A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Keselamatan & Kualiti Makanan
  6. /
  7. Pengendalian Makanan Di Rumah...

Pengendalian Makanan Di Rumah Secara Selamat

Pengenalan

Penyediaan makanan di rumah yang selamat dapat mencegah keracunan makanan.

Tahukah anda, seramai 76 juta orang menjadi mangsa keracunan makanan di seluruh dunia setiap tahun?

Kebanyakan kes keracunan makanan terjadi akibat daripada penyediaan makanan yang tidak selamat.

  • makanan menjadi tidak selamat apabila ia dicemari oleh kuman berbahaya atau toksin daripada kuman yang mencemari makanan tersebut.

Awas! Kajian menunjukkan bahawa dapur dan peralatan di dapur mengandungi kuman yang paling banyak di dalam sesebuah rumah.

  • Contohnya sinki dapur didapati mempunyai kuman 100,000 kali lebih tinggi berbanding bilik air.

Ingatlah! Dapur dan peralatan dapur perlu sentiasa berada dalam keadaan yang bersih bagi mengelakkan sebarang pencemaran daripada berlaku.

  • Amalkan clean as you go setiap kali selepas menyediakan makanan bagi memastikan dapur kekal bersih.

  • Rancang untuk membersihkan keseluruhan dapur secara berkala bagi mengelakkan dapur menjadi sarang makhluk perosak.

Berikut adalah antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian bagi memastikan penyediaan makanan adalah selamat :

1. Membasuh Tangan

Tangan kita merupakan salah satu agen untuk menyebarkan kuman. Oleh itu, pastikan tangan kita sentiasa dicuci dengan bersih, iaitu :

  • Sebelum dan selepas mengendalikan makanan.

  • Selepas memegang makanan mentah seperti ikan, daging dan ayam.

  • Selepas menggunakan tandas.

  • Selepas mengendalikan sisa makanan.

  • Selepas menghembus hingus, menggaru kepala atau bahagian badan lain atau mengelap peluh.

  • Selepas mengendalikan bahan kimia yang beracun dan berbahaya.

7 Langkah Membasuh Tangan

Gambar 1 : Tujuh Langkah Membasuh Tangan Yang Betul

 

2. Pra Penyediaan

Keracunan makanan boleh berlaku akibat pencemaran silang. Pencemaran silang ialah makanan yang telah dimasak dicemari oleh bakteria daripada makanan mentah, peralatan yang kotor atau pengendali makanan yang tidak mengamalkan kebersihan diri.

  • Pastikan peralatan memasak berada di dalam keadaan bersih.

  • Gunakan kain lap yang berbeza bagi mengelap peralatan, kaunter dapur/meja dan tangan.

  • Gunakan peralatan yang berasingan bagi makanan mentah dan makanan masak/ makanan sedia dimakan.

  • Letak makanan yang telah dimasak dan makanan mentah di dalam bekas yang berasingan.

  • Makanan perlu dinyah beku dalam tempoh masa yang cepat. Antara cara yang selamat untuk menyahbeku makanan adalah seperti berikut :

    • Meletakkan daging beku di dalam bekas bertutup di bahagian paling bawah peti sejuk.

    • Meletakkan daging beku di dalam bekas yang kalis air di bawah air mengalir.

    • Menggunakan ketuhar gelombang mikro.

    • Elakkan daripada menyah beku makanan beku di dalam suhu bilik (27°C).

    • Jangan bekukan semula makanan yang telah dinyah beku.

 

3. Memasak

  • Pastikan makanan dimasak dengan secukupnya.

  • Bagi makanan yang disediakan dalam kuantiti yang besar, gaul makanan sentiasa bagi memastikan ia masak dengan sekata, atau masaklah dalam kuantiti yang kecil (small batch).

 

4. Penyimpanan Makanan

  • Simpan makanan yang telah dimasak berasingan daripada makanan mentah.

  • Simpan mentega atau marjerin berasingan daripada ikan atau makanan laut yang lain bagi mengelakkan mentega atau marjerin berubah bau.

  • Letak bungkusan makanan di dalam bekas yang bertutup dan susun dengan elok di atas rak, almari atau kaunter dapur.

  • Makanan perlu disimpan mengikut jenis dan suhu yang betul.

  • Makanan sejuk beku perlu disimpan di dalam ruang sejuk beku di dalam bekas yang bertutup atau dibungkus di dalam bungkusan plastik.

  • Makanan panas perlu disejukkan kepada suhu bilik seberapa segera sebelum disimpan di dalam peti sejuk.

  • Jangan simpan bahan kimia seperti bahan pencuci, racun serangga dan pewangi rumah bersama-sama makanan atau peralatan memasak.

  • Gunakan bekas berpenutup atau beg plastik untuk membungkus makanan sebelum disimpan.

Gambar 2 : Cadangan Penyimpanan Makanan di Dalam Peti Sejuk

 

5. Cara Menghidang

  • Tutup makanan yang dihidang.

  • Gunakan sudu, penyepit atau senduk untuk mengambil makanan.

  • Pastikan makanan panas dihidang dalam keadaan panas, dan makanan yang sejuk dihidang dalam keadaan sejuk.

  • Pastikan makanan tidak dihidang melebihi 2 jam pada suhu bilik.

  • Sekiranya perlu dihidang lebih dari 2 jam, panaskan makanan tersebut setiap 2 jam.

 

6. Pencucian dan Sanitasi

  • Cuci peralatan setiap kali sebelum dan selepas menyediakan makanan dan memasak.

  • Pastikan peralatan dibersihkan dan dibilas dengan secukupnya bagi mengelak pencemaran silang.

  • Gunakan tong sampah yang berpenutup dan dilapisi dengan plastik sampah.

  • Kedudukan tong sampah perlu jauh dari tempat penyimpanan makanan.

  • Asingkan sisa makanan daripada sampah kering seperti plastik dan kertas.

  • Buang sampah dengan kerap bagi mengelakkan makhluk perosak.

1) Pra cuci 2) Cuci 3) Bilas 4) Nyah kuman 5) Bilasan akhir 6) Keringkan

Rajah 1 : Langkah-langkah pencucian peralatan yang betul

7. Pengendali Makanan

  • Semasa menyediakan makanan, JANGAN amalkan amalan yang tidak baik seperti berikut :

  • Merokok atau mengunyah gula-gula getah atau sirih.

  • Meludah di dalam sinki yang mengandungi makanan.

  • Batuk atau bersin ke arah makanan.

    • Sekiranya tidak dapat dielakkan, tutup mulut dengan bahagian atas lengan/bahu.

    • Jika menggunakan tangan, cuci tangan dengan bersih selepas batuk atau bersin.

  • Menggaru kepala dan bahagian badan lain.

  • Mengorek hidung atau telinga.

    • Sekiranya tidak dapat dielakkan, cuci tangan dengan bersih selepas mengorek hidung atau telinga.

  • Menjilat jari.

  • Merasa makanan dengan jari.

  • Menghembus ke arah makanan atau ke dalam bekas/beg plastik yang mengandungi makanan.

  • Menggunakan peralatan yang telah pecah atau retak.

  • Menggunakan bekas bahan kimia untuk meletak atau menyimpan makanan.

  • Menggunakan kertas yang bercetak seperti SURAT KHABAR atau majalah untuk membungkus makanan.

 

Kesimpulan

Makanan yang selamat adalah penting untuk kesihatan manusia.

Makanan yang selamat datang daripada :

  1. dapur yang bersih,

  2. peralatan yang bersih, dan

  3. pengendalian makanan yang bersih.


Rujukan :

  1. http://www.nhs.uk/Livewell/homehygiene/Pages/Foodhygiene.aspxhow to prepare and cook  food safely
  2. http://homefoodsafety.org/Home Food Safety
  3. Presentation slides of Food Safety & Quality Division, Ministry of Health, Malaysia.

 

Semakan akhir : 10 Januari 2014
Penulis : Pn. Nuraini binti Ghaifullah

Artikel Berkaitan

Pemakanan Pesakit Strok Di Rumah

Kejadian strok meningkat dengan faktor umur dan sejumlah 75% daripada pesakit yang mengalami strok adalah mereka yang berumur lebih daripada 65 tahun.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,233,079

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia