Penjagaan Keluarga Sandwich (Tekanan Anak)

 

Pendahuluan

Generasi Sandwich ialah gabungan dua generasi yang memerlukan penjagaan harian yang berlaku kepada anak dewasa pertengahan umur yang menjaga warga tua dan anak-anak tinggal di bawah satu bumbung. Generasi sandwich juga berperanan sebagai tunggak utama dalam menyediakan sokongan fizikal, kewangan, emosi dan sosial serta sumber maklumat.

Tekanan Kewangan

Kebanyakan anak/penjaga yang menjaga dua generasi serentak berhadapan dengan masalah kewangan dan kekangan masa untuk menyediakan keperluan-keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, keselamatan, makan dan minuman bagi menjamin kesejahteraan hidup keluarga tersebut. Penjaga yang berpendapatan rendah lebih berisiko untuk mengalami masalah kewangan berbanding dengan penjaga yang mempunyai pendapatan lebih tinggi.Ini keraana pendapatan mereka melebihi perbelanjaan menyebabkan mereka perlu berjimat dan membahagikan pendapatan untuk perbelanjaan rumah, pendidikan, kesihatan dan diri sendiri. Mereka perlu mengutamakan kepentingan golongan wargatua dan juga kanak-kanak. Bahkan mereka juga merupakan pembuat keputusan dalam rumahtangga tersebut.

Perbezaan terbesar antara penjaga keluarga (caregiver) dengan bukan penjaga keluarga (non-caregiver) adalah dari segi tahap kemurungan dan tekanan keberkesanan diri (self-efficacy). Berbanding dengan bukan penjaga keluarga, penjaga keluarga dilaporkan lebih mengalami kesusahan dan kualiti hidup yang lebih rendah (Pinquat dan Sorensen, 2003). Ini meletakkan generasi sandwich dengan pelbagai tekanan peranan dan boleh menyebabkan kesejahteraan individu dan keluarga mereka terabai.

Tekanan Peranan

Konsep tekanan peranan dan permintaan peranan berlebihan dan konflik peranan memberikan satu kerangka yang amat berguna untuk mengkonsepsikan pengalaman penjaga pertengahan umur yang menjaga ibubapa tua yang uzur disamping memikul pelbagai peranan lain (Mui, 1992). Penjaga tidak mempunyai masa atau sumber yang cukup untuk memenuhi tanggungjawab pelbagai peranan dengan sempurna. Oleh itu, komitmen dalam menjalankan tanggungjawab terhadap ibubapa berkemungkinan besar akan menghasilkan tekanan dalam diri penjaga. Apabila tanggungjawab dan peranan ini tidak dapat dilakukan dengan baik dan bertindih dengan peranan sosial yang lain, seseorang penjaga itu berkemungkinan akan mengalami tekanan peranan yang didefinisikan sebagai kesulitan dalam memenuhi peranan dan tanggungjawab penjagaan dalam generasi sandwich tersebut.

Tekanan Masa

Pengkaji dari Barat mengatakan bahawa genearsi sandwich mungkin akan menghadapi tekanan masa dimana dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penjaga kepada ibubapa membuatkan masa yang diperuntukkan kepada isteri/suami dan anak-anak terbatas. Peranan penjaga keluarga boleh mendatangkan keluarga tekanan kerana masa yang diperlukan untuk penjagaan akan mengurangkan masa yang diperlukan untuk melaksanakan tanggungjawab lain. Menjaga wargatua merupakan tanggungjawab dan komitmen tambahan dan kemungkinan penurunan prestasi kerjaya penjaga dalam melaksanakan tanggungjawab lain. Persaingan dalam komitmen lain seperti hubungan persahabatan dan tanggungjawab menjaga keluarga boleh mengakibatkan tekanan masa terhadap hubungan interpersonal (Braithwaite 1992).

Daya Tahan Anak/ Penjaga

Daya tahan ditakrifkan sebagai keupayaan untuk menyesuaikan diri, menghadapi cabaran, bertahan semasa kesulitan hidup dan mudah pulih semasa kesukaran untuk meneruskan kehidupan (Walsh1998 & Walsh2003).

Daya tahan dalam proses penjagaan merangkumi proses perbincangan, pengurusan dan penyesuaian diri dengan tekanan. Sumber dan potensi dalam individu, pengalaman dan persekitaran dapat memudahkan proses penyesuaian dan bangkit dalam menghadapi cabaran kehidupan. Dalam kitaran kehidupan, pengalaman daya tahan ini amat membantu anak/penjaga dalam menghadapi cabaran (Windle’ 2011). Daya tahan menuntut seseorang anak/penjaga bersabar, toleransi, memahami orang tua yang dijaga bagi mencapai kesejahteraan keluarga.

Kepercayaan dan nilai peribadi dapat diukur dengan aspek ganjaran dan keberkatan, kekuatan psikologi penjaga yang mempunyai tahap kendiri yang tinggi, pengetahuan yang dimiliki oleh penjaga dalam penjagaan dan nilai tanggungjawab penjaga untuk menjaga orang tua dan anak-anak. Secara keseluruhan menunjukkan bahawa anak dewasa telah memberi perkhidmatan sokongan sosial yang terbaik kepada warga tua semasa mereka sakit. Sokongan sosial daripada ahli keluarga penjaga warga tua adalah penting bagi mengurangkan beban penjagaan dengan bantuan adik-beradik dari segi sokongan sosial dan kewangan. Anak dewasa yang menjaga wargatua sering dikunjungi oleh adik-beradik dan saudara-mara dilihat mempunyai jaringan sokongan sosial yang lebih baik.

Kesimpulan

Cabaran dan potensi menjaga warga tua dalam jangka masa panjang perlu dikaji dengan terperinci. Ramai anak yang menjadi penjaga daripada umur pertengahan dan seterusnya menjadi penjaga utama dalam kebanyakan keluarga generasi sandwich. Bagi ibubapa tua yang tinggal bersama anak dewasa atau bersendirian biasanya mendapat bantuan daripada anak dewasa merangkumi bantuan kewangan, penyediaan makanan, pembelian barangan keperluan harian, penjagaan kebersihan rumah dan mencuci pakaian serta pengangkutan untuk mengunjungi sanak saudara dan pergi ke hospital atau klinik. Ibu bapa tua di Malaysia masih bergantung kepada anak dewasa, saudara-mara dan kawan-kawan untuk mendapatkan bantuan tersebut. Keluarga terdekat merupakan pilihan utama untuk meminta bantuan dan sokongan oleh wargatua yang tinggal dalam komuniti tersebut sangat penting.

Rujukan:

  1. Braithwaite, V.1992. Caregiving burden: making the concept scientifically useful and policy relevant. Research on Aging 14(1): 3-27.
  2. Martire, L. M., & Stephens, M. A. P.(2003).Juggling parent care and employment responsibilities: The dilemmas of adult daughter caregivers in the work force. Sex Roles: A Journal of Research 48(3-4):167-173.
  3. Noor Rahamah Hj Abu Bakar. 2013. Masa kerja fleksibel dalam sektor formal di Bandar: Mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab keluarga.Akademika 83(1): 77-80.
  4. Pinquart, M., & Sorensen, S. 2003.Associations of stressors and uplifts of caregiving with caregiver burden and depressive mood: A meta-analysis. Journals of Gerontology: Psychological and Social Sciences 58B(2):112–P128.
  5. Walsh F. 1998. Strengthening Family Resilience. Guilford Press, NewYork: London.
  6. Walsh, F. 2003. Family resilience: Strengths forged through adversity. In Normal Family Processes, edited by Froma Walsh, 399-421. New York: The Guilford Press.Windle, G. 2011. What is resilience? A review and concept analysis. Reviews in Clinical Gerontology 21(2): 152-169.
Semakan Akhir : 02 Julai 2018
Penulis : Pn. Fariz sakina bt. Abdullah
Akreditor : Pn. Ruhana bt. Mahmod