Home > Ubat & Anda > Kawalan Ubat > Pengendalian aduan produk

Pengendalian aduan produk

Takrifan Aduan

Aduan produk adalah aduan yang diterima oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi berkenaan produk ubat-ubatan di Malaysia dan juga perkara lain yang berkaitan dengan aktiviti penguatkuasaan farmasi. Aduan ini tidak termasuk aduan terhadap perkhidmatan oleh pegawai penguatkuasa farmasi atau pegawai lainnya.

Bagi setiap aduan yang diterima, pengesahan penerimaan aduan akan diberikan. Kemudian, aduan tersebut akan disiasat bagi menentukan kesahihannya. Pengadu akan dihubungi semula apabila siasatan terhadap aduan telah selesai.

Jenis Aduan

Antara aduan yang diterima adalah berkenaan ubat berdaftar, ubat tidak berdaftar, kosmetik, iklan ubat-ubatan dan etika profesional.

  1. Aduan Ubat Berdaftar

    Bahagian ini ada menerima aduan berkenaan ubat-ubatan yang telah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia. Aduan boleh terdiri daripada aduan berkenaan penyalahgunaan ubat berdaftar, penjualan tanpa mengikut peraturan, label produk yang dikhuatiri tidak mengikut spesifikasi dan sebagainya.

  2. Aduan Ubat Tidak Berdaftar

    Kebanyakan aduan yang diterima oleh Bahagian ini adalah dalam kategori ubat yang tidak berdaftar dengan PBKD. Ini termasuklah aduan berkenaan produk ubat-ubatan tradisional, ubat perangsang seks, ubat kurus dan lain-lain yang dijual di kedai-kedai jamu, pasar, di kaki lima dan atas talian.

  3. Aduan Ubat Kaunterfit

    Aduan berkenaan ubat kaunterfit atau tiruan terutamanya daripada penjual yang meragukan dan kadangkala diimport dari luar negara. Ubat kaunterfit boleh memudaratkan pengguna misalnya ketika ubat yang diberikan untuk merawat sesuatu penyakit mungkin tidak berkesan kerana ubat tersebut palsu.

  4. Aduan Produk Makanan Mengandungi Racun

    Secara umumnya, produk-produk makanan tidak tertakluk di bawah Bahagian ini. Akan tetapi, apabila sesuatu produk makanan membuat tuntutan perubatan atau tuntutan melampau, memberi kesan yang meragukan dan harga yang tidak munasabah, maka Bahagian ini boleh menjalankan siasatan berdasarkan aduan orang ramai.

  5. Aduan Iklan

    Bahagian ini juga menerima aduan berkenaan iklan ubat-ubatan yang tidak diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat (LIU), membuat tuntutan melampau dan melanggar Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956, sama ada di media cetak mahupun di media elektronik.

  6. Aduan Kosmetik

    Aduan berkenaan produk kosmetik yang diterima di Bahagian ini melibatkan aduan produk kosmetik yang tidak bernotifikasi. Terdapat juga aduan produk kosmetik yang disyaki mengandungi racun berjadual dan melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

  7. Aduan Berkenaan Etika Doktor atau Ahli Farmasi

    Selain daripada kategori-kategori aduan di atas yang melibatkan produk ubat-ubatan, terdapat juga aduan berkenaan doktor atau ahli farmasi yang melanggar etika sewaktu proses membekalkan ubat kepada pesakit.

  8. Lain-lain aduan berkaitan aktiviti penguatkuasaan farmasi.

Cara Membuat Aduan

Aduan boleh diterima melalui telefon, datang sendiri, emel dan surat. Maklumbalas pengadu akan diberikan berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pengadu sama ada alamat, nombor telefon atau alamat emel.

Secara keseluruhan daripada sejumlah 759 aduan yang diterima bagi tahun 2013, sebanyak 48.10% adalah aduan ubat tidak berdaftar dan 10.10% adalah aduan kosmetik manakala selebihnya 7.5% (ubat berdaftar),3.8% (ubat kaunterfit), 8.7% (makanan dicampur racun), 6.5% (iklan), 4.2% (etika doktor), 6.1 (etika ahli farmasi) dan 5% (lain-lain).

Untuk sebarang aduan, sila hubungi:

Bahagian Perkhidmatan Farmasi

Kementerian Kesihatan Malaysia

Lot 36, Jalan Universiti, 46350 Petaling Jaya, Selangor.

Tel: 03-78413200

Laman sesawang: www.pharmacy.gov.my

Emel: pharmacy1@moh.gov.my

Selain daripada ibu pejabat, pengguna juga boleh membuat aduan di Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) setiap negeri.

Negeri
No. Telefon Pejabat
Perlis 04-976 5033
Kedah 04-774 1000
Pulau Pinang 04-229 2319
Perak 05-533 7318
Selangor 03-5510 1051
WP Kuala Lumpur 03-2694 0701
Negeri Sembilan 06-766 4800
Melaka 06-234 5979
Johor 07-227 2800
Pahang 09-570 7737
Terengganu 09-622 2627
Kelantan 09-773 0586
Sabah 088-257 258
Sarawak 082-473 348
WP Labuan 087-411 416

Rujukan

  1. Garis Panduan Pengendalian Aduan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi 2012, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Semakan Akhir : 11 Jun 2014
Penulis : Nurhafizah bt. Hasan
Akreditor : Mazlan bin Ismail

 

(Visited 438 times, 1 visits today)