A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Pengurusan Kesan Sampingan Ubat-Ubatan

Pengurusan Kesan Sampingan Ubat-Ubatan

Ubat-ubatan digunakan untuk menyembuh atau mencegah penyakit. Namun begitu, ia mempunyai kebaikan dan risikonya tersendiri. Walaupun sesuatu ubat mempunyai faedah, disahkan berkesan dan selamat untuk digunakan, ia masih berpotensi untuk menyebabkan kesan yang tidak diingini. Kesan ini dikenali sebagai kesan sampingan. Walau bagaimanapun, faedah ubat-ubatan adalah melebihi risikonya dan ini membolehkan ia diluluskan untuk digunakan oleh orang ramai.

Managing Side Effects Of Medicines

Apa Itu Kesan Sampingan Ubat-ubatan

Kesan sampingan ubat-ubatan ialah kesan ubat yang tidak diingini berlaku ketika pengambilan ubat pada dos yang betul. Ia boleh dijangka, boleh membawa faedah atau kemudaratan, dan berlaku bergantung kepada cara ubat bertindak di dalam badan. Ini bermaksud sekiranya anda mengalami kesan sampingan daripada sejenis ubat, anda juga berkemungkinan untuk mengalami kesan yang sama daripada ubat lain yang bertindak dengan cara yang sama dengan ubat tersebut. Kebanyakan kesan sampingan adalah tidak menyenangkan seperti muntah, pening atau pendarahan saluran gastrousus.

Sesetengah kesan sampingan adalah biasa dan ada yang jarang berlaku. Ia boleh berlaku sebaik sahaja anda mula mengambil ubat tersebut, atau hanya berlaku selepas beberapa minggu atau bulan. Kesan sampingan boleh hilang selepas beberapa hari kerana badan anda telah biasa dengan ubat tersebut, atau tidak hilang sehingga memerlukan anda untuk berjumpa dengan doktor atau ahli farmasi.

Apakah Beza Kesan Sampingan Dengan Kesan Adverse Ubat (ADR)?

ADR juga ialah kesan yang tidak diingini berlaku ketika pengambilan ubat pada dos yang betul. Namun, berbanding kesan sampingan, ia membawa kemudaratan, tidak semestinya bergantung kepada cara ubat bertindak di dalam badan dan tidak boleh dijangka atau diterangkan. Sebagai contoh, Aspirin boleh menyebabkan gastrik (kesan sampingan) dan juga kegatalan kulit yang serius (ADR).

Bagaimana Untuk Mengesan Kesan Sampingan

Apabila anda perlu mengambil sesuatu ubat, anda perlu mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang perubahan atau gejala baru pada diri anda setelah mula mengambil ubat tersebut. Walau bagaimanapun, agak sukar bagi anda membezakan antara kesan sampingan, interaksi ubat atau masalah kesihatan anda. Justeru anda perlu mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sekiranya terdapat sebarang perubahan pada diri anda selepas mengambil ubat.

Bagaimana Untuk Mengurangkan Risiko Mendapat Kesan Sampingan

  • Kenali ubat yang anda ambil. Pastikan anda mempunyai senarai semua ubatan yang diambil. Bawa ia ketika anda berjumpa dengan doktor atau ahli farmasi untuk mengelakkan interaksi ubat.
  • Baca label dan patuhi arahan. Ambil ubat mengikut dos dan arahan pengambilan samada sebelum atau selepas makan, atau pada masa tertentu bagi mengurangkan kesan sampingan ubat. Belajar untuk mengetahui serba sedikit mengenai kesan sampingan ubat tersebut melalui kertas sisipan yang diberikan.
  • Ketahui sejarah penyakit dan kesihatan anda. Pastikan anda memberitahu doktor atau ahli farmasi mengenai keadaan penyakit, alahan atau kesan sampingan ubat yang pernah dialami sebelum ini.
  • Kurangkan penggunaan ubat tanpa preskripsi melainkan jika anda sangat memerlukannya.

Pesakit Yang Berisiko Tinggi Untuk Mengalami Kesan Sampingan

  • Pesakit warga emas . Semakin berusia, fungsi organ dalam badan boleh berubah dan memberi kesan terhadap kesan ubat.
  • Pesakit yang mempunyai banyak masalah kesihatan.
  • Pesakit yang perlu mengambil berbagai-bagai jenis ubat. Pelbagai ubat yang diambil bersama boleh menyebabkan interaksi ubat.
  • Pesakit dengan masalah hati atau ginjal. Masalah hati atau ginjal boleh menyebabkan perubahan dalam pemprosesan atau penyingkiran ubat. Sesetengah ubat mungkin memerlukan pengubahsuaian dos.

Contoh-contoh Kesan Sampingan

Kesan Sampingan Contoh Ubat Cara Mengurang / Mengelakkan Kesan Sampingan
Loya dan muntah Antibiotik, allopurinol, madopar, tramadol –   Ambil selepas makan

–   Ambil bersama ubat tahan muntah apabila perlu

 

Gastrik Aspirin, NSAIDs, korticosteroid –   Ambil bersama makanan

–   Ambil bersama ubat mencegah gastrik apabila perlu

–   Gunakan ubat tahan sakit alternatif yang kurang menyebabkan kesan pada perut

 

Pening dan mengantuk Antihistamin seperti diphehydramine atau chlorpheniramine –   Ambil pada waktu malam sebelum tidur

–   Elak daripada memandu dan mengendalikan mesin

 

Sembelit Tablet zat besi, tramadol, opioids –   Ambil bersama air yang banyak

–   Makan makanan tinggi fiber

–   Ambil ubat pelawas apabila perlu

 

Hypoglisemia Ubat kencing manis seperti gliclazide, glibenclamide, insulin –   Ambil minuman bergula sekiranya mengalami gejala hipoglisemia

–   Pastikan anda makan selepas injeksi insulin

 

Sekiranya kesan sampingan yang dialami adalah teruk atau berlarutan, sila dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi.

Managing Side Effects Of Medicines2

RUJUKAN:

  1. Understanding side effects of medications. Australian self medications industry inc. June 2011.
  2. VA centre for medication safety (2006). Adverse drug events, adverse drug reactions and medication errors.
  3. William smith (2013). Adverse drug reactions. Allergy? Side effects? Intolerance?
Semakan Akhir : 17 Jun 2015
Penulis : Norulsaffia bt. Ahmad
Akreditor : Nor Aida bt. Sanusi

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,184,714

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia