Home > Pemakanan > Kanak-kanak > Pencegahan Kejadian Bayi Tersedak Susu

Pencegahan Kejadian Bayi Tersedak Susu

Puan Nurul berjalan ke bilik bayi selepas menyediakan makanan untuk waktu tengah hari. Seperti biasa, botol susu masih terletak di atas badan bayi yang disokong dengan tuala mandi, tetapi hari ini telah menjadi hari yang paling disesali oleh Puan Nurul. Beliau terperanjat apabila mendapati bibir bayi menjadi kebiruan, kulit sejuk dan tiada respon apabila memanggil nama bayi. Puan Nurul berasa panik dan tidak tahu apa yang patut dilakukan dalam keadaan sebegini. Selepas berfikir sejenak, Puan Nurul mengambil telefon bimbit dan mendial 999 untuk memohon bantuan. Walau bagaimanapun, bayi Puan Nurul disahkan meninggal dunia apabila sampai di hospital terdekat.

Kes seumpama pengalaman Puan Nurul kerap berlaku sejak kebelakangan ini. Bukan sahaja berlaku dalam kalangan bayi, ia juga berlaku pada kanak-kanak kecil. Punca masalah tersebut adalah kerana membiarkan bayi atau kanak-kanak kecil minum susu menggunakan botol tanpa pengawasan. Ini akan meningkatkan risiko mereka dalam kejadian tersedak susu.

Apabila aliran susu masuk ke dalam mulut bayi atau kanak-kanak dalam keadaan tidur, ia akan menyebabkan proses menelan tidak berlaku dengan baik. Susu tersebut seterusnya masuk ke salur pernafasan bayi atau kanak-kanak dan mengakibatkan jangkitan paru-paru atau pneumonia. Keadaan yang teruk boleh menyebabkan kematian.

Sebenarnya masalah tersedak susu boleh dielakkan sekiranya kita memberi lebih perhatian semasa penyusuan. Penjaga atau ibu bapa perlu sentiasa kerap mengawasi bayi semasa menyusu. Ini dapat mengelakkan masalah tersedak susu dan ia membolehkan bayi diberi bantuan segera sekiranya berlaku komplikasi.

Tips Untuk Mengelakkan Kejadian Tersedak Susu

Berikut adalah tips yang boleh diamalkan semasa penyusuan untuk mengelakkan bayi daripada tersedak susu :

  • JANGAN sekali-kali meninggalkan bayi bersendirian semasa menyusu.
  • break
  • JANGAN guna kain atau bantal untuk menyokong botol susu semasa menyusu.
  • break
  • Elakkan bayi daripada tertidur (terlena) semasa menyusu. Sekiranya bayi tertidur, hentikan penyusuan dengan menarik keluar puting. Penyusuan boleh disambung apabila bayi terjaga.

    Penjaga tertidur semasa bayi diberi susu

    Bayi tertidur semasa menyusu

  • break
  • Elakkan memberi susu kepada bayi dalam keadaan bayi berbaring secara terlentang. Ini akan menyusahkan bayi menelan dan meningkatkan risiko bayi tersedak.
    break

    Lazimnya bayi yang baru lahir sering jeluak selepas menyusu. Sekiranya perkara ini berlaku terlalu kerap, anda perlu mendapatkan nasihat doktor. Selain itu, perkara-perkara berikut juga perlu diberi perhatian selepas bayi menyusu. Ini akan mengelakkan bayi daripada tersedak akibat muntah selepas menyusu.

  • Elakkan daripada membaringkan bayi dalam tempoh 30 minit atau lebih. Biarkan bayi dalam keadaan duduk atau posisi di mana kepala adalah lebih tinggi daripada badan.
  • Elakkan menggoncang bayi di dalam buaian atau bouncer bagi mengelakkan bayi muntah.

    Buaian

    Bouncer

  • break
  • Pastikan kepala bayi dalam posisi mengiring semasa tidur selepas menyusu. Ini membolehkan susu mengalir keluar dan tidak menyebabkan bayi tersedak sekiranya termuntah.

    Posisi kepala mengiring

break

Bagaimana Untuk Sendawakan Bayi?

Semasa bayi menghisap susu, dia sering menyedut udara dan menelannya bersama susu. Oleh itu, bayi perlulah disendawakan dengan cara menggosok belakang badan bayi secara perlahan-lahan sehingga udara keluar (sendawa). Ia perlu dilakukan sekurang-kurangnya 1 atau 2 kali semasa menyusu untuk mengelakkan bayi muntah.

Kes tersedak mungkin berlaku sekiranya sendawa tidak diamalkan. Ini kerana susu yang dimuntahkan oleh bayi, akan ditelan semula dan masuk ke salur pernafasan, yang menyebabkan bayi tersedak.

Terdapat 3 cara posisi untuk sendawa. Posisinya adalah seperti berikut :

1. Posisi bahu

  • Letakkan bayi di atas bahu anda supaya tulang selangka (collar bone) anda menekan perut bayi.
  • Tekanan ini sangat penting untuk memastikan sendawa yang baik. Pastikan bayi anda diampu dalam keadaan selesa.
2. Posisi tangan

  • Dudukkan bayi di atas riba anda. Ampukan bayi dan tolak sedikit bayi ke hadapan supaya badan bayi sedikit condong (rujuk gambar di sebelah).
  • Gosok dan tepuk bayi dengan perlahan. Jika bayi kurang daripada tiga bulan, pastikan anda menyokong lehernya seperti gambar yang ditunjukkan.
Dagu bayi berehat di “V” antara ibu jari dan jari telunjuk anda.
break
3. Posisi riba

  • Letakkan kain di atas riba anda. Tiarapkan bayi di atas paha anda dengan tangan anda menyokong kepalanya (rujuk gambar di sebelah).
  • Dengan perlahan, gerakkan lutut anda ke arah perut bayi untuk memberi tekanan supaya bayi sendawa.

Apakah yang Patut Dilakukan Sekiranya Bayi Tersedak?

Penjaga/ibu bapa perlu sentiasa mengawasi bayi sepanjang waktu penyusuan dan tidur. Sekiranya bayi didapati sukar bernafas, gelisah (restless), warna kulit pucat/kebiruan atau tubuhnya terasa sejuk, berikan bantuan kecemasan atau dapatkan bantuan segera daripada klinik kesihatan atau hospital terdekat melalui talian 999. Kejadian ini boleh menyebabkan kematian sekiranya bantuan segera tidak diberikan kepada bayi yang tersedak.

Apabila terdapat objek asing memasuki saluran udara (pernafasan), bayi akan batuk atau tersedak untuk mengeluarkannya. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil langkah keselamatan dengan segera sekiranya perkara tersebut berlaku.

  1. Bantu bayi/ kanak-kanak untuk batuk supaya pulih daripada tersedak
    Batuk adalah berkesan untuk mengatasi masalah tersedak. Ini dapat membantu bayi mengeluarkan objek asing yang memasuki saluran pernafasan. Jika bayi tidak dapat batuk atau batuk tidak berkesan, gangguan pernafasan akan berlaku, dan ini boleh menyebabkan bayi mengalami sesak nafas dan ini boleh membahayakan nyawa bayi.

    Tanda-tanda batuk berkesan

    Tanda-tanda batuk tidak berkesan

    • Menangis atau mampu memberi respon secara lisan
    • Batuk dengan kuat
    • Mampu bernafas sebelum batuk
    • Boleh memberi respon sepenuhnya
    • Tidak dapat mengeluarkan suara
    • Batuk dengan perlahan
    • Tidak boleh bernafas
    • Tahap kesedaran semakin menurun
  2. Dapatkan bantuan segera!
    Keselamatan bayi perlu sentiasa diutamakan. Ibu bapa/penjaga harus mengambil tindakan segera sekiranya bayi/ kanak-kanak tersedak.

    • Jika bayi batuk secara berkesan (kuat), maka tidak ada bantuan dari luar (contohnya daripada jiran) yang diperlukan. Galakkan bayi untuk terus batuk dan pantau secara berterusan.
    • Jika bayi batuk tidak berkesan (lemah), jerit untuk dapatkan bantuan dengan segera atau dial nombor 999 sebelum mengambil tindakan-tindakan lain. Kenal pasti tahap kesedaran bayi.
    • Jika bayi kerap jeluak atau muntah selepas menyusu, dia mungkin menghadapi masalah kesihatan. Dapatkan nasihat Pakar Pediatrik dengan segera.

Kesimpulan

Penjaga/ ibu bapa perlu sentiasa mengawasi bayi sepanjang waktu penyusuan dan elakkan bayi bersendirian. Amalkanlah cara pemberian susu yang betul dan jangan sekali-kali mencuba untuk melakukan yang sebaliknya kerana ia boleh meningkatkan risiko bayi tersedak susu.

Rujukan

Kementerian Kesihatan Malaysia. (2012). Panduan Pengendalian dan Pemberian Susu yang Selamat di Pusat Jagaan dan TASKA. Malaysia: Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Semakan Akhir : 28 Februari 2018
Penulis : Teh Wai Siew
Akreditor : Fatimah binti Salim