A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Pengalaman MH17 : Peranan...

Pengalaman MH17 : Peranan Forensik

MH17 merupakan satu tragedi bencana ramai mangsa yang melibatkan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) telah berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol, Amsterdam pada jam 12.15 petang (GMT +0200) 17 Julai 2014.

 

Bencana merupakan satu kejadian semulajadi ataupun buatan manusia (atau teknologikal) yang menyebabkan kemusnahan harta yang luas, kematian dan kehilangan nyawa dan perubahan persekitaran yang mendadak. Bencana boleh ditakrifkan sebagai sebarang kejadian tragik yang disebabkan oleh fenomena seperti gempa bumi, banjir, kemalangan, kebakaran atau letupan. Kejadian ini akan memusnahkan nyawa, harta dan membawa kecelakaan terhadap ekonomi, sosial dan kebudayaan rakyat.

MH17 merupakan satu tragedi bencana ramai mangsa yang melibatkan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) telah berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol, Amsterdam pada jam 12.15 petang (GMT +0200) 17 Julai 2014. Pesawat jenis Boeing 777-200 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal tersebut berlepas menuju ke Kuala Lumpur telah ditembak dengan peluru berpandu dan telah terhempas di Grabovo, Donetsk, Timur Ukraine, kira-kira 50 km dari Sempadan Ukraine-Rusia.

Susulan daripada pengarahan YAB Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengadakan mesyuarat penyelarasan bagi membincangkan persediaan yang perlu bagi penghantaran Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan pasukan disaster victim identification (DVI). Memandangkan kawasan kejadian terletak di kawasan konflik, maka pasukan kawalan keselamatan turut dipanggil untuk menyertai misi ini. Pasukan DVI Malaysia diketuai oleh Pakar Perunding Forensik Patologi iaitu Dr. Mohd Shah bin Mahmood yang juga bertindak selaku Ketua Pasukan DVI Malaysia.  Pasukan Odontologi pula diketuai oleh Brig. Jen Dato’ Dr. Mohd Ilham bin Haron yang juga bertindak sebagai penasihat

Operasi DVI telah dilaksanakan di Korporaal van Oudheusden Kazerne (KvOK), kem tentera Hilversum yang terletak kira-kira 35 km dari Amsterdam di mana kem tersebut diguna khas untuk pendidikan perubatan dan latihan kepada tentera Belanda. Tempat ini dipilih kerana mampu menyediakan keselamatan kepada semua personel DVI dan kerahsiaan bagi mayat mangsa, pangkalan data dan maklumat terperingkat. Personel DVI telah ditempatkan di berek tentera dalam jarak terdekat dengan kemudahan operasi DVI. Dewan Serbaguna telah dijadikan sebagai mortuari sementara manakala dataran perarakan yang bersebelahan juga dijadikan sebagai kawasan penyimpanan kontena sejuk bagi semua mayat mangsa dalam keranda. Kawasan operasi ini turut dibahagikan kepada zon-zon hijau, jingga dan merah untuk membahagikan sempadan yang selamat dan bahaya.

Gambar 1 :Dataran kawad sebagai tempat
Gambar 2 : Dewan serbaguna sebagai mortuari penyimpanan sementara mayat-mayat sementara

Protokol yang digunakan dalam operasi MH17 ialah Protokol DVI INTERPOL yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Perisian yang digunakan dalam operasi ini adalah PLASSDATA® DVI yang dibina khas untuk INTERPOL. Perisian ini dapat membandingkan antara data AM dan PM bagi mempercepat proses pemadanan dan pengesahan identiti.

Gambar 3 : Zon-zon sekitar kawasan operasi DVI

Pusat Pangkalan Data Perisian PLASSDATA® telah ditubuhkan di Bangunan 11 Korporaal van Oudheusden Kazerne (KvOK), Hilversum yang merangkumi pelayan utama, Seksyen AM, Seksyen Pemasukan PM data dan Seksyen Rekonsiliasi. Setiap pasukan diberikan 10 stesen komputer untuk melaksanakan tugas-tugas mereka. Semua data telah dikumpulkan di Pusat Data ini.

Seksyen AM di Hilversum
Seksyen AM diketuai oleh seorang Ketua Pasukan AM. Data AM yang dihantar oleh pasukan AM masing-masing dari Negara masing-masing telah diuruskan oleh Seksyen AM yang terdiri daripada wakil setiap negara terlibat. Personel AM akan memasukkan semua data yang ada ke dalam perisian PLASSDATA®. Ketua Pasukan akan mengemaskini AM data supaya dilaporkan kepada ketua pasukan pada jam 0800 dan 1830 setiap hari.

Seksyen Pemasukan PM Data di Hilversum
Seksyen PM diketuai oleh seorang Ketua Pasukan PM. Beliau telah dibantu oleh beberapa orang pegawai yang terdiri daripada (a) Pengurus front office, (b) Pengurus mayat Mangsa, (c) Ketua Radiologi (PMCT), (d) Ketua Pakar Forensik Patologi, (e) Ketua Pakar Forensik Odontologi, (f) Ketua Pakar Cap Jari dan (g) Ketua Pegawai Kawalan Kualiti. Borang PM yang lengkap telah dihantar ke Seksyen PM untuk dimasukkan data ke dalam perisian PLASSDATA®. Pasukan DVI Malaysia telah menempatkan 2 orang pegawai di seksyen ini untuk membantu dalam prosedur pemasukan data.

Seksyen Rekonsiliasi di Hilversum
Seksyen Rekonsiliasi telah diketuai oleh seorang Ketua Pasukan Rekonsiliasi, dibantu oleh beberapa orang pakar yang terdiri daripada pakar cap jari, pakar forensik odontologi, pakar forensik patologi / antropologi dan pakar DNA. Pasukan Rekonsiliasi akan menyediakan Laporan Pengesahan Identiti Positif kepada Lembaga Identifikasi. Dari jumlah 227 keranda yang diterima, sebanyak 156 mayat yang sempurna (complete body) dan 641 bahagian tubuh badan (body parts) telah dikenalpasti dan dijanakan 797 rekod PM dalam perisian PLASSDATA®.

Dalam pusat pengurusan mayat dalam mortuari sementara, terdapat 3 seksyen yang akan menguruskan mayat sebelum dihantar ke bahagian post-mortem forensik.

CBRNE Screening
CBRNE Screening dilakukan sebaik sahaja keranda dikeluarkan dari kontena sejuk oleh pasukan Rapid Forensik untuk mengesan tanda-tanda pencemaran unsur merbahaya CBRNE (Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear, Bahan Letupan).

Seksyen Postmortem Computed Tomography (PMCT)
Seksyen PMCT Scan diketuai oleh seorang Pakar Radiologi. Imbasan CT yang digunakan ialah Pengimbas CT bergerak yang disediakan oleh pasukan DVI UK. Beg mayat dalam keranda diimbas melalui PMCT sebelum dihantar ke mortuari sementara. Ia diimbas untuk mengesan serpihan logam bagi tujuan siasatan jenayah. Ia juga telah dijalankan untuk menentukan bilangan mangsa yang mungkin terkandung dalam setiap beg mayat.

Front Office
Front Office bertanggungjawab untuk mengurus dan memantau keseluruhan aktiviti post mortem termasuk mengeluarkan ‘barcode’ yang unik dan berturutan untuk setiap keranda, mengangkut keranda dari kontena sejuk ke dalam mortuari sementara dan menghantar kembali selepas pemeriksaan ke tempat asalnya. Borang PM yang lengkap dihantar ke Seksyen PM di Pusat Data. Borang-borang yang tidak lengkap dihantar semula ke stesen PM yang berkenaan di dalam mortuari sementara.

Gambar 4 : Unit alat pengimbas PMCT mudah-alih
Gambar 5 : ‘Front Office’ di pintu masuk ke mortuari sementara

Di dalam mortuari sementara, operasi DVI akan bermula. Semua keranda yang telah disahkan selamat daripada sebarang unsur berbahaya CBRNE kemudiannya dihantar ke mortuari sementara seperti ditunjukkan gambar 5. Mortuari sementara telah dibahagikan kepada 2 kawasan utama iaitu kawasan DVI dan kawasan siasatan jenayah

Gambar 6 : Pandangan stesen dalam mortuari
Gambar 7 : Layout untuk kawasan operasi DVI sementara

Setiap barisan terdiri daripada 5 stesyen yang tetap, iaitu cap jari, barangan peribadi, DNA, Odontologi dan Quality Control. Setiap mayat perlu melalui setiap stesen di dalam barisan tersebut dan melalui proses di bawah :

  1. Memastikan rekod borang Quick Scan yang diterima adalah sama (consistent) dengan mangsa yang diperiksa.
  2. Mengambil gambar (digital photographic images) bersama dengan rekod PM mangsa yang diperiksa.
  3. Memasukkan setiap rekod ke dalam PLASSDATA® dalam stesen yang berkenaan

Stesen DNA yang dimaksudkan di atas dikendalikan oleh Pakar Forensik Patologi dan Pakar Antropologi, yang dibantu oleh Pegawai Kimia DNA (Malaysia dan Indonesia), Pegawai Perubatan dan Pegawai Sains Forensik (Malaysia) dari pasukan DVI yang terlibat. Tugasan mereka adalah :

  1. Membuat pemeriksaan terhadap anggota badan atau seluruh badan dan mendokumenkan jenis kecederaan.
  2. Mengambil sampel DNA yang bersesuaian (seperti tulang dan sum-sum tulang)
Gambar 8 : Teknologi alat pengimbas cap jari di stesen cap jari
Gambar 9 : Pemakaian PPE (Personal Protective Equipment) di stesen DNA

Lembaga Identifikasi diketuai bersama oleh Komander DVI dan Pendakwa Raya dari Kementerian Kehakiman Belanda. Ahli-ahli lain terdiri daripada Ketua Pasukan Rekonsiliasi, Ketua Pasukan AM, Ketua Pasukan DVI Malaysia dan Australia serta dibantu oleh Pakar Forensik yang berkenaan (Odontologi / DNA / Cap jari). Lembaga Identifikasi bertanggungjawab untuk mengesahkan identiti yang positif bagi mangsa yang terlibat sebelum diserahkan kepada waris. Protokol penyerahan mayat digubal oleh pihak Belanda. Dokumen-dokumen yang berkaitan dengan mangsa yang telah dikenalpasti dan disahkan oleh Lembaga Identifikasi, seterusnya diserahkan kepada pihak kedutaan negara masing-masing.

Pengalaman yang cukup luarbiasa dan berharga diperoleh dalam misi MH17 bagi semua agensi yang terlibat, khasnya dari bahagian Forensik. Pencapaian yang memuaskan untuk misi ini merangkumi kepakaran pasukan DVI Malaysia yang telah diiktiraf oleh pasukan DVI Antarabangsa dan kesemua mangsa warganegara Malaysia (43 orang) telah berjaya dikenal pasti dan diserahkan kepada waris.

Tragedi MH17 merupakan suatu dugaan untuk negara Malaysia di mana setiap rakyat Malaysia dan seluruh dunia turut merasai kesedihan yang ditanggung oleh setiap ahli keluarga terdekat bagi mangsa terlibat. Operasi DVI MH17 adalah usaha dan kerjasama antarabangsa yang dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa. Semua negara yang mengambil bahagian telah menunjukkan sikap dedikasi, profesionalisme dan semangat setiakawan yang baik dalam menyempurnakan operasi ini dengan berjaya dan penuh semangat bekerjasama.


Gambar 10 : Pasukan DVI Malaysia bersama Pasukan DVI Antarabangsa

Rujukan

  1. Brief Note on the Roles of the National Security Council, Prime Minister’s Department as National Disaster Management Organisation (NDMO). 3rd APA CAUCUS Report.
  2. Disaster Victim Identification DVI Guide. INTERPOL. 2014
  3. National Security Council, Department of Prime Minister, Malaysia. Directive 20 (Reviewed version). 1997.

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Khoo Lay See
Akreditor : Dr. Ahmad Hafizam bin Hasmi
Penyemak : Dr. Khoo Lay See

 

Artikel Berkaitan

MRI OTAK

Pemeriksaan MRI Otak menggunakan medan magnet dan gelombang frekuensi radio bagi menghasilkan imej keratan rentas otak melalui komputer tetapi MRI tidak mempunyai kesan radiasi seperti sinar-X

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,238,192

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia