Home > Umum > Forensik > Pengumpulan Dan Pemeliharaan Bukti Darah Untuk Analisis Di Makmal Jenayah / Makmal Forensik

Pengumpulan Dan Pemeliharaan Bukti Darah Untuk Analisis Di Makmal Jenayah / Makmal Forensik

Bukti Darah       

Darah merujuk kepada campuran sel, enzim, protein dan bahan bukan organik. Berdasarkan kepada Saferstein (2007), plasma ialah cecair darah yang mengandungi sel darah merah, sel darah putih dan platlet. Manakala, antigen biasanya protein diatas permukaan darah yang bertanggungjawab untuk jenis darah. (Saferstein, 2007, p.347). Darah juga mempunyai ciri-ciri fizikal tersendiri seperti kepekatan, ketumpatan, regangan permukaan dan lain-lain. Pada masa dahulu, darah mungkin tidak berguna dalam kejadian jenaya. Namun, pada masa sekarang, darah ialah bukti biologikal yang sering ditemui di tempat kejadian.

Dalam bidang forensik, bukti darah boleh dibahagikan kepada tompokan darah yang kering dan tompokan darah yang basah. Darah yang basah mempunyai nilai yang lebih berbanding darah yang kering kerana lebih banyak test boleh dilakukan. Contohnya, kandungan alkohol dan dadah hanya boleh diperoleh daripada darah yang basah sahaja. Namun, darah mulai mengering selepas 3 hingga 5 minit terdedah kepada udara. Setelah kering, ia berubah warna kepada warna koko (perang) dan hitam. Tompokan darah yang basah mempunyai kelebihan berbanding darah yang kering, Schiro menerangkan bahawa ruang simpanan yang sedikit diperlukan kerana ia berada dalam bentuk cecair. Kelemahannya pula memerlukan pengutip bukti supaya mengumpul tompokan dan control yang perlu terlibat secara langsung dengan tompokan darah.

Sekiranya darah yang basah tidak didapati, Saferstein (2007) mencadangkan supaya tompokan darah yang kering boleh didapati dengan mengambil dari permukaan dengan menggunakan putik kapas yang telah disteril yang dibilas dengan air yang telah ditapis. Kemudian, tompokan itu dikeringkan balik. (Saferstein, 2007, p.413). Schiro menerangkan bahawa kelebihan darah yang kering memerlukan sentuhan yang minimal dengan tompokan darah kerana ia telah kering dan bukan dalam keadaan cecair. Sebaliknya, kelemahan tompokan darah yang telah kering memerlukan ruang simpanan yang lebih.


Gambar 1 : Bukti bahan darah di tempat kejadian
(Sumber : www.advancedbio-treatment.com)

Cara untuk Mengambil dan Pemeliharaan Darah yang Diambil dari Badan

Berdasarkan prinsip pertukaran Locard, setiap sentuhan meninggalkan kesan. Besar kemungkinannya, darah akan dipindahkan antara mangsa dan suspek semasa pergelutan.

Mangsa perlu menjalani pemeriksaan perubatan secepat mungkin untuk pengumpulan bukti fizikal. Saferstein menerangkan bahawa untuk pengumpulan sampel darah, sekurang-kurangnya 20 milliliter darah diambil dan diletakkan ke dalam tiub kedap udara yang mengandungi bahan pengawet darah, EDTA. Sampel darah boleh digunakan untuk ujian DNA atau analisis toksikologi (Saferstein, 2007, p.374).

Bagi mangsa yang telah mati, cara terbaik ialah mengutip sampel darah daripada bahagian badan yang berlainan. Darah boleh diambil daripada jantung, kaki dan lengan. Apabila darah diambil daripada badan, ia harus dimaterai dalam tiub kedap udara yang berlainan selepas ditambah agen anti pengumpalan dan agen pengawet. Kemudian, darah harus disimpan dalam peti sejuk sehingga proses penghantaran ke makmal.

Cara untuk Mengambil dan Mengawet Darah yang Diambil dari Tempat Kejadian

Kehadiran dan ketidakhadiran tompokan darah selalunya menghadirkan banyak maklumat yang boleh menolong proses penyiasatan. Laux menerangkan sebarang tompokan di tempat kejadian yang berkemungkinan menjadi darah perlu diidentifikasi. Tompokan darah seharusnya tidak dicemari dengan sebarang reagen (Laux, 1991). Beberapa langkah berjaga-jaga seharusnya diambil untuk mengutip dan melindungi tompokan darah di tempat kejadian.

Di tempat kejadian, semasa mengumpul sampel darah, beberapa langkah berjaga-jaga yang ringkas perlu diamalkan untuk mengelakkan atau mengurangkan pencemaran sampel darah. Pertama, sarung tangan perlu dipakai semasa mengumpul sampel darah dan keduanya, setiap bukti perlu dibungkus secara berasingan dalam bekas pengudaraan yang tersendiri. Sampel darah seharusnya tidak disimpan di dalam plastik atau bekas yang tertutup kerana ia boleh menyumbang kepada pembiakan bakteria pemusnah DNA dan fungi yang disebabkan oleh pengumpulan udara yang lembap.

Kuantiti darah ditempat kejadian bergantung kepada struktur permukaan. Tompokan darah mudah diperolehi daripada permukaan yang tidak telap air berbanding permukaan yang telap air. Bukti darah juga seharusnya tidak didedahkan kepada suhu yang tinggi.


Gambar 2 : Teknik swab untuk menguumpul bukti darah
(Sumber : imgarcade.com)

Jenis Vacutainers  

Tiub yang digunakan untuk pengumpulan darah dipanggil vacutainer. Vacutainer ialah kaca yang disteril atau plastik dengan penutup dan di dalamnya kedap udara. Terdapat banyak jenis vacutainer yang berfungsi untuk melindungi sampel darah. Tiub vacutainer mengandungi pelbagai bahan tambahan untuk menstabilkan dan mengawet sampel darah sebelum analisis dijalankan di makmal. Vacutainer mempunyai penutup pelbagai warna dengan fungsi masing-masing. Kebiasaannya untuk mengawet sampel darah, penutup botol berwarna kuning, kelabu, jingga, oren dan merah boleh digunakan.

Penutup yang berwarna kelabu mengandung pengawet atau anti-pengumpalan seperti sodium fluoride untuk melindungi pertumbuhan mikroorganisma yang boleh memusnahkan alkohol. Kegagalan untuk menyejukkan darah atau menambah sodium fluoride akan menyebabkan penurunan kepekatan alkohol. Ia sesuai digunakan untuk ujian alkohol dan ujian laktat, tetapi tidak sesuai untuk ujian DNA.

Penutup berwarna jingga mengandungi anti-pengumpalan seperti EDTA (ethylenediamine tetraacetic acid). Anti-pengumpalan ialah bahan yang mencegah pengumpalan darah. Ia akan menghalang aktiviti enzim yang boleh memusnahkan DNA. Walau bagaimanapun, vacutainer harus disejukkan tapi tidak dibekukan semasa menunggu penghantaran sampel ke makmal.

Penutup berwarna kuning mengandungi sitrik asid sebagai bahan campuran. Vacutainer jenis ini digunakan untuk menguji DNA darah, ujian serologikal dan paras asid fosfatase. Penutup bewarna kuning mengandungi serum gel pemisahan. Vacutainer jenis ini juga digunakan untuk ujian serum.

Akhir sekali, penutup berwarna merah tidak mengandungi sebarang bahan campuran atau anti-pengumpalan. Ia digunakan untuk mengumpul serum untuk ujian kimia. Ia berguna untuk ujian serologikal untuk ujian kehamilan dan ujian HIV, tetapi tidak sesuai untuk ujian DNA.

Setelah sampel diletakkan ke dalam vacutainer, tiub digoncang secara menyongsang selama 5 hingga 10 minit untuk menghalang darah daripada bergumpal.


Gambar 3 : Jenis-jenis Vacutainer
(Sumber : www.bio-x.in)

Penghantaran Bukti Ke Makmal     

Ujian di makmal adalah lebih sensitif berbanding ujian yang dijalankan di tempat kejadian. Maka, bukti cecair terutamanya darah perlu dihantar ke makmal. Bukti darah mempunyai nilai yang tinggi. Disebabkan itu, darah pada pakaian yang didapati pada mangsa dan suspek seharusnya dikumpul dan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan selanjutnya. Pemeriksaan di makmal lebih menyeluruh berbanding dengan pemeriksaan yang dijalankan di tempat kejadian. Sebelum dihantar ke makmal, semua bukti darah perlu diperiksa untuk memastikan semua sampel tidak hilang semasa proses penghantaran. Semua bukti seharusnya dihantar ke makmal secepat mungkin. Kebiasaannya , sampel dihantar ke makmal oleh polis.

Di makmal, banyak ujian yang boleh dijalankan ke atas sampel darah yang dikutip dari tempat kejadian. Contohnya, ujian warna Castle Mayer digunakan untuk membezakan sama ada tompokan tersebut ialah darah ataupun tidak. Untuk kumpulan darah, kit ujian boleh digunakan untuk membezakan kumpulan darah utama, iaitu A, B, O and AB.

Tempoh Simpanan Bukti di Makmal

Bahan bukti disimpan di makmal untuk tempoh yang berbeza bergantung kepada jenis sampel dan prosedur makmal.

Pelupusan Bukti

Pelupusan bermakna menyerahkan kembali bukti kepada tuannya atau organisasi yang meminta ujian tersebut. Sesetengah makmal mempunyai masalah ruang untuk menyimpan sampel dalam tempoh tertentu. Kemudian, mereka akan memulangkan bukti berserta keputusan analisis.

Sesetengah makmal menyimpan sampel untuk tempoh tertentu sebelum dilupuskan. Semua sampel akan diletakkan di dalam beg biohazard sebelum dilupuskan mengikut prosedur pelupusan.

Langkah Pencegahan semasa Mengendalikan Bukti Darah

Saferstein menerangkan bahawa bukti darah seharusnya dikumpul oleh seberapa minimum orang yang boleh untuk mengurangkan risiko pencemaran. (Saferstein, 2007, p.413). Semua sampel harus dianggap boleh mendatangkan infeksi, maka pemakaian sarung tangan diperlukan semasa mengumpul bukti darah. Individu yang mengendalikan bahan bukti darah perlu sentiasa menukar sarung tangan. Ia juga mengurangkan pencemaran bukti semasa penggumpulan bukti. Langkah keselamatan lain seperti memakai topeng muka dan kasut bertutup semasa mengumpul bukti darah seharusnya diamalkan. Disebabkan bukti darah boleh membekalkan maklumat yang boleh menyelesaikan kes jenayah, rantaian bahan bukti perlu dilengkapkan semasa mengendalikan bukti darah untuk memastikan bukti yang dikumpul di tempat kejadian sama dengan bukti yang dipersembahkan di mahkamah. Ketepatan rantaian bahan bukti membolehkan sampel dijejaki semenjak ia dikumpul daripada tempat kejadian. Maka, semua proses dokumentasi harus dilakukan dengan betul.

Rujukan

  1. Laux, D. L. (1991). Effects of luminol on the subsequent analysis of bloodstains. Jurnal Forensic Science, 36, 1512-20.
  2. Saferstein R. Criminalistic : An Introduction to Forensic Science. London : Prentice Hall International (UK) Limited, 2004.
  3. Schiro, G. Collection and Preservation of Blood Evidence from Crime Scenes. Forensic Scientist Louisiana State Police Crime Laboratory. Retrieved February 24 2015 from http://www.crime-scene-investigator.net/blood.html.
  4. Vacuntainer. In Wikipedia online. Retrieved February 24, 2015, from http://en.wikipedia.org/wiki/vacuntainer.
Semakan Akhir : 19 Mei 2015
Penulis / Penterjemah : Syed Ahmad Nazmi bin Sayed Mohamad
Akreditor : Khoo Lay See