Home > Pemakanan > Diet & Penyakit > Penjagaan Pemakanan Pesakit Hipertiroidisme

Penjagaan Pemakanan Pesakit Hipertiroidisme

Pengenalan

Hipertiroidism adalah keadaan di mana kelenjar tiroid mengeluarkan terlalu banyak hormon tiroksin (1). Keadaan ini akan menyebabkan peningkatan metabolism badan di mana berlaku penurunan berat badan yang mendadak, degupan jantung yang laju atau tidak tetap, keletihan  serta perubahan-perubahan lain kepada badan (2). Walau bagaimanapun penyakit ini boleh dirawat. Simptom-simptom penyakit dapat diminimakan dengan rawatan.

Mengapakah saya selalu lapar?

Metabolisme badan yang meningkat akan mengakibatkan kelaparan.

Apakah yang boleh saya makan?

Biasanya pesakit hipertiroidisme akan makan dengan kerap kerana mereka selalu lapar. Pesakit yang belum menjalani rawatan dibenarkan mengambil makanan lebih dari kebiasaan untuk menampung kadar metabolisme yang tinggi.

Berikut adalah beberapa panduan dalam pemilihan makanan:

  • Pengambilan makanan yang seimbang adalah digalakkan.
  • Tingkatkan pengambilan kalori untuk mengelakkan penurunan berat badan.
  • Makanan bergoreng bolehlah diambil, terutamanya bagi pesakit yang terlalu kurus.
  • Makan makanan berprotein seperti ayam. Hadkan pengambilan lemak tepu terutamanya lemak dari sumber haiwan seperti kulit ayam dan lemak pada daging.

Jumlah keperluan makanan setiap individu adalah berbeza. Untuk maklumat terperinci, sila berhubung dengan Dietitian (3) terdekat.

Betulkah pengambilan gula juga perlu dijaga?

Kajian banyak menunjukkan pesakit hipertiroidisme mengalami gangguan pengaturan insulin (4). Ini mengakibatkan masalah pencernaan gula badan. Seterusnya gula darah pesakit boleh meningkat melebihi aras normal. Bagi pesakit yang terlibat, penjagaan makanan adalah mirip kepada penjagaan makanan pesakit kencing manis (5). Makanan yang bergula atau terlalu manis eloklah dikawal. Pilihan makanan berkarbohidrat kompleks yang berserat tinggi adalah lebih baik. Saranan pengambilan bagi serat makanan (6) adalah antara 25 gram hingga 30 gram sehari. Jumlah ini dapat dicapai dengan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan, makanan berserat, kekacang serta bijirin secara konsisten setiap hari.

Apakah yang akan berlaku selepas rawatan?

Simptom akan berkurangan dengan rawatan yang diberikan oleh doktor atau Pakar Endokrinologi. Dalam tempoh 2 tahun pertama setelah rawatan, pesakit mudah mengalami kenaikan berat badan (7). Oleh itu penekanan patut diberikan terhadap penjagaan berat badan sekiranya masalah ini timbul.

Adakah faktor-faktor lain yang perlu diambil kira?

Pilihan makanan yang rendah kolesterol adalah lebih baik. Cara hidup yang sihat perlulah diamalkan. Bersenam adalah baik untuk kesihatan.

Rujukan

  1. Mayo Clinic. Hyperthyroidism (Overactive thyroid). Retrieved April 19, 2012, from http://www.mayoclinic.com/health/hyperthyroidism/DS00344
  2. Physicians Committee for Responsible Medicine. Hyperthyroidism. Retrieved April 19, 2012 from http://www.nutritionmd.org/consumers/diabetes_thyroid/hyperthyroidism.html
  3. Malaysian Dietitians’ Association. Find a dietitian. Retrieved April 19, 2012 from http://dietitians.org.my/category/find-a-dietitian
  4. Brunova J., Bruna J., Joubert G. & Koning M. Weight gain in patients after therapy for hyperthyroidism (2003). South African Medical Journal, 93, 529-531. Retrieved from http://www.samj.org.za/index.php/samj/article/viewFile/2257/1524
Semakan Akhir : 07 Ogos 2012
Penulis : Datin Nor Sharita bt. Mohd Saad