A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Bidang Kepakaran
  6. /
  7. Periodontik
  8. /
  9. Penilaian Periodontium (Gusi) Sebelum...

Penilaian Periodontium (Gusi) Sebelum Memulakan Rawatan Ortodontik

Gigi anda diselimuti di atas oleh tisu gusi (juga dipanggil gingiva). Di bawahnya adalah ligamen periodontium yang melitupi bahagian akar gigi dan mengikat akar gigi kepada tulang alveolus (tulang rahang yang mengelilingi gigi).

Bila pendakap ortodontik mengenakan tekanan di gigi anda, regangan ligamen periodontium akan berlaku pada sebelah dan dimampatkan disebelah yang lain. Proses ini akan melonggarkan gigi. 

Proses pergerakkan gigi mendorong sel tulang untuk meresapkan tulang di arah pergerakan  gigi dan menghasilkan tulang baru dibahagian belakangnya. Tulang akan terbentuk disekitar posisi baru gigi  (ini dipanggil bone remodelling). Kesemua ini berlaku disebabkan tekanan ringan pendakap gigi yang dipasang pada gigi tersebut.

Untuk memastikan proses ini berlaku, tisu sokongan gigi ( periodontium ) terdiri daripada gusi, ligamen periodontium dan tulang sekeliling mesti sihat. Sebelum rawatan pergerakan gigi (ortodontik ) dilakukan , seharusnya struktur ini dipastikan tidak mengalami keradangan.


Imej diambil dari:  http://www.dentalorg.com/biology-of-tooth-movement.html

Rawatan ortodontik yang hebat  boleh digagalkan oleh sokongan periodontium yang lemah. Begitu juga, kesihatan periodontium akan terjejas oleh pergerakan gigi jika penyakit periodontium telah wujud sebelum rawatan ortodontik dimulakan.

Rawatan ortodontik bukan hanya untuk merawat gigi anda supaya kelihatan cantik semata-mata, malah ia merangkumi kesihatan pergigian secara umum, termasuk kesihatan gusi anda. Maka, penilaian  dan  pengekalan kesihatan periodontium sebelum, semasa dan selepas rawatan amat penting.

 Apakah penyakit periodontium ( gusi)?

Penyakit periodontium (gusi) ialah keradangan pada tisu-tisu sokongan sekitar gigi anda (gingiva, ligamen periodontium, tulang alveolar dan simentum pada akar gigi)

Tanda-tanda amaran penyakit gusi termasuk:

  • Gusi merah, bengkak atau sengal, berdarah semasa memberus, pemflosan, atau makan makanan keras,
  • Gusi yang menyusut dari gigi, membuat gigi kelihatan lebih panjang dari asal
  • Nanah keluar antara gusi dan gigi ,
  • Gigi yang goyah atau menjarang,
  • Bau nafas yang tidak menyenangkan,
  • Terdapat perubahan dalam padanan gigi palsu anda, 
  • Terdapat perubahan dalam cara gigi bertemu ketika makan

Jika tidak dirawat, penyakit periodontium ( gusi) boleh menyebabkan kelesapan tulang sekitar gigi. Ini penting diambilkira kerana rawatan ortodontik ketika penyakit periodontium aktif boleh menjurus kepada kelesapan tulang yang lebih cepat dan menyeluruh.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna , seorang yang telah mengalami penyakit periodontium tetapi telah dirawat dan terkawal penyakitnya, tidak boleh  menjalani rawatan ortodontik. Malah, ada ketika  ia  diperlukan bagi menyusun gigi kepada aturan yang lebih memudahkan penjagaan kebersihatan dan kesihatan. 

Justeru, jika anda merasakan yang anda mungkin mengalami penyakit gusi, bersegeralah berjumpa doktor pergigian untuk penilaian dan diagnosis masalah dan seterusnya mengesyorkan anda dirujuk kepada Pakar Periodontik untuk rawatan, jika perlu.

Sebelum memulakan rawatan ortodontik, adalah dinasihatkan anda memastikan penyakit periodontium telah dapat dikawal dan disahkan oleh doktor gigi yang merawat keadaan ini. 

Mereka yang berpenyakit periodontium dan akan menjalani rawatan ortodontik, mesti melalui fasa-fasa rawatan periodontik ( gusi) yang sesuai.  Anda hendaklah bersungguh-sungguh mengekalkan kesihatan periodontium untuk memastikan bahawa penyakit itu tidak berulang sepanjang proses rawatan ortodontik kelak.

Sebelum rawatan, pakar ortodontik akan memastikan bahawa anda mampu menjaga kebersihan mulut yang berkesan. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan rawatan  ortodontik  ditangguhkan sehingga kawalan plak yang memuaskan dicapai. 

Semasa rawatan ortodontik, kebersihan mulut hendaklah dikekalkan pada peringkat optimum supaya  kesan negatif seperti penyakit periodontium dan karies gigi dapat dikurangkan. Ini penting untuk hasil  ortodontik yang memuaskan.

Kesimpulannya , setiap pesakit yang akan menjalani rawatan ortodontik, memerlukan satu penilaian  periodontium. Untuk pesakit-pesakit muda, ini akan dijalankan oleh doktor gigi dan pakar ortodontik. Bagi pesakit-pesakit lebih berusia, prosedur penilaian kesihatan periodontium berkemungkinan  melibatkan Pakar Periodontik.

Kebersihan mulut ialah satu unsur penting menentukan kejayaan rawatan ortodontik. Kecuaian dalam memelihara kebersihan mulut yang baik akan memberi kesan kepada hasil dari rawatan ortodontik.

Rujukan

  1. Risk of orthodontic treatment, Australian Society of Orthodontists http://www.aso.org.au/docs/orthodontics/Risks.htm
  2. Orthodontic tooth movement, http://www.dentalorg.com/biology-of-tooth-movement.html
  3. Carranza’s Clinical Periodontology  Expert Consult, 11th Edition, Michael G. Newman, DDS, Henry Takei, DDS, MS, Perry R. Klokkevold, DDS, MS and Fermin A. Carranza, Dr. ODONT

 

Semakan Akhir : 15 Januari 2016
Penulis / Penterjemah : Dr. Rosrahimi bt. Abd Rahim
Akreditor : Dr. Norhani bt. Abd Rani

 

Artikel Berkaitan

Venir Gusi

Venir gusi adalah prostesis yang dipakai di bahagian hadapan gigi atas, bertujuan untuk mengembalikan rupa bentuk mukogingiva dan estetika di kawasan dimana tisu-tisu periodontal adalah kurang.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,208,499

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia