Home > Kesihatan Pergigian > Penjagaan Mulut Selepas Rawatan Patah Rahang

Penjagaan Mulut Selepas Rawatan Patah Rahang

Pengenalan

Patah rahang boleh disebabkan oleh kemalangan jalan raya, jatuh, perlawanan antara individu, kemalangan industri atau kecederaan sukan. Pesakit biasa datang dengan sakit dan bengkak pada rahang, pergerakan tak normal pada tulang rahang dan gigitan salah.

Rawatan patah rahang

‘Open reduction’

Rawatan untuk patah rahang merangkumi pembedahan ‘open reduction’ atau tanpa pembedahan ‘close reduction’. Pembedahan biasa dijalankan dibawah bius am. Semasa pembedahan, tempat yang patah akan dibuka dan tempat patah akan di sambung balik dengan plate dan skrew titanium. Sebelum disambung balik. Rahang atas dan bawah akan diikat supaya mendapat balik gigitan betul.

‘Close reduction’

‘Close reduction’ adalah rawatan tanpa pembedahan, tetapi rahang atas dan bawah pesakit akan diikat sama selama 4-6 minggu. ‘Stainless steel’ dawai akan dimasukkan di celah-celah gigi untuk memegang archbars pada gigi. Selepas itu, archbars pada gigi atas dan gigi bawah akan digunakan untuk menarik rahang atas dan bawah bersama untuk mendapat balik gigitan yang betul. Ikatan boleh dibuat dengan menggunakan dawai atau getah elastik untuk menarik dan mengerakkan tempat patah ke kedudukan betul dan gigitan yang betul. Dalam rawatan selama 4-6 minggu ini, pesakit boleh makan makanan yang dikisar halus melalui straw/tiub penyedut.

  1. Dawai dimasukkan di antara celah-celah gigi untuk memegang archbars pada gigi atas dan bawah.
  2. Dawai digunakan untuk menarik gigi atas dan bawah kembali ke gigitan asal

Penjagaan mulut selepas rawatan

  1. Penjagaan luka dalam mulut

    Jangan kacau tempat luka dengan apa-apa objek. Jahitan yang digunakan dalam mulut biasanya boleh haus sendiri dalam 1 bulan, tetapi biasanya jahitan tersebut dikeluarkan selepas satu minggu  apabila luka sudah sembuh supaya ia tidak memerangkap sisa-sisa makanan. Pesakit yang merokok disarankan tidak merokok kerana ia akan melambatkan penyembuhan luka  dalam mulut dan meninggikan risiko jangkitan kuman pada luka.

  2. Memberus gigi

    Archbars dan dawai biasanya diletakkan dalam mulut selama 4-6 minggu. Ia akan memerangkap sisa-sisa makanan di celah-celah dengan gigi. Pesakit perlu memberi lebih perhatian untuk memberus supaya dapat membersihkan gigi dan dawai dengan bersih. Kebengkakan dan kesakitan selepas pembedahan atau trauma akan menyebabkan pesakit tidak boleh memberus dengan kuat. Oleh sebab itu, pesakit dinasihatkan untuk menggunakan berus yang lembut atau berus saiz kanak-kanak untuk memberus gigi dan dawai-dawai dalam mulut.

  3. Ubat kumuran antiseptik

    Doktor biasa akan membagi ubat kumuran antiseptik kepada pesakit untuk kegunaan 2-3 kali sehari. Ini adalah untuk mengurangkan bakteria dalam mulut supaya mengurangkan risiko jangkitan luka dan penyakit gusi. Selain daripada ubat kumuran, pesakit juga dinasihatkan supaya berkumur setiap kali lepas makan untuk memastikan mulut sentiasa bersih.

Semakan Akhir : 8 Julai 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Hoe Ai Sim
Akreditor : Dr. Mohammed Amin bin Mohammed Jelani