Home > Umum > Forensik > Upacara Terakhir

Upacara Terakhir

Pengurusan Jenazah / Mayat – Upacara Terakhir

Pengenalan

Pengurusan jenazah /mayat merupakan satu kewajipan bagi orang yang hidup terhadap orang telah meninggal dunia. Dalam Islam, pengurusan jenazah merupakan fardhu kifayah dan wajib disempurnakan sebelum jenazah itu dikebumikan. Bahkan dalam anutan lain sekalipun, pengurusan jenazah adalah sebagai penghormatan terakhir bagi orang yang hidup kepada orang yang telah mati. Salah satu perkara yang termasuk dalam pengurusan jenazah ini adalah upacara terakhir atau Last rites.

Last rites adalah berbeza mengikut anutan dan budaya si mati. Di Malaysia, agama Islam dan anutan lain yang utama iaitu Kristian, Buddha dan juga anutan lain mempunyai cara yang tersendiri.

Sebagai satu penghormatan terakhir untuk orang yang telah mati, bagi si mati yang beragama Islam, adalah menjadi kewajipan bagi oaring yang hidup melakukan empat perkara fardhu terhadap si mati. Kefardhuan tersebut adalah memandikan jenazah, mengkafankan jenazah, solat jenazah, dan mengebumikan jenazah. Kefardhuan ini dilakukan mengikut urutan dari memandikan jenazah hinggalah kepada proses pengebumian.

Bagi si mati yang bukan Islam, upacara terakhir adalah mengikut anutan dan kepercayaan masing-masing namun masih tidak lari daripada penghormatan terakhir kepada si mati yang harus dilakukan dengan penuh rasa hormat.

Upacara terakhir di Wad

Upacara terakhir yang dijalankan di wad bagi pesakit yang nazak dilakukan di katil masing-masing tetapi haruslah dilakukan dengan mengurangkan sentuhan secara lansung dengan pesakit. Contohnya, bagi pesakit yang nazak yang merupakan penganut Kristian, pesakit yang nazak ini akan disuap dengan roti atau wafer yang lembut yang direndam dalam wain dan dimasukkan ke dalam mulut pesakit sama ada melalui sentuhan lansung atau tidak lansung (menggunakan tiub). Bagi penganut Hindu pula, susu akan disuap menggunakan sudu dan bagi penganut Buddha, mereka akan melaungkan ayat suci kepada orang yang sedang nazak.

Bagi orang Islam, orang yang sedang nazak akan dibaringkan di atas lambung kanan/sisi kanan dan diajar mengucap dua kalimah syahadah dengan lemah lembut dan perlahan-lahan di samping dibacakan surah Yasin.

Di Mortuari

Selepas pesakit meninggal di wad, mereka akan dibawa ke mortuari dan beberapa prosedur akan dijalankan juga mengikut anutan dan budaya masing-masing. Bagi penganut Kristian, Buddha dan Hindu, si mati akan dimandikan oleh mereka yang telah arif dalam pengurusan mayat anutan masing-masing. Ketika di mortuari, satu atau dua waris/saudara terdekat pada si mati dibenarkan untuk menyaksikan proses ini. Selepas proses memandikan selesai, tiada lagi proses pemandian yang kedua selepas dibawa pulang ke rumah dan sebaliknya.

Bagi orang Islam, selepas seseorang itu meninggal, adalah sunat untuk memejamkan mata dan mengikat rahang, melembutkan sendi-sendinya, meletakkan sesuatu yang sederhana berat di atas perut, menanggalkan pakaian dan menutupnya dengan kain yang nipis dan diletakkan di tempat yang lebih tinggi dan dihadapkan ke arah kiblat. Sebelum jenazah dimandikan, dagunya diikat dan disimpul atas ubunnya untuk memastikan mulutnya tertutup. Antara perkara lain yang perlu dilakukan sebelum jenazah dimandikan ialah rapatkan mulut, letakkan tangan seperti dalam solat, luruskan kaki, rapatkan kedua-dua belah mata dan mengikat kedua ibu jari kaki untuk merapatkan kedua-dua kaki. Setelah beberapa perkara ini dilaksanakan, kemudian jenazah akan dimandikan mengikut syariat Islam.

Pengendalian Mayat Mengikut Anutan

Bagi penganut Kristian dan Buddha, selepas si mati dimandikan, mereka akan dipakaikan pakaian mengikut keutamaan dan seterusnya akan diletakkan dalam body bag dan dizipkan ke atas hingga aras atas dada dan bahagian tepi body bag itu dilipat dengan kemas atau ditempatkan didalam keranda.

Bagi si mati yang merupakan penganut Hindu, jari kaki akan diikat bersama dan tangan akan diletakkan pada kedudukan yang telah ditetapkan jika berupaya. Si mati seterusnya akan dibalut dengan kain dan diletakkan dalam body bag dan dizipkan hingga ke aras atas dada dan bahagian tepi bag dilipat dengan kemas sekeliling kepala.

Bagi jenazah Islam, selepas dimandikan, jenazah akan dikafankan dengan kain yang berwarna putih yang boleh menutup dan membalut jenazah dari kepala hingga ke hujung kaki. Kadar kafan adalah mengikut syariat Islam. Apabila jenazah sudah sedia untuk diusung atau disolatkan, bahagian leher dan kepala diikatkan dan disapu minyak wangi dan direnjis air mawar.

Pengebumian Jenazah 

Selepas si mati dimandikan dan dipersiapkan mengikut anutan masing-masing, si mati akan dipindahkan ke dalam keranda. Sekiranya tidak terdapat keranda, body bag boleh digunakan. Seterusnya, untuk proses pengebumian, si mati akan dibawa ke tanah perkuburan atau krematorium. Body bag atau keranda tidak boleh sama sekali dipindahkan atau diubah semasa dalam proses pengangkutan dan pengendalian dan harus dikebumikan atau dibakar bersama.

Proses pengebumian atau pembakaran haruslah dilakukan dalam tempoh 24 jam. Sekiranya terdapat keperluan untuk menangguhkan pengebumian, mestilah mendapat kebenaran dari pihak berkuasa dan jabatan kesihatan yang terlibat.

Bagi jenazah Islam, jenazah dikebumikan dalam satu lubang yang kedalamannya tidak boleh digali oleh haiwan dan hilang segala bauan yang kurang menyenangkan. Jenazah juga dikebumikan menghadap kiblat. Kedalaman lubang kubur adalah sebaik-baiknya lebih kurang 6 kaki. Proses pengebumian jenazah Islam hendaklah mengikut syariat Islam dengan melaksanakan perkara yang sunat dan wajib.

Upacara Terakhir bagi Kes Berisiko Tinggi

Bagi kes yang berisiko tinggi seperti HIV/AIDS yang merupakan penyakit yang berjangkit melalui cecair badan seperti darah, semen dan rembesan vagina melalui perkongsian jarum dan juga hubungan seks, pengendalian jenazah yang dijangkiti oleh penyakit ini cenderung kepada transmisi kepada jangkitan ini. Oleh itu, pihak yang mengendalikan pengurusan jenazah ini haruslah mengambil kira segala faktor pencegahan bagi mengelakkan darah atau cecair badan daripada berhubung secara terus dengan kulit dan mebran mukus.

Antara garis panduan yang harus dipatuhi dalam mengendalikan jenazah yang berisiko tinggi adalah:

  • Meminimumkan bilangan orang yang terlibat dalam pengendalian jenazah (tidak lebih 4 orang, keutamaan kepada waris terdekat).
  • Orang perseorangan yang mengendalikan jenazah tidak mempunyai luka. Jika ada, hendaklah menggunakan plaster kalis air.
  • Memakai peralatan perlindungan seperti but getah, apron, topeng muka, dan 2 lapis sarung tangan
  • Semua pakaian yang dipakai oleh si mati ditanggalkan dan direndam selama 20 minit dalam larutan sodium hypochlorite ( 1:9 v/v, bleach: air)
  • Letakkan si mati dalam tab mandi / bekas yang cukup untuk diletakkan air basuhan
  • Basuh badan si mati dengan sodium hipoklorit (nisbah 1:9) dan proses pemandian dipantau oleh inspektor kesihatan
  • Jika perlu mencuci bahagian kaviti dan bahagian terbuka lain, hendaklah menggunakan forsep dengan span
  • Tutupkan bahagian yang terbuka dengan kapas yang direndam dalam sodium hipoklorit diikuti kapas yang kering dan bersih sebagai lapisan kedua.
  • Balutkan badan si mati pada lapisan plastik sebelum dipakaikan pakaian/kain kafan.
  • Selepas dibalut dengan plastik, barulah dipakaikan pakaian atau kain kafan dan dimasukkan dalam keranda yang dilapisi lapisan plastik yang mempunyai ketebalan yang cukup (e.g. 0.26 mm).
  • Sedia untuk dibawa ke tempat pengebumian untuk pengebumian atau pembakaran.

Bagi proses pengebumian, sangat disarankan agar si mati dikebumikan atau dibakar mengikut anutan dalam tempoh 24 jam.

Proses Membawa Pulang Jenazah dalam Negeri / Luar Negeri / Luar Negara

Bagi jenazah yang hendak dibawa pulang sama ada dalam negeri atau luar negeri, sekiranya upacara terakhir belum dijalankan, jenazah haruslah diletakkan dalam body bag. Tetapi sekiranya upacara terakhir telah dijalankan sebelum dihantar pulang, dan jenazah dibalut dengan plastik, tidak pelu diletakkan dalam body bag. Kemudian, barulah jenazah itu dipindahkan dalam keranda sekiranya ada, jika tiada keranda, memadai diletakkan dalam body bag yang dimeterai sepenuhnya. Selepas dimasukkan dalam keranda, barulah dibawa ke tempat pengebumian atau tempat pembakaran. Pengebumian dan pembakaran dilakukan dalam tempoh 24 jam sebaik tiba.

Bagi jenazah yang akan dihantar ke luar negara, beberapa prosedur haruslah dipatuhi bagi memastikan proses membawa pulang jenazah berjalan lancar. Pengendalian jenazah ke luar negara membabitkan pihak kedutaan di mana pihak kedutaan hendaklah diberitahu pengesahan status kerakyatan sebelum jenazah diserahkan kepada pihak yang menuntut. Pihak yang menuntut akan berurusan dengan pihak yang telah diberikan autoriti berdasarkan Garis Panduan Pengimportan Atau Pengeksportan Mayat Atau Mana-mana Bahagiannya (Edisi Pertama) 2006. Selain itu, pihak Kedutaan / Konsulat hendaklah diberitahu sebelum penghantaran jenazah dilakukan.

Dokumen kematian bagi penghantaran pulang jenazah ke luar negara mestilah disemak bagi memastikan semua dokumen dikepilkan bersama iaitu sijil kematian, sijil kebenaran pengebumian, sijil Embalming, surat kebenaran kedutaan, salinan passport atau dokumen perjalanan si mati. Jenazah yang mempunyai penyakit berjangkit akan dirujuk kepada Pegawai Kesihatan Daerah / Pengarah Hospital manakala yang tidak mempunyai penyakit berjangkit akan terus diperiksa keranda dan sekiranya memuaskan keranda akan dibalut dan permit akan dikeluarkan. Sekiranya tidak memuaskan arahan kerja kontainmen dijalankan sebelum keranda dibalut dan permit dikeluarkan.  Kerja-kerja kontainmen akan dijalankan mengikut garis panduan pengendalian mayat mati akibat penyakit berjangkit.

Perkhidmatan Hospital (Unit Angkut)

Kenderaan Jenazah dan Kadar Caj

Secara umumnya adalah menjadi polisi Kementerian Kesihatan setakat ini untuk tidak menyediakan perkhidmatan jenazah sebagai salah satu perkhidmatan yang terdapat di semua hospital. Sebaliknya, pihak hospital lebih bertindak sebagai fasailtator dalam memberi pertolongan kepada keluarga si mati untuk mendapatkan perkhidmatan pengurusan jenazah dari syarikat keranda/kereta jenazah, atau Jabatan Agama Islam, masjid, dan badan-badan bukan kerajaan (NGOs) mengikut kemudahan yang terdapat di sesebuah lokaliti.

Polisi penghantaran pulang jenazah oleh pihak hospital dinyatakan pada para 8.4 Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil. 8/94 bertarikh 25 Oktober 1994 serta Pindaan (Lampiran 1). Merujuk kepada Pekeliling tersebut, terdapat 4 jenis keadaan /kes iaitu ; Kes Rujukan Kerajaan, Kes Bukan Rujukan Kerajaan, Kakitangan Kerajaan yang Meninggal di Hospital dan Kes-kes Kematian yang Tidak Dibawa Ke Hospital.

Bagi hospital yang mempunyai kereta jenazah yang mencukupi, perkhidmatan kereta jenazah/mayat hendaklah mengikut Pekeliling KPK Bil.8/94 dan Pindaan 1995.
Caj yang dikenakan bagi perkhidmatan kenderaan jenazah/mayat ini adalah seperti yang termaktub di dalam Akta Fee 1951, Perintah Fee (Perubatan) 1982 (P.U.(A) 359) pindaan 1994, Jadual H, Bahagian 2 (ii).

Rujukan

  1. Garis Panduan Pengimportan dan Pengeksportan Mayat atau Mana-mana Bahagiannya, Edisi Pertama (2006)
  2. Garis Panduan Pengurusan Perkhidmatan Kereta Jenazah, Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Bil. 14/2001, 8 Jan 2001.
  3. Guidelines for the Management of Non-Muslim Dead Bodies form Health Aspects, AIDS/STD  Section, Ministry Of Health, Malaysia, (2006)
  4. Laws of Malaysia Act 342, Prevention and Control of Infectious Disease Act, 1988.
  5. Panduan Pengurusan & Solat Jenazah, Wholesale Mart Business Sdn. Bhd, (2007)
  6. Standard Operating Procedures of Forensic Medicine Services, Ministry of Health, 2012
Semakan Akhir : 8 September 2015
Penulis / Penterjemah : Ismazarni bt. Ismail
Akreditor : Saravanakumar a/l Maniam
(Visited 595 times, 3 visits today)