A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Ubat Umum
  6. /
  7. Pengendalian Ubat-ubatan Yang Tidak...

Pengendalian Ubat-ubatan Yang Tidak Digunakan

Pengenalan

Isu pencemaran alam sekitar merupakan isu global dan perlu ditangani segera oleh segenap lapisan masyarakat untuk mengelakkan kemusnahan bumi terus belaku. Kita sering dipaparkan dengan berita pencemaran air, pencemaran udara, pencemaran bunyi dan sebagainya.Pencemaran air boleh berlaku akibat pembuangan bahan toksik dan bahan kimia termasuklah ubat-ubatan secara tidak terancang. Sekiranya diperhalusi , tindakan pembuangan ubat-ubatan yang tidak diperlukan lagi secara tidak terancang juga merupakan salah satu titik permulaan pencemaran alam sekitar terutamanya air.

Sebagai pengguna yang bijak dan prihatin kepada isu kesejahteraan kesihatan generasi akan datang , kita perlu mengambil berat aspek pelupusan ubat-ubatan yang tidak diperlukan secara selamat dan mesra alam mengikut garis panduan yang ditetapkan. Kempen pemulangan ubat olen Bahagian Perkhidmatan Farmasi adalah untuk memastikan ubat –ubatan dilupuskan melalui cara yang betul dan selamat.

Selain itu penyimpanan ubat secara berlebihan boleh meningkatkan risiko kesilapan pengubatan.

Punca Ubat Berlebihan

Sebelum ubat dipulangkan kita perlu renung kembali faktor berlakunya ubat yang berlebihan. Lazimnya ubat diberikan oleh doktor secukupnya untuk keperluan kita. Walau bagaimanapun terdapat pelbagai kemungkinan yang boleh menyebabkan ubat disimpan secara berlebihan iaitu:

  • Berhenti mengambil ubat apabila berasa sihat
  • Memperoleh ubat daripada pelbagai sumber
  • Berhenti mengambil ubat kerana tidak yakin pengambilan ubat akan merawat penyakit
  • Berhenti mengambil ubat atas nasihat doktor
  • Tidak mengambil ubat mengikut arahan doktor
  • Pertukaran regimen rawatan
  • Terlupa mengambil ubat
  • Pesakit meninggal dunia

Ubat yang dibekalkan hendaklah dipatuhi arahan pengambilannya agar penyakit sembuh atau terkawal dan sekiranya berlaku sebarang masalah, perlu berbincang dengan doktor dan ahli farmasi.

Risiko Menyimpan Ubat Yang Tidak Diperlukan

Memastikan kabinet ubat anda bersih dan hanya menyimpan ubat yang diperlukan sahaja adalah penting untuk keselamatan pesakit dan keluarga. Kabinet penyimpanan ubat yang tidak terurus boleh meningkatkan risiko keselamtan pengubatan. Adakah kabinet penyimpanan ubat anda mengandungi ubat yang tidak diperlukan dan ubat yang telah luput tarikhnya? Jika ya, anda terdedah kepada risiko berikut:

  • Kesilapan pengambilan ubat seperti terambil ubat yang telah luput tarikhnya
  • Kesilapan mengambil dos atau jenis ubat akibat label yang tidak jelas atau rosak
  • Risiko anak-anak terambil ubat yang berlebihan yang boleh memudaratkan atau menyebabkan keracunan.
  • Pastikan kabinet ubat bersih dan hanya menyimpan ubat yang diperlukan sahaja untuk keselamatan pesakit dan keluarga.

Cara Pengendalian Ubat Yang Tidak Diperlukan

Ubat yang rosak atau tidak diperlukan lagi perlu dibuang secara sistematik dan selamat.Tiga (3) Langkah Bijak Dalam Pengendalian Ubat-ubatan Yang Tidak Diperlukan

  • Langkah 1:Asingkan ubat-ubatan yang telah melepasi tarikh luput,ubat yang tidak digunakan lagi, ubat yang rosak,berubah bentuk fizikal dan warna serta ubat yang disimpan dalam bekas yang kurang jelas labelnya. Masukkan ubat-ubatan yang telah diasingkan ke dalam bekas yang bersesuaian contohnya kotak atau beg kertas.
  • Langkah 2: Bawa ubat tersebut ke farmasi hospital dan klinik kesihatan kerajaan yang berhampiran untuk tindakan selanjutnya.
  • Langkah3:Uar-uarkan kepada saudara mara, kawan serta jiran anda berkenaan program pemulangan ubat kepada farmasi.

Kebaikan Pelupusan Ubat Secara Terancang

Ubat yang dikumpulkan di farmasi akan dilupuskan mengikut garis panduan untuk mengurangkan risiko pencemaran.

Banyak kebaikan dan manfaat dapat sama-sama kita rasai, antaranya adalah:

  • Memastikan kita dan generasi akan datang dapat menikmati alam sekitar yang bersih dan terpelihara.
  • Memastikan ubat tidak digunakan oleh individu berkepentingan.
  • Mengurangkan kos rawatan air. Kita harus akur bahawa penyingkiran punca pencemaran farmaseutikal adalah lebih mudah daripada menanggung kos perawatan air yang tinggi seandainya sumber air kita tercemar.

Tips Kepada Pengguna

  • Pemeriksaan tempat penyimpanan ubat di rumah perlu dilakukan secara berkala bagi mengelakkan penyimpanan ubat-ubatan yang tidak diperlukan.
  • Pembuangan ubat ke dalam tong sampah adalah tidak digalakkan.Anda perlu tahu bahawa sisa ubat-ubatan tersebut akan dibuang ke kawasan pelupusan sampah dan seterusnya menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Selain itu, penyalahgunaan, bekas atau kotak ubat yang telah dibuang oleh individu tertentu juga ada kemungkinan boleh berlaku.
  • Ambil peluang Program Pemulangan Ubat yang dianjurkan oleh hospital dan klinik kesihatan kerajaan berhampiran anda.
  • Buang maklumat diri anda pada bekas ubat bagi melindungi identiti dan kerahsiaan maklumat pengubatan anda.
  • Jangan memberi baki ubat kepada ahli keluarga atau kawan anda. Doktor mempreskripsi ubat kepada pesakit tertentu berdasarkan keadaan penyakit spesifik kepada individu tersebut. Ingat! Ubat yang berkesan kepada anda mungkin membahayakan orang lain.
  • Hubungi ahli farmasi jika anda mengalami masalah dengan pengendalian ubat-ubatan yang tidak diperlukan.

Kesimpulan

Alam kita hanya satu, oleh itu sama-samalah kita pelihara dan menjaganya. Walaupun kita tidak mampu menyumbang banyak.. mulakan dengan mengendalikan ubat-ubatan yang tidak perlu dengan cara yang betul. Ambil peluang program pemulangan ubat ke fasiliti kesihatan berdekatan anda.

Semakan Akhir : 23 April 2014
Penulis : Munira bt. Muhammad
Penyemak : Yam Chiew Fong

 

Artikel Berkaitan

Orlistat

Apa Itu Orlistat? Orlistat merupakan ubat yang tergolong dalam kumpulan

Antikolesterol

Pengenalan Antikolesterol adalah ubat yang digunakan untuk menurunkan paras kolesterol

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 721,423,003

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 10:32:39
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia