merancang kandungan melalui pemberian informasi yang sesuai dan mencukupi, promosi kesihatan , pendidikan dan kaunseling
  3. Memberi penekanan kepada bakal ibu dan pasangan serta ahli keluarga untuk memahami dan mengamalkan cara hidup sihat kearah kehamilan yang selamat

Bagi  wanita-wanita yang  mempunyai masalah perubatan dan merancang untuk hamil,  mereka perlu  mendapat rawatan sewajarnya melalui PPK sebelum hamil.Rawatan bertujuan untuk mengawal masalah perubatan supaya mencapai tahap optima dan mencapai sasaran yang telah di tetapkan. Contohnya merawat diabetes sehingga glukos di dalam darah mencapai sasaran HbA1c < 6.5%¹, tekanan darah mencapai tahap terkawal < 140/90² dan tahap haemoglobin > 11 g/dl. Bagi masalah perubatan lain, sasaran yang ditetapkan adalah berdasarkan ‘Clinical Practice Guidelines’ / Panduan Amalan Klinikal yang  telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.  Langkah mencapai sasaran ini akan menggunakan rawatan-rawatan seperti ubat-ubatan diabetes dan hipertensi, insulin serta kaedah terapi gantian (replacement therapy) tiroid dan lain-lain.

Apakah faedah Penjagaan Pra Kehamilan (PPK)?

Masalah perubatan yang di hidapi oleh wanita akan memberi kesan buruk kepada ibu dan juga janin jika masalah perubatan ini tidak di kawal dengan baik atau tidak mencapai sasaran optima³.

  1. Contoh komplikasi keatas janin;
    • Keguguran
    • Kelahiran pramatang
    • Kecacatan fizikal (kongenital anomalies); yang paling kerap berlaku – penyakit jantung kongenital
    • Intra Uterine Growth Retardation (kelahiran bayi yang mempunyai berat badan < 2.5 kg)
    • Macrosomia (Berat badan bayi lahir > 4.0 kg)
    • Kematian janin di dalam rahim (Intra Uterine Death)
  2. Contoh komplikasi keatas ibu hamil;
    • Tekanan darah yang tidak terkawal dan menyebabkan strok
    • Kegagalan ginjal
    • Kegagalan jantung
    • Tumpah darah dan kelahiran yang sukar
    • Kematian
    • Obesiti teruk
    • Ketidakstabilan kelenjar tiroid
    • Ketagihan teruk seperti merokok yang keterlaluan, ketagihan substan (substance addiction)
    • Anaemia teruk yang memerlukan transfusi darah

Oleh itu penyakit-penyakit kronik yang dihidapi oleh wanita di dalam umur reproduktif hendaklah di beri rawatan intensif dan  agresif sebelum dibenarkan hamil. Caranya adalah dengan memberi rawatan-rawatan sesuai. Apabila penyakit-penyakit telah terkawal dengan optima dan mencapai sasaran, barulah wanita-wanita ini dibenarkan hamil. Ia mungkin mengambil masa lebih dari 3  bulan untuk mengawal penyakit-penyakit ini. Sementara itu perancang keluarga yang sesuai amat di galakkan.

Faedah mengawal penyakit kronik sehingga mencapai sasaran optima sebelum kehamilan adalah untuk mengurangkan kebarangkalian kecacatan kongenital atau masalah lain yang tersenarai di atas.

Suami hendaklah memahami keadaan ini dan haruslah memberi sokongan padu kepada isteri. Sokongan psikologi adalah diperlukan dalam memastikan sesuatu kehamilan itu berjaya dan berisiko rendah.

Apakah suplemen yang digalakkan?

Selain daripada rawatan ubat-ubatan yang khusus, suplemen atau rawatan sampingan juga salah satu cara untuk memastikan wanita-wanita yang berpotensi hamil mendapat nutrien yang cukup. Nutrien yang di maksudkan ini adalah rawatan sampingan folik asid, kalsium dan ferrous fumarate. Folik asid boleh mencegah dari kecacatan kongenital bayi khususnya neural tube defect atau kecacatan saraf dan kalsium boleh membantu mengurangkan risiko eklampsia iaitu penyakit hipertensi teruk yang boleh menyebabkan sawan dan pendarahan otak. Ferrous fumarate pula mencegah dari anaemia.

Siapa yang harus menjalani Penjagaan Pra Kehamilan (PPK)?

Secara umumnya mereka yang merancang untuk berkahwin dan juga mereka yang sudah berkahwin dan merancang untuk hamil, perlulah menjalani PPK. Khususnya mereka yang mempunyai masaalah berikut;

  1. Pesakit yang mempunyai masaalah perubatan
  2. Ibu bapa yang mempunyai masalah penyakit genetik
  3. Ibubapa yang mempunyai anak yang menghidapi penyakit genetik
  4. Ibu bapa yang mempunyai masalah struktur kongenital
  5. Ibubapa yang mempunyai anak yang menghidapi masalah struktur kongenital

Semua wanita yang berpotensi hamil mestilah menjalani PPK . PPK haruslah dimulakan sejurus selepas berpantang (6 minggu selepas melahirkan bayi) atau pada bila-bila masa selepas penyakit kronik dikenalpasti. PPK haruslah di galakkan kepada wanita setiap kali mereka keklinik untuk mengambil sebarang rawatan termasuklah rawatan yang tiada kena mengena dengan penyakit kronik.

Sekiranya didapati  wanita itu bermasaalah, mereka akan  di rujuk ke doktor untuk rawatan susulan selanjutnya. Setiap wanita hendaklah sedar akan kepentingan PPK supaya setiap kehamilan dirancang dan berakhir dengan kelahiran bayi yang selamat. Komplikasi ibu juga boleh dielakkan dengan rawatan rapi.

Siapa yang terlibat di dalam Penjagaan Pra Kehamilan (PPK)?

Semua anggota kesihatan samada di klinik kesihatan mahu pun hospital haruslah terlibat di dalam PPK. Premis kesihatan kerajaan dan swasta hendaklah mewujudkan dan menawarkan PPK. Anggota kesihatan sokongan (jururawat masyarakat / jururawat kesihatan / jururawat terlatih / penolong pegawai perubatan) haruslah melengkapkan diri di dalam ilmu dan spesifikasi protokol PPK. Mereka terlibat di dalam saringan dan kaunseling awal³.

Pegawai perubatan dan pakar akan merawat kes-kes rumit yang memerlukan rawatan rapi dan kaunseling rapi. Setiap anggota kesihatan yang terlibat di dalam PPK hendaklah menjalankan latihan. Latihan ini hendaklah komprehensif dan holistik. Langkah ini akan memperkasa semua anggota kesihatan yang di latih.

Di mana boleh mendapatkan perkhidmatan Penjagaan Pra Kehamilan (PPK)?

Buat masa ini semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan telah memulakan PPK. Perkhidmatan PPK di ketuai oleh Pakar Perubatan Keluarga di peringkat klinik kesihatan. Manakala Pakar Obstetrik & Ginekologi mengetuai perkhidmatan PPK di hospital. Pesakit hanya perlu bertanya kepada anggota kesihatan dan memaklumkan bahawa beliau memerlukan perkhidmatan PPK.

Adalah menjadi aspirasi Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menjayakan PPK di semua peringkat penjagaan kesihatan. PPK telah bermula pada tahun  2009 dan telah mendapat sambutan dari pelanggan wanita. Keberkesanan PPK telah terbukti dengan pengurangan kelahiran yang mempunyai kecacatan kongenital. Oleh itu menjadi harapan Kementerian Kesihatan Malaysia PPK di teruskan untuk memberi perkhidmatan yang mantap dan meningkatkan kepekaan wanita terhadap PPK.

Sumber rujukan

  1. Clinical Practice Guidelines on Management Type 2 Diabetes Mellitus 2009
  2. Clinical Practice Guidelines on Hypertension 3rd edition 2010
  3. Perinatal Care Manual KKM section 1 2010

 

Semakan Akhir : 27 Januari 2014
Penulis : Dr. Sri Wahyu bt. Taher