A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Kanak-kanak
  6. /
  7. Pengurusan Pemakanan Kanak-kanak Berkeperluan...

Pengurusan Pemakanan Kanak-kanak Berkeperluan Khas

Pengenalan

Kanak-kanak berkeperluan khas adalah merujuk kepada kanak-kanak yang mengalami ketidakupayaan fizikal, mental, sensori, tingkah laku, kognitif dan emosi yang memerlukan penjagaan yang khusus. Ketidakupayaan yang dialami oleh kanak-kanak berkeperluan khas menyebabkan mereka mungkin tidak mendapat makanan yang cukup dan mempunyai risiko tinggi mengalami masalah kekurangan zat makanan. Ini boleh disebabkan oleh masalah pengambilan makanan, interaksi antara ubat-ubatan dengan makanan, kelainan corak pertumbuhan dan gangguan sistem metabolik. Oleh itu adalah penting untuk memastikan kanak-kanak ini diberi makanan seimbang dan berkhasiat supaya mendapat pemakanan yang cukup. Pertumbuhan mereka juga perlu dipantau dari masa ke semasa untuk memastikan status pemakanan mereka sentiasa dalam keadaan yang baik. Perancangan diet yang tepat dan bersesuaian termasuk  cara pemberian,pemilihan makanan/produk yang sesuai serta modifikasi ke atas tekstur makanan mengikut kesesuaian kanak-kanak dengan keperluan khas amat penting bagi  membantu dan memastikan kecukupan nutrien yang diambil.

Pemakanan Bayi Dari Lahir Hingga 6 Bulan

Susu ibu adalah makanan yang terbaik untuk bayi dari lahir sehingga 6 bulan. Berilah susu ibu sahaja mengikut kehendak dan keperluannya .Bayi tidak memerlukan air atau susu tambahan dan/atau makanan lain untuk tempoh enam bulan tersebut. Susu ibu sudah mencukupi untuk membekalkan semua keperluan tenaga, terutama nutrien penting seperti protein, karbohidrat, lemak juga semua keperluan vitamin dan mineral yang diperlukan. Adalah dinasihatkan agar ibu juga menjaga dan mengambil berat tentang pengambilan pemakanannya, dan mengamalkan diet seimbang bagi memastikan kecukupan dan kualiti susu ibu yang dihasilkan.

Sumbing bibir

 

Sumbing lelangit

Bayi yang mempunyai masalah sumbing bibir (cleft lip), mereka masih boleh diberi susu ibu seperti biasa. Manakala bagi bayi yang mempunyai masalah sumbing lelangit (cleft palate), susu ibu perlu diperah dan diberi kepada bayi melalui cawan khas (cup feeding), atau botol khas (weaning bottle). Sekiranya menghadapi sebarang masalah, rujuk kepada pakar perubatan atau pakar laktasi.

Cawan khas

Botol khas

Sumber:
1. Medicare Health & Living Ltd , 2006
2. WHO, 1997

Sumber:
1. Linco Baby Merchandise Work’ s Co., Ltd, 2008

 

Umur bayi

Bilangan penyusuan sehari

Jumlah susu ibu  pada setiap penyusuan (ml)

Jumlah susu ibu dalam sehari (ml)

Dari lahir hingga 1 bulan

8

60

480

1 hingga 2 bulan

7

90

630

2 hingga 4 bulan

6

120

720

4 hingga 6 bulan

6

150

900

Jadual : Panduan memberi susu ibu yang mencukupi kepada bayi

 

Pemakanan Bayi Dan Kanak-kanak Kecil Berumur 6 Bulan Hingga 3 Tahun

Makanan pelengkap perlu diberi kepada bayi yang berumur 6 bulan dan ke atas untuk membantu mereka membesar dengan baik dan mendapat semua nutrien yang diperlukan terutama keperluan zat besi . Ini termasuk bayi yang menyusu susu ibu atau mengambil susu rumusan bayi. Teruskan penyusuan susu ibu berdasarkan permintaan bayi dan keperluannya sehingga bayi berumur 2 tahun. . Walau bagaimanapun, makanan pelengkap BUKAN pengganti susu ibu. Makanan pelengkap perlu dipelbagaikan dan dipertingkatkan selaras dengan perkembangan bayi untuk membantu tumbesarannya. Pemberian makanan keluarga boleh diperkenalkan semasa kanak-kanak berumur 1 tahun. Pastikan kanak-kanak diberi makanan yang berkhasiat pada setiap waktu makan.

Penyediaan Hidangan Berdasarkan Piramid Makanan Malaysia

Makanan yang disediakan kepada kanak-kanak berkeperluan khas perlu mengandungi kombinasi makanan daripada 5 kumpulan makanan iaitu; Pertama – kumpulan nasi, mi, roti, bijirin, produk bijirin dan ubi-ubian; Kedua – kumpulan sayur-sayuran dan buah-buahan; Ketiga – kumpulan ikan, ayam, daging, telur dan kekacang; Keempat – kumpulan susu dan produk tenusu dan Kelima – kumpulan lemak, minyak, gula dan garam. Perancangan menu kepada mereka boleh dilaksanakan dengan menggunakan paling banyak makanan daripada Kumpulan 1 (nasi, mi, roti, bijirin, produk bijirin dan ubi-ubian) dan paling sedikit daripada Kumpulan 5 (lemak, minyak, gula dan garam). Ini untuk memastikan mereka mendapat tenaga dan semua nutrien yang diperlukan.

Walau bagaimanapun kanak-kanak dengan keperluan khas berkemungkinan tidak mendapat atau mencapai saranan hidangan seperti yang dinyatakan di atas. Oleh itu, pengubahsuaian diet perlu dilakukan mengikut jenis dan masalah atau ketidakupayaan yang dialami oleh mereka. Perancangan diet yang betul dan bersesuaian amat penting untuk kanak-kanak mendapat nutrien dalam membantu menggalakkan pertumbuhan.

Keperluan Tenaga Dan Cecair Sehari Bagi Bayi dan Kanak-kanak

Kategori Umur

Keperluan Tenaga (kcal)

Keperluan Cecair

Kanak-kanak berumur 1-3 tahun

950

4 gelas (1000ml)

Kanak-kanak berumur 4-6 tahun

1300

6 gelas (1500ml)

Kanak-kanak berumur 7-9 tahun

1700

7 gelas (1750ml)

Kanak-kanak berumur 10-12 tahun

2000

8 gelas (2000ml)

Kanak-kanak berumur 13-18 tahun

2500

8 – 11 gelas
(2000ml – 2750ml)

 

Sumber: RNI (2005) dan Panduan Diet Malaysia (2010)

Keperluan tenaga (kalori)  bagi kanak-kanak berkeperluan khas tanpa komplikasi kesihatan adalah sama seperti kanak-kanak normal. Walau bagaimanapun, kanak-kanak Down syndrome dan kanak-kanak yang mengalami masalah failure to thrive (FTT) memerlukan pengubahsuaian dari segi keperluan tenaga (kalori) berdasarkan keperluan pemakanan mereka.

Kanak-kanak Down Syndrome perlu dikurangkan pengambilan tenaga sebanyak 10-15% daripada saranan RNI. Ini adalah kerana kadar metabolisme mereka adalah lebih rendah berbanding dengan kanak-kanak normal. Contohnya,  Mei Yee ialah kanak-kanak Down Syndrome berumur 10 tahun dan mengalami masalah berlebihan berat badan.  Maka keperluan tenaga bagi Mei Yee ialah:

Keperluan tenaga Mei Yee

= (Keperluan tenaga bagi kanak-kanak normal) – 15%

=  2000kcal   –  300kcal  = 1700kcal

Kanak-kanak failure to thrive (FTT) ialah kanak-kanak kurang berat badan dan/atau tiada peningkatan berat badan selama setahun.  Keperluan tenaga mereka perlu dipertingkatkan  sehingga  150% atau lebih daripada saranan RNI. Contohnya,   Selvi ialah kanak-kanak Cerebral Palsy berumur 7 tahun dan mengalami masalah failure to thrive (FTT).  Maka keperluan tenaga bagi Selvi  ialah:

Keperluan tenaga bagi Selvi,

=   (Keperluan tenaga bagi kanak-kanak normal) + 50%

=  1700kcal   +  850kcal  = 2550kcal

Keperluan tenaga dan nutrien lain bagi kanak-kanak yang terlantar (disable child), atau kanak–kanak yang telah didiagnosa dengan “special disease condition“ dan kanak-kanak yang mempunyai komplikasi kesihatan atau berpenyakit kronik  perlu dirujuk kepada Pegawai Dietetik dari hospital berdekatan untuk mendapat nasihat dan perancangan pemakanan khas yang bersesuaian dengan masalahnya.

Rujukan

Nutrition Guidelines for Children with special Needs from Birth to 18 Years Old, 2010

Semakan Akhir : 08 Ogos 2012
Penulis : Teh Wai Siew

 

Artikel Berkaitan

Diet Pesakit Diabetes Semasa Berpuasa

Ibadah puasa di bulan Ramadhan adalah merupakan satu kewajipan kepada semua umat Islam yang cukup umur serta berkemampuan. Berpuasa adalah selamat bagi pesakit diabetes dengan paras glukosa darah yang terkawal. Dapatkan nasihat Doktor atau Pegawai Dietetik sebelum berpuasa.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,238,766

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia