A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penguatkuasaan
  6. /
  7. Penguatkuasaan Penjualan Rokok Yang...

Penguatkuasaan Penjualan Rokok Yang Menyalahi Undang-Undang

Pengenalan

Perdagangan rokok tidak sah ditakrifkan sebagai “pengeluaran, import, pembelian, jualan atau pemilikan hasil tembakau yang gagal mematuhi perundangan” (FATF, 2012). Aktiviti perdagangan rokok tidak sah, terbahagi kepada 3 kategori :

  1. Kontraban: rokok yang diseludup dari luar negara tanpa duti domestik berbayar.
  2. Palsu: rokok yang dikilangkan tanpa pengesahan pemilik yang sah, bertujuan untuk menipu pengguna.
  3. Rokok seludup putih: jenama yang dikilangkan secara sah di sesebuah negara, tetapi diseludup dan dijual kepada yang lain tanpa duti berbayar.

Perdagangan tembakau tidak sah dipacu oleh bekalan dan permintaan. Ini disebabkan pengguna ingin menjimatkan wang dengan mengelakkan diri daripada cukai ke atas tembakau; dan pembekal mengambil kesempatan terhadap akses mudah di sempadan, margin keuntungan yang tinggi dan kelemahan tindakan jika ditangkap. Rokok tidak sah berharga lebih murah berbanding rokok sah dan tidak menjalani peraturan yang ketat dalam bentuk amaran kesihatan, pemeriksaan produk atau pengesahan umur. Kajian mendapati bahawa peningkatan cukai tembakau tidak menghalang pengguna daripada merokok, malah, pengguna akan mendapatkan jenama yang lebih murah dan rokok tidak sah. Kos pengeluaran yang rendah dan permintaan yang tinggi menjadikan rokok tidak sah antara salah satu barangan yang paling banyak diseludup di dunia (Allen, 2011). Di London sahaja, 85% rokok yang diseludup adalah rokok palsu, sementara UK Border Agency pula menganggarkan lebih kurang 1 juta rokok palsu dirampas setiap hari (ICC, 2007).

Rokok tidak sah terus mendominasi di Malaysia, merangkumi sebanyak 34.5% daripada semua rokok (ITIC, 2013). Dianggarkan sebanyak 7.9 bilion batang rokok yang telah dijual adalah rokok tidak sah. Perdagangan haram terus meluas di Malaysia kerana garis pantainya yang panjang, ia memudahkan penghantaran barangan dibuat dari negara jiran seperti kretek dari Indonesia, kemudian masuk ke negeri-negeri Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak (Rejab dan Zain, 2006).

Melalui perjanjian WHO Framework Convention On Tobacco Control 2003, Jawatankuasa Pemandu FCTC bil. 2/2015 telah bersetuju memperkukuhkan beberapa aspek kawalan tembakau seperti yang telah digariskan dalam perjanjian tersebut. Antaranya ialah dengan menaikkan Harga Minimum Rokok daripada RM 7.00 kepada RM 9.00 bermula 1 Ogos 2015. Seterusnya harga minimum ini akan dinaikkan kepada RM 10.00 bermula 1 Ogos 2016.

Penjualan Rokok Tidak Patuh Peraturan Dalam Pasaran :

  1. Penjualan rokok di bawah harga minimum RM 9.00 di pasaran
    • Kesalahan yang kerap berlaku disebabkan penjualan rokok seludup dan rokok tidak sah dalam negeri.
    • Tidak membayar cukai eksais kepada kastam menyebabkan harga jualan kurang daripada RM 9.00 sekotak/sepeket.
  2. Penjualan rokok tiada “Amaran kesihatan bergambar”
    • Kebanyakan rokok-rokok tidak sah dijual tanpa adanya amaran kesihatan bergambar seperti contoh AMARAN  :
        • Rokok Penyebab Kanser Leher
        • Rokok Penyebab Kanser Paru-paru
        • Rokok Penyebab  Kanser Mulut
        • Rokok Penyebab Penyakit Gangren
        • Rokok Penyebab Keguguran Janin
        • Rokok Penyebab Kelahiran Bayi Pra-Matang
  3. Perkara yang dilarang pada bungkusan atau label hasil tembakau
    • Hasil tembakau tidak boleh mengandungi maklumat palsu, mengelirukan atau memperdaya atau kemungkinan berniat wujudkan tanggapan salah atau palsu berkenaan ciri-ciri, kesan kesihatan, bahaya lain atau kandungan hasil tembakau.
    • Istilah, perkataan atau perihalan yang tidak dibenarkan kerana mewujudkan tanggapan salah atau palsu seperti perkataan MILD, LIGHT, GREAT dan lain-lain.
  4. Pembungkusan rokok
    • Pengilang hendaklah membungkus rokok dalam satu paket yang mengandungi 20 batang rokok di dalam suatu karton yang mengandungi 10 paket rokok.
    • Pembungkusan rokok kurang atau lebih daripadanya adalah menjadi suatu kesalahan. Kebanyakkan rokok seludup mempunyai bilangan batang rokok yang kurang daripada ditetapkan.
  5. Penjualan rokok secara promosi
    • Mempromosikan penjualan hasil tembakau secara langsung atau tidak langsung. Menggunakan mana-mana orang melalui kontrak, perjanjian, persefahaman atau persetujuan, terikat daripada sisi undang-undang atau selainnya bagi tujuan mempromosikan jualan hasil tembakau.
    • Kesalahan ini kerap dikesan menggunakan kaedah harga hasil tembakau yang lebih murah, beli satu percuma satu atau peket kedua lebih murah dan menggunakan pegawai promosi daripada kalangan gadis cantik untuk menarik minat perokok.
  6. Penjualan rokok batang daripada paket yang dibuka
    • Penjualan rokok secara batang daripada paket dibuka adalah dilarang. Semua rokok hendaklah dijual dalam satu paket yang belum dibuka dan mengandungi 20 batang rokok di dalamnya.
    • Kaedah penjualan ini kerap dijalankan kepada remaja dan pelajar-pelajar sekolah yang tiada sumber pendapatan tetap. Penjual boleh mengaut keuntungan berlipat kali ganda daripada hasil jualan rokok “loose pack”. Taktik penjualan tidak secara terang-terangan, sebaliknya rokok “loose pack” disimpan di dalam laci penjual dan hanya dikeluarkan sekiranya diminta oleh pelanggan.
  7. Amaran dan maklumat kesihatan dihalang daripada penglihatan
    • Amaran dan maklumat kesihatan tidak boleh dihalang daripada penglihatan. Penggunaan pembungkus plastik lutsinar pada karton dan kotak rokok dapat membantu peraturan ini dipatuhi.
    • Kesalahan ini kerap dikesan berlaku apabila penjual tidak menyusun kotak rokok yang dipamerkan untuk jualan dengan cara yang betul, terdapat halangan seperti barangan jualan lain atau peralatan pada kotak pameran jualan, paket rokok disimpan di dalam laci jualan dan menggunakan bekas lain yang menarik serta cantik bagi penyimpanan kotak rokok.

Outlet Penjualan  Rokok Tidak Patuh Peraturan Dalam Pasaran :

  • Kedai-kedai runcit kecil yang menjual barangan dapur.
  • Toko ubat atau kedai kecil di kawasan ramai penduduk pendatang asing.
  • Gudang yang tidak bercirikan penjualan atau penyimpanan rokok-rokok tidak sah yang diseludup daripada negara luar.
  • Restoran dan kedai makan yang ada menjual rokok.
  • Kedai serbaneka dan 24 jam.
  • Penjaja statik atau bergerak yang menjual barangan makanan di bahagian luar sekolah.
  • Penjualan secara promosi menggunakan kumpulan wanita cantik yang bergerak daripada satu tempat ke satu tempat lain tanpa outlet jualan tetap.

Contoh Gambar Kesalahan Penjualan Rokok

1

Foto 1: Kesalahan jualan rokok bawah harga minimum

2

Foto 2: Kesalahan jualan rokok tiada amaran kesihatan bergambar

3

Foto 3: Kesalahan jualan rokok tiruan jenama terkenal

4

Foto 4: Kesalahan jualan rokok kurang daripada 20 batang sepeket

Contoh Gambar Tempat Jualan Rokok Tidak Sah Di Pasaran

5

Foto 5: Contoh premis jualan rokok tidak sah (Sumber: Unit Inspektorat Dan Perundangan Negeri Selangor, 2014)

6

Foto 6: Contoh tempat penyembunyian simpanan rokok tidak sah di dalam stor sebuah kedai runcit (Sumber: Unit Inspektorat Dan Perundangan Negeri Selangor, 2014)

 

Rujukan

  1. Allen, E. (2011). The illicit trade in tobacco products and how to tackle it. World Customs Journal, 6(2), 121-130.
  2. Financial Action Task Force. (2012, Jun). FATF Report: Illicit Tobacco Trade. Diambil dari http://www.fatf-gafi.org/media/fatf/documents/reports/Illicit%20Tobacco%20Trade.pdf
  3. Kementerian Kesihatan. (2013). Operasi penguatkuasaan kawalan hasil tembakau 2004 siri 1/2013 ‘Ops Basuh’: Operasi larangan penjualan rokok di bawah harga minimum rokok dan rokok tanpa amaran kesihatan bergambar [Kenyataan akhbar]. Diambil dari http://www.moh.gov.my/attachments/8084.pdf
  4. International Chamber of Commerce. (2007). Counterfeit cigarettes contain disturbing toxic substances. Di ambil dari https://icc-ccs.org/home/news/85-news/360-counterfeit-cigarettes-contain-disturbing-toxic-substances
  5. Internatioinal Tax and Investment Center and Oxford Economics. (2013). Asia-11 Illicit Tobacco Indicator 2011. International Tax and Investment Center and Oxford Economics, 1-132. Diambil dari http://www.pmi.com/eng/tobacco_regulation/illicit_trade/Documents/Asia_11_Illicit_Tobacco_Indicator_2012.pdf
  6. Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2011 (MAS). Diambil dari http://www.moh.gov.my/index.php/database_stores/attach_download/317/36
  7. Rejab, I., & Zain, Z. (2006). Modus Operandi of Cigarette Smuggling. South East Asia Tobacco Control Alliance. Diambil dari https://www.researchgate.net/publication/257756561_The_Modus_Operandi_of_Cigarette_Smuggling_in_Malaysia

 

Semakan Akhir : 28 September 2017
Penulis : Mohd. Sabri bin Redzuan
Akreditor : Mohamad Ridzuan bin Mohamad Salleh

 

Artikel Berkaitan

Melioidosis

Apa itu Melioidosis? Melioidosis, dikenal sebagai penyakit Whitmore (selepas dikenalpasti

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,228,013

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia