Home > Umum > Forensik > Pengendalian Mayat Berpenyakit Berjangkit

Pengendalian Mayat Berpenyakit Berjangkit

Bagaimana Mengendalikan Mayat Yang Dijangkiti Penyakit Berjangkit Berisiko Tinggi?

Pengenalan

Berdasarkan Garis Panduan Penyakit Berjangkit Berpotensi Edisi 1, Kementerian Kesihatan Malaysia, 2004, penyakit  berjangkit berisiko tinggi adalah sebarang penyakit yang diklasifikasikan di dalam kategori penyakit berjangkit Risiko 3 dan Risiko 4.

Penyakit berjangkit Risiko 3 antaranya terdiri daripada penyakit seperti Tuberkulosis, Human Immunodeficiency Virus (HIV), Hepatitis B (virus) dan Hepatitis C (virus). Penyakit ini disebabkan oleh mikroorganisma yang boleh memberi kesan jangkitan teruk terhadap individu dan berpotensi untuk disebarkan di dalam komuniti. Walau bagaimanapun, langkah perawatan yang sesuai telah disediakan untuk penyakit berjangkit di dalam kategori ini.

Penyakit berjangkit Risiko 4 pula adalah penyakit berjangkit yang menyebabkan kesan jangkitan yang sangat teruk dan tiada langkah rawatan yang berkesan untuk menanganinya. Penyakit ini mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk disebarkan di dalam sesebuah komuniti dalam sklala yang besar. Contoh penyakit adalah seperti Ebola, Marburg, Virus Nipah, Demam Lassa dan Demam Berdarah Congo-Crimea.

Pengendalian mayat yang dijangkiti penyakit berjangkit berisiko tinggi mengikut garis panduan yang telah ditetapkan adalah penting untuk meminimumkan risiko penyebaran jangkitan kepada kakitangan kesihatan yang bertugas dan juga kepada orang awam. Langkah keselamatan dan pencegahan perlu dititikberatkan dengan serius.

Penerimaan Mayat dari Wad Hospital

Mayat dari wad akan dimasukkan ke dalam beg mayat yang tertutup rapi dan akan dilabelkan sebagai mayat berisiko tinggi sebelum diangkut ke bilik mayat. Semua kakitangan yang mengendalikan mayat perlu memakai pakaian pelindung diri yang lengkap mengikut garis panduan yang telah ditetapkan untuk mengelakkan jangkitan.

Pakaian pelindung diri termasuklah topeng muka (N95/100), sut badan pakai buang, apron plastik, sarung tangan dan but. Proses dekontaminasi peralatan  seperti troli mayat akan dilakukan untuk mengurangkan risiko jangkitan. Bahan pembasmi kuman yang digunakan untuk proses dekontaminasi adalah seperti  larutan klorin dan sodium hypochlorite 70%.

Penerimaan Mayat dari Luar Hospital, Kes Brought in Dead (BID)

Langkah pengendalian dan pemakaian pakaian pelindung diri untuk penerimaan mayat dari luar hospital adalah sama seperti ketika penerimaan dan pengambilan mayat dari wad hospital.

Penyimpanan Mayat

Mayat yang diterima di bilik mayat sama ada dari wad atau dari luar hospital akan diserahkan secepat mungkin kepada pihak waris sekiranya waris bersedia untuk menerima mayat berkenaan. Mayat yang tidak mempunyai waris akan disimpan di dalam peti sejuk mayat dan akan dikendalikan sebagai mayat tidak dituntut.

Mayat yang diterima di dalam beg mayat tidak akan dibuka sekiranya tiada keperluan untuk pemeriksaan bedah siasat dan terus disimpan di dalam peti pada suhu 4oC dan dilabelkan biohazard serta dengan maklumat identiti mayat berkenaan. Peti sejuk akan sentiasa dipastikan berfungsi dengan baik dan dinyah kuman sebaik mayat diserahkan kepada pihak berkaitan untuk mengurangkan risiko penyebaran penyakit berjangkit.

Pakaian pelindung diri seperti topeng muka (N95/100), sut badan kalis air, sarung tangan, apron dan but perlu dipakai setiap kali mengendalikan mayat tersebut untuk mengelakkan pendedahan kepada jangkitan penyakit.

Pemeriksaan Bedah Siasat 

Pemeriksaaan bedah siasat hanya akan dilakukan sekiranya telah mendapat borang permohonan atau Police Order (Polis 61). Pemeriksaan bedah siasat bagi mayat berisiko tinggi perlu dijalankan di dalam fasiliti khusus iaitu bilik post mortem Biosafety Level 3 ataupun bilik post mortem Biosafety Level 2 yang telah dinaik taraf. Fasiliti ini mempunyai ciri khusus iaitu pintu masuk dan keluar yang berasingan, sistem pengudaraan berasingan dilengkapi dengan bilik bertekanan negatif, sistem pengurusan sisa klinikal dan sistem saliran berasingan serta ruang membasmi kuman untuk kakitangan yang terlibat dengan pemeriksaan bedah siasat.

Pakaian pelindung diri bagi pemeriksaan bedah siasat mayat yang dijangkiti penyakit berjangkit berisiko tinggi merangkumi sut badan kalis air pakai buang (sut biohazard kelas A, Tyvek Dupont), apron plastik pakai buang, topeng muka (N95/100), alat pernafasan dengan penapis HEPA, penutup kepala bersama visor, dua lapisan sarung tangan dan but anti statik.

Kakitangan yang terlibat di dalam pemeriksaan bedah siasat berisiko tinggi perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan latihan yang mencukupi dalam teknik bedah siasat dan prosedur keselamatan. Pemeriksaan bedah siasat akan dilakukan oleh pegawai perubatan pakar patologi forensik dan dibantu oleh dua kakitangan kesihatan yang lain. Kakitangan yang terlibat (tidak melebihi 3 orang) adalah mengikut keperluan sahaja untuk meminimumkan risiko jangkitan.

Pemeriksaan bedah siasat akan dijalankan di dalam beg mayat tanpa mengeluarkan mayat berkenaan. Proses dekontaminasi fasiliti dan peralatan post mortem akan dilakukan setelah selesai pemeriksaan. Bahan buangan dari proses pemeriksaan termasuklah pakaian pelindung diri pakai buang akan dilabel sebagai bahan buangan berisiko tinggi dan diuruskan secara berasingan dari sisa klinikal biasa.

Mayat yang telah selesai diperiksa akan dimasukkan ke dalam beg mayat sebanyak dua lapisan, ditutup rapi dan dilabel sebagai mayat berisiko tinggi. Mayat yang akan diserahkan terus kepada waris untuk proses pengebumian perlu dimasukkan ke dalam keranda tanpa dibuka ataupun diawet. Sekiranya mayat tidak terus diserahkan kepada waris, mayat akan disimpan di dalam peti sejuk.

Pengendalian Pengambilan Spesimen Bedah Siasat

Terdapat dua jenis spesimen yang akan diambil mengikut keperluan iaitu spesimen mediko legal dan spesimen klinikal. Pengambilan spesimen mediko legal adalah mengikut Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593, Seksyen 331, Bab XXXII). Manakala spesimen klinikal akan diambil mengikut prosedur pengambilan spesimen yang telah ditetapkan oleh makmal yang berkaitan. Fasiliti perlu dilengkapi dengan kabinet keselamatan Jenis 1 atau 2 untuk penyimpanan dan pengendalian spesimen yang diambil.

Langkah keselamatan ketika mengambil dan mengendalikan spesimen perlu diutamakan. Bahan pengawet yang bersesuaian digunakan dan spesimen yang telah diambil perlu dimasukkan di dalam bekas kalis bocor, dilabel dengan maklumat mayat serta label berisiko tinggi dan dimasukkan ke dalam bekas khas untuk penghantaran. Spesimen mediko legal akan diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke makmal berkaitan seperti Jabatan Kimia Malaysia.

Contoh spesimen klinikal yang akan diambil adalah seperti cecair serebrospina (air tulang belakang), swab konjunktiva, swab tekak, cecair pleura daripada paru-paru dan sebagainya. Manakala contoh spesimen mediko legal yang selalu diambil ialah darah dan air kencing. Spesimen mediko legal biasanya diambil untuk analisis toksikologi.

Pengendalian Mayat Tidak Dituntut

Mayat berisiko tinggi yang tidak dituntut akan dikendalikan mengikut Garis Panduan Penyakit Berjangkit Berpotensi Edisi 1, 2004. Garis panduan ini hanya untuk diaplikasikan kepada mayat berisiko tinggi tidak dituntut yang dibawa dari luar hospital dengan tujuan untuk dikebumikan di dalam negara.  Mayat akan disimpan di dalam peti sejuk di dalam beg mayat beserta label maklumat dan label biohazard setelah maklumat ketiadaan waris untuk menerima mayat.

Usaha untuk mengesan pihak waris akan dilakukan dengan kerjasama daripada pihak polis melalui hebahan media. Selepas tempoh tiga hari, mayat berkenaan sama ada beragama Islam atau bukan Islam, akan diklasifikasikan sebagai mayat tidak dituntut. Mayat akan diserahkan kepada jabatan agama mengikut agama masing-masing atau organisasi kebajikan untuk urusan pengebumian.

Penghantaran Mayat ke Luar Negeri atau Negara

Penghantaran mayat berisiko tinggi ke luar negara adalah tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), di mana sebarang penghantaran adalah memerlukan kebenaran daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pihak waris perlu menotifikasi serta mendapatkan kebenaran daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menghantar mayat ke lokasi yang dikehendaki. Permohonan juga akan disemak dan dipastikan mematuhi peraturan atau garis panduan yang telah ditetapkan oleh negara yang akan menerima mayat berkenaan.

Permit kebenaran hanya akan dikeluarkan sekiranya dokumen seperti Sijil Kematian, Permit Menguburkan serta Sijil Pengawetan (jika perlu) adalah lengkap dan keranda yang digunakan untuk mengangkut mayat adalah dalam keadaan yang sempurna. 

Urusan penghantaran mayat berisiko tinggi ke luar negeri atau negara adalah dikendalikan berdasarkan Garis Panduan Pengimportan atau Pengeksportan Mayat Atau Mana-mana Bahagiannya, Edisi Pertama, 2006. Mayat berisiko tinggi yang dihantar perlu dimasukkan ke dalam beg mayat sebelum dimasukkan ke dalam keranda yang telah disediakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Keranda yang digunakan adalah dilengkapi dengan kotak berpenutup yang diperbuat daripada zink dan mempunyai ciri-ciri kedap udara. Mayat akan dialihkan ke dalam kotak zink sebelum dimasukkan ke dalam keranda. Penutup kotak zink akan ditutup dengan menggunakan sealant di semua bahagian yang berpotensi untuk terbuka seperti penutup kotak dan bahagian yang berskru. Setelah memastikan kotak zink berkenaan ditutup rapat dan tiada kebocoran, penutup keranda akan ditutup dan dipakukan.

Mayat yang akan dihantar dengan menaiki kapal terbang perlu dibungkus dengan kain atau guni seperti yang telah ditetapkan oleh syarikat penerbangan. Mayat perlu dikebumikan atau dibakar secepat mungkin sebaik tiba di destinasi yang dikehendaki. Sebarang peralatan atau kenderaan yang digunakan untuk mengendalikan penghantaran mayat perlu didekontaminasi untuk mengelakkan penyebaran jangkitan penyakit berjangkit.

Rujukan

  1. Garis Panduan Pengimportan atau Pengeksportan Mayat Atau Mana-mana Bahagiannya, Edisi Pertama, 2006, Edisi Pertama MOH/K/EPI
  2. Garis Panduan Penyakit Berjangkit Berpotensi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Edisi 1, 2004 (Standard Operating Procedure For Potential Infectious Disease, Ministry of Health Malaysia, First Edition, 2004)
  3. Guidelines for the Management of Non-muslim Dead Bodies From Health Aspects, AIDS/STD Section, Disease Control Division, Department of Public Health, Ministry of Health Malaysia, 2006
  4. Infectious Diseases Outbreak, Rapid Response Manual, Disease Control Division, Ministry of Health Malaysia, 1st edition, June 2003
  5. Policies and Procedures on Infection Control, Ministry of Health Malaysia, Second Edition
  6. Undang-Undang Malaysia: Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta 342 (Laws of Malaysia: Prevention and Control of Infectious Diseases Act 1988, Act 342)
  7. Undang-Undang Malaysia: Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593, Seksyen 331, Bab XXXII) (Laws of Malaysia: Criminal Procedure Code, Act 593, Section 331, Chapter XXXII)
Semakan Akhir : 8 September 2015
Penulis / Penterjemah : Grace Jinang
Akreditor : Saravanakumar a/l Maniam