Home > Umum > Forensik > Pengendalian Mayat Tidak Dituntut

Pengendalian Mayat Tidak Dituntut

Pengenalan

Penerimaan mayat yang tidak diketahui identitinya (‘Unknown’) dari dalam hospital atau dibawa oleh polis akan didaftarkan di dalam Buku Daftar Kematian.

Sekiranya mayat tidak dituntut selepas tiga hari dari tempoh masa penerimaan mayat, ia diklasifikasikan sebagai mayat tidak dituntut.

Pengendalian mayat tidak dituntut adalah penting bagi mengoptimumkan pengurusan kos yang ditanggung oleh hospital, tempat simpanan mayat yang terhad, menangani isu kelewatan urusan dan memerlukan kerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan.

Pihak hospital akan memohon bantuan polis dalam pengenalpastian identiti dan pengesanan waris.

Usaha mencari waris bagi mayat yang tidak dituntut termasuklah pengiklanan di dalam akhbar-akhbar utama.

Jenazah Islam

Jenazah akan terus disimpan di dalam peti sejuk simpanan mayat sekurang-kurangnya tiga (3) hari sementara menunggu jawapan daripada usaha pengesanan waris yang telah dilakukan.

Mayat Bukan Islam

Mayat akan terus disimpan di dalam peti sejuk simpanan mayat sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sementara menunggu jawapan daripada usaha pengesanan waris yang telah dilakukan.

Tuntutan Mayat

Sekiranya tiada waris yang datang menuntut dalam tempoh masa tersebut, salinan Permit Mengubur dibuat dan kelulusan untuk pengurusan terakhir mayat tersebut didapatkan daripada pegawai penyiasat polis atau majistret.

Laporan keadaan mayat yang tidak dituntut lebih dari empat belas (14) hari akan diberikan kepada Pengarah Hospital.

Penyerahan Kepada Universiti Bagi Tujuan Akademik

Kriteria kesesuaian mayat untuk didermakan kepada universiti bagi tujuan pembelajaran atau penyelidikan adalah seperti berikut:

  • Mayat bukan mayat orang Islam.
  • Mayat tidak dituntut lebih dari 14 hari.
  • Si mati semasa hidupnya atau waris simati tidak membantah terhadap badannya digunakan selepas kematiannya bagi maksud pendidikan atau penyelidikan perubatan.
  • Bedahsiasat atau “inquest” atau penyiasatan berkenaan dengan kematian di bawah Kanun Acara Jenayah tidak akan diadakan.
  • Tiada waris si mati yang masih hidup untuk menuntut mayatnya dari Jabatan / Unit Perubatan Forensik.

Prosedur penyerahan mayat kepada pihak universiti adalah mengikut Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil. 5/2008 Garis Panduan Penyerahan Mayat Yang Tidak Dituntut Di Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia Kepada Fakulti Perubatan Universiti Tempatan Bagi Maksud Pendidikan Atau Penyelidikan Perubatan.

Pelupusan Mayat

Mayat yang tidak diketahui identitinya (‘Unknown’) yang tidak dituntut akan diuruskan seperti berikut:

  • Bagi jenazah beragama Islam / dipercayai beragama Islam, jenazah bersama dengan Permit Mengubur diserahkan kepada Jabatan Agama Islam bagi tujuan pengebumian.
  • Bagi mayat bukan beragama Islam, mayat tersebut akan diserahkan kepada persatuan agama yang dipercayai dianuti semasa hidupnya bersama dengan Permit Mengubur bagi tujuan pengurusan terakhir mayat tersebut.

Rujukan

  • Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil. 5/2008 Garis Panduan Penyerahan Mayat Yang Tidak Dituntut Di Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia Kepada Fakulti Perubatan Universiti Tempatan Bagi Maksud Pendidikan Atau Penyelidikan Perubatan MOH/P/PAK/164.08 (GU)

 

Semakan Akhir : 6 Mac 2014
Penulis : Salina bt. Hisham